Tag: polis

  • Piala Dunia: 690 ‘bookie’ ditahan, 530 kertas siasatan dibuka

    Piala Dunia: 690 ‘bookie’ ditahan, 530 kertas siasatan dibuka

    POLIS menahan 690 individu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dan pertaruhan berkaitan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 sepanjang Op Saga IX yang bermula 19 Nov hingga Rabu lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua tangkapan membabitkan ‘bookie’ atau ‘punter’ dan disiasat di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Sepanjang tempoh sama, beliau berkata sebanyak 530 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu 202 kertas siasatan berjaya dituduh dengan 87 telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, manakala 328 kertas siasatan masih dalam tindakan.

    Menurutnya Selangor merekodkan jumlah tertinggi tangkapan iaitu 179 individu diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43), Sabah (41), Kedah (32), Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (enam) dan Kelantan (empat).

    Beliau berkata hasil rampasan antaranya meliputi nilai had kredit dalam perisian sebanyak RM22.3 juta, wang tunai RM518,563, telefon bimbit (817), kad sim (386 keping), komputer (74) dan komputer riba (47).

    “PDRM berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat berkaitan perjudian yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline perjudian di talian 016-5773477,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

    PDRM, pertaruhan, judi, bola sepak

  • Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    BELUM ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim ketika ini susulan beberapa negeri terjejas teruk akibat banjir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata untuk mengisytiharkan darurat iklim, beberapa proses dan penilaian tertentu perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi keputusan dibuat apabila tiba masanya.

    “Buat masa ini belum ada keperluan isytihar Darurat Iklim kerana keadaan (banjir) masih lagi terkawal kerana untuk berbuat demikian ia ada proses dan penilaian tertentu oleh pihak yang bertanggungjawab.

    “Saya fikir keseluruhan operasi terkawal dan berjalan baik dan laporan telah diberikan secara berkala termasuk semasa mesyuarat jemaah menteri semalam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Alor Pasir, di sini hari ini, selepas menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir.

    Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

    Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mencadangkan pengisytiharan Darurat Iklim dan menggerakkan usaha yang radikal bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi segera untuk membendung dan mengurangkan risiko dan impak banjir yang sedang melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut memberi tambahan aset udara ke Kelantan dan Terengganu.

    “Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu.

    “Pada masa sama, kita gesa mangsa terlibat agar beri kerjasama yang baik sekiranya diminta berpindah oleh pihak berkuasa kerana jika melengahkan masa ia boleh mengancan nyawa,” katanya. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: 16 maut setakat pukul 1 tengah hari

    Tanah runtuh: 16 maut setakat pukul 1 tengah hari

    LIMA lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor ditemui meninggal dunia, setakat pukul 1 tengah hari tadi.

    Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia ketika ini seramai 16 orang.

    Suffian Abdullah

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, berdasarkan rekod, terdapat 17 lagi mangsa yang sedang dicari.

    “Pihak polis menggunakan kaedah inkubator dan sistem penyodok dalam mencari dan menyelamatkan mangsa,” katanya di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

    Suffian berkata, pada masa ini kekuatan pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi keselamatan ditambah membabitkan 15 agensi.

    Katanya, dari segi penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut sama membantu adalah Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerak Am (PGA),” katanya.

  • 42 warga asing ditahan dalam serbuan dadah

    42 warga asing ditahan dalam serbuan dadah

    POLIS menahan 42 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak dipercayai disembunyikan seorang tekong darat dalam satu serbuan di sebuah rumah bandar atau townhouse di Cyberjaya pada 11 Dis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata risikan awal mengesyaki rumah berkenaan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah namun hasil serbuan telah menemukan 42 warga Indonesia dipercayai disembunyikan selama tiga hari di ‘rumah transit’ itu.

    Beliau berkata kesemua warga asing itu dibawa secara berasingan sejak 9 Dis dengan menaiki kenderaan e-hailing supaya pergerakan mereka tidak dapat dihidu oleh pengawal keselamatan dan penduduk lain.

    “Ketika serbuan dibuat (11 Dis), seorang tekong darat warga tempatan berusia 42 tahun berjaya melarikan diri dengan terjun melalui pintu belakang (rumah) sebelum berjaya diberkas di kawasan Dengkil semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata dalam serbuan itu polis turut menemukan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram serta wang tunai RM7,000 dan hasil siasatan mendapati 42 warga asing itu sepatutnya keluar dari negara ini melalui jalan air pada 11 Dis, sama ada melalui Bagan Lalang atau Pantai Tanjung Rhu.

    Beliau berkata tekong darat itu direman selama empat hari sehingga 17 Dis bermula semalam manakala kesemua warga asing direman selama 14 hari bermula 11 Dis.

    Sementara itu dalam kes berasingan, Wan Kamarul Azran berkata empat lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes curi dan leraikan komponen kenderaan di Cyberjaya.

    Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri kenderaan lama yang telah lama diparkir di kawasan kondominium, dan kemudian ditunda ke bengkel untuk dileraikan, dengan sebahagian komponen kenderaan serta rangkanya dijual di kedai lusuh.

    Katanya, kes berkenaan rentetan daripada satu laporan polis diterima pada 5 Dis berhubung kehilangan kenderaan jenis Proton Satria, dan hasil risikan serta serbuan, polis berjaya merampas barang kes yang telah dileraikan melibatkan enam kenderaan dicuri di kawasan Cyberjaya.

    Menurut beliau, dua tangkapan dibuat di Cyberjaya pada 5 Dis, diikuti tangkapan ketiga di Klang dan keempat di Sepang pada 13 Dis dan kesemua suspek berumur 26 tahun hingga 38 tahun itu ditahan reman sehingga hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Bapa dera anak perempuan hingga mati, tanam mayat di tepi jalan

    Bapa dera anak perempuan hingga mati, tanam mayat di tepi jalan

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki mendera anaknya hingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah di Kuala Lumpur, bagi menyembunyikan jenayahnya itu semalam.

    Perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan isterinya, seorang warga asing pada Jumaat lalu memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh suaminya.

    Isteri suspek berusia 41 tahun kemudian membuat laporan selepas mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya, sebaik pulang bekerja kira-kira pukul 7 malam, Jumaat lalu.

    Kejadian berlaku di kediaman keluarga itu di Jalan Pudu di ibu negara, dan pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mendakwa suaminya ada memukul anaknya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

    Sebaik menerima aduan, sepasukan anggota polis bersama pengadu ke rumah suspek untuk mengambil anaknya yang ditinggalkan, namun anak serta suaminya tiada di rumah.

    Berikutan itu, pihak polis menjalankan usaha mengesan suspek sebelum dia berjaya dikesan dan ditangkap di Jalan Pasar Pudu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi Berita Harian, hari ini mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek yang juga seorang penganggur, mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy.

    Suspek kini direman tujuh hari dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, Noor Dellhan meminta orang ramai terutama ahli keluarga atau jiran supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang kes dera yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau jiran masing-masing.

  • Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    POLIS telah menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tular membabitkan beberapa kenderaan di KM69, Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), 29 Okt lepas.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku pada 11 pagi dan lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada hari sama ketika melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan.

    “Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kemalangan berpunca daripada muatan siling putih yang jatuh daripada sebuah treler semasa melalui selekoh dari arah Gerik ke Jeli lalu menimpa sebuah kenderaan jenis Subaru Forester dan tiga kenderaan lain.

    Menurutnya pemandu Subaru Forester yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan, isterinya yang berusia 31 tahun cedera parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan manakala mangsa lain hanya cedera ringan.

    Hari ini, tular menerusi laman Twitter @isusemasaviral, rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat mengenai kejadian dan perkongsian keadaan isteri mangsa yang hamil anak pertama pasangan itu. – BERNAMA

  • Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan, malam tadi. 

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

    Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.

    “Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet telah terbakar 80 peratus. 

    “Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA 

  • Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    POLIS menahan seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, seorang lelaki berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 10.20 malam tadi.

    Beliau berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan 6.53 petang semalam, berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik klip melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.

    Katanya video itu dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.

    “Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ku Mashariman berkata kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

  • Polis tahan wanita bakar al-Quran

    Polis tahan wanita bakar al-Quran

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.

    “Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.

    “Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

    Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – BERNAMA

  • Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    POLIS sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam.

    “Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

    “Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.

    “Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

    Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif. – BERNAMA