Tag: polis

  • Lelaki berburu maut dengan 43 kesan tembakan peluru penabur

    Lelaki berburu maut dengan 43 kesan tembakan peluru penabur

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa tembakan dilepaskan abang dan adiknya ketika mereka keluar berburu di kawasan hutan berdekatan Sungai Boyuh, Kampung Jugan di Bau, malam kelmarin.

    Terdapat 43 kesan tembakan peluru penabur pada badan, tangan dan paha mangsa berusia 49 tahun itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, polis dihubungi pihak Hospital Bau memaklumkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika berburu pada pukul 11.45 malam.

    “Sehubungan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menahan dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun iaitu abang dan adik mangsa pada pukul 5 petang semalam.

    “Pihak polis kemudian merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru dan sejumlah peluru hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Nyaon berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dibawa ke mahkamah Bau untuk dimohon tahanan reman.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah RM7,000, bagi melepaskan individu yang melakukan kesalahan memiliki air ketum.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. 

    Lelaki itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah selepas menahan 14 individu termasuk dalang utama dalam serbuan baru-baru ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 11 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan bersama lima kenderaan mewah yang dicuri.

    Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan pusat jualan dan bengkel kereta, valet parking serta kedai cuci kereta untuk mencuri kenderaan mewah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya pekerja kedai terbabit untuk menyerahkan kunci sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.

    “Sindiket ini juga dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa kenderaan dicuri ke Thailand melalui sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata pihaknya menerima 14 laporan berhubung aktiviti sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    MALANG tidak berbau. Seorang pemandu e-hailing maut dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di parkir kawasan perumahan di Presint 5, di Putrajaya hari ini.

    Ketua Polis Daerah, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 29, sedang menukar minyak hitam dan membaiki brek tayar hadapan di sebelah kanan kereta Perodua Bezza miliknya sebelum dihempap kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu.

    “Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, serta menambah pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat, katanya. – BERNAMA

  • 3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    TIGA termasuk seorang remaja maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Telok Kemang, Port Dickson, di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu melibatkan kereta Toyota Camry dinaiki enam individu berusia 16 hingga 51 tahun dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

    Beliau berkata kesemua yang maut adalah penumpang Toyota Camry iaitu R. Mogana, 35, M. Pangaja Valli, 51, dan S. Jagannatth, 16.

    “Kemalangan berlaku apabila kesemua penumpang serta pemandu Toyota Camry yang berasal dari Ampang, Selangor itu dalam perjalanan ke sebuah kuil di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson manakala Toyota Hilux itu menuju ke Taman Intan Perdana untuk menyiapkan projek perumahan.

    “Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai melanggar belakang kereta terbabit menyebabkan tiga penumpang belakangnya tersepit dan maut di tempat kejadian dengan tiga yang lain mengalami patah tangan kiri serta tulang rusuk. Pemandu Toyota Hilux pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

    Aidi Sham berkata berdasarkan ujian saringan, pemandu pacuan empat roda itu didapati bebas daripada alkohol dan dadah, namun beliau ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Sindiket ‘ibu kutu Sapiza’ tumpas, lapan individu ditahan

    Sindiket ‘ibu kutu Sapiza’ tumpas, lapan individu ditahan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu disyaki terlibat dalam skim penipuan sapiza extra saving di empat negeri menerusi serbuan pada 27 Jan lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua mereka terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki berusia antara 31 dan 37 tahun.

    Beliau berkata serbuan turut merampas sebuah kenderaan mewah, beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM), telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

    “PDRM menerima 116 laporan di seluruh negara berhubung skim penipuan berkenaan yang melibatkan kerugian dianggar RM4.43 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noorsiah siasatan awal mendapati skim itu mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘permainan kutu’.

    Beliau berkata ia bermula pada 2021 apabila skim tersebut mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu serendah RM250 hingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua dan lima bulan.

    “Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15 hingga 40 peratus daripada jumlah wang disimpan bagaimanapun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati mulai gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya.

    Noorsiah berkata dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan seumpama itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan. – BERNAMA

  • Mayat bayi baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah

    Mayat bayi baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah

    MAYAT bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah di depan Rumah Kebajikan Taman Equine, Seri Kembangan di ibu negara, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata polis menerima maklumat pada pukul 10.05 pagi daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi berkulit cerah yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg berwarna jingga.

    Beliau berkata mayat bayi itu dijumpai di dalam kotak sampah oleh pekerja pengutip sampah.

    “Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, dan menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan.- BERNAMA

  • Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.36 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 123 kilogram (kg), syabu (0.5 kg), 18 botol berisi serbuk dadah (301 gram), pil ekstasi (21 gram) dan ganja (13.8 gram) serta tiga mesin memproses dadah.

    “Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 123 kilogram bernilai RM6.38 juta yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dadah di dalam makmal haram serta mengedar dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM10,000 dan dua kenderaan disita.

    Menurutnya suspek menyewa premis berkenaan di bawah nama syarikat lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Anbalagan berkata suspek disyaki aktif dalam penjualan dadah sejak setahun lepas selain turut memproses dadah dan menjadi ‘runner’.

    Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 seminggu bagi 50,000 biji pil erimin yang diprosesnya.

    “Polis percaya ada lagi rakan suspek yang masih bebas mengendalikan sindiket berkenaan,” katanya menambah suspek direman tujuh hari hingga esok mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    JALAN Kota Tinggi-Mersing di Kilometer 60 di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan, bermula 12 tengah hari tadi, kerana dinaiki air.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata justeru orang ramai dinasihatkan untuk melalui jalan alternatif menerusi Tenggaroh.

    “Setakat ini, hanya satu sahaja jalan utama iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing yang ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan.

    “Jalan itu dinaiki air dengan jarak kira-kira 40 meter, jadi orang ramai diminta menggunakan jalan menerusi Tenggaroh sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini, hari ini.

    Selain itu, jalan lain yang ditutup untuk kenderaan ringan adalah Mawai Lama (Rumah Burung), Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gembut), Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA) dan Jalan Lok Heng-Sungai Mas (Sungai Semalok).

    Hussin berkata pihaknya juga giat mengadakan rondaan termasuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk sekitar seperti pekerja ladang sawit di Ladang Ibzi Punggai, di sini, yang terputus bekalan makanan berikutan jalan dinaiki air.

    Beliau berkata mesyuarat penyelarasan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia, sentiasa dijalankan bagi memastikan tugas dan peranan dapat diselaraskan tanpa pertindihan tugas. – BERNAMA

  • Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    SEBANYAK 1,445 kemalangan direkodkan di seluruh negara pada hari kelima Op Selamat 19, semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata ia melibatkan 1,724 kenderaan dengan kereta mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 1,310 kes, diikuti pacuan empat roda dengan 230 kes, motosikal (144), lori (17), bas (11), van (sembilan), teksi (dua) dan ambulans (satu).

    Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

    “Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya selain mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mat Kasim berkata tumpuan lokasi advokasi adalah di stesen-stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, restoran dan pusat beli-belah.

    Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan ini di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – BERNAMA