Tag: Pokok Sena

  • Tinggalkan kereta Honda Civic demi elak diperiksa pihak berkuasa

    Tinggalkan kereta Honda Civic demi elak diperiksa pihak berkuasa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DEMI mengelak daripada diperiksa pihak polis, seorang lelaki sanggup melarikan diri dan meninggalkan kereta Honda Civic dipandunya di persimpangan lampu isyarat Kedondong dekat Pokok Sena, Kedah, awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, intipan dijalankan kira-kira pukul 1.30 pagi itu mendapati berlaku aktiviti merbahaya di jalanan, melibatkan beberapa buah kereta.

    “Empat daripada kereta yang ada di situ didapati menjadikan lampu isyarat kawasan tersebut sebagai tempat permulaan perlumbaan.

    “Kesemua mereka kemudiannya dikepung untuk ditahan, tidak jauh dari lokasi tersebut. Usaha tersebut membuahkan hasil dengan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan.

    “Bagaimanapun seorang daripada empat pemandu itu meninggalkan keretanya untuk melarikan diri,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, ketika ini pihaknya masih mengesan individu yang meninggalkan kenderaan tersebut.

    “Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Selain tiga individu yang ditahan itu, beberapa pemilik kenderaan lain yang asyik menyaksikan kegiatan itu turut diperiksa dan disaman atas beberapa kesalahan termasuk mengubah suai kenderaan,” katanya.

  • Operasi FRU rampas 8,000 liter  diesel disyaki untuk diseleweng

    Operasi FRU rampas 8,000 liter diesel disyaki untuk diseleweng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH kira-kira 8,000 liter diesel bernilai RM17,200 disita dalam operasi dijalankan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kampung Bukit Lada, Jalan Kubor Panjang di Pokok Sena, Kedah, semalam.

    Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya telah menerima serahan kes tersebut daripada Unit Risikan dan Operasi FRU, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur kira-kira pukul pukul 11 malam tadi.

    “Selain anggaran 8,000 liter diesel, dua buah ‘skidtank’ dan beberapa peralatan pemindahan minyak diesel yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewangan barang kawalan berjadual itu.

    “Selain itu, dua suspek warganegara Myanmar berusia 30-an dan 40-an turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nilai rampasan keseluruhan termasuk diesel dan dua ‘skidtank’ tersebut adalah RM124,200.

    Tambahnya, soal-siasat dijalankan terhadap kedua-dua individu itu mendapati premis tersebut tidak mempunyai apa-apa kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menguruskan barang kawalan tersebut.

    “Perintah reman telah diperolehi dari Mahkamah Alor Setar dengan kedua-dua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 Februari depan,” katanya.

    Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961

    “Jika sabit kesalahan, individu perseorangan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan kedua, inidividu disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kedua boleh didenda tidak lebih RM5 juta,” katanya.