Tag: PN

  • PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

    PN kerajaan demokratik ganti kerajaan ‘mi segera’ PH

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) ditubuhkan secara demokratik dan bukan menerusi ‘pintu belakang’ seperti didakwa.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaliknya menyifatkan PH menjadi kerajaan “mi segera tidak masak” setelah pentadbirannya dipenuhi kecelaruan dan kegopohan.

    Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN, atas faktor itu, gabungan PN dibentuk dengan menjatuhkan PH disertai rakan-rakan daripada BERSATU bersama parti lain iaitu PAS, parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO, membuat perubahan kerajaan secara demokratik.

    “Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru. Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan.

    “Ini bukan pintu belakang, tetapi demokratik melalui (kaedah) mengumpul jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini demokrasi,” katanya di hadapan kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir di Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di Maeps, Serdang hari ini.

    Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH dalam keadaan teratur tanpa pertumpahan darah, demonstrasi atau pergaduhan antara rakyat dengan pihak berkuasa.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin katanya sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri demi memastikan perpaduan dan kelangsungan pentadbiran PN sehingga kini.

    Hadi turut memuji kejayaan PN menyelesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan salah laku serta isu bantuan yang tidak sampai ke sasaran dalam tempoh masa singkat, meskipun ia ditubuhkan tanpa memiliki manifesto atau janji.

    “Dalam keadaan gangguan yang banyak daripada luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan sampai hari ini,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, semua parti komponen PN perlu berpadu menjelang PRU-15 untuk memastikan gabungan itu dapat membentuk kerajaan yang kukuh, dan menolak peristiwa lama serta ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’.

    “Sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan integriti kita melalui menteri dalam Kabinet serta kerajaan negeri yang kita perintah dalam masa singkat. Mudah-mudahan rakyat dapat melihat,” katanya.

  • Walau nama hampir sama, PN dan BN bagai langit dan bumi – Muhyiddin

    Walau nama hampir sama, PN dan BN bagai langit dan bumi – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beza Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) amat jauh ibarat langit dan bumi.

    Pengerusi PN itu berkata, walaupun namanya hampir sama, parti yang diterajuinya itu lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan negara.

    Beliau menjelaskan, sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau mengarahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar mencari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah.

    Namun dakwa beliau, BN hanya mementingkan untuk kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.

    “Jadi, walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional namanya hampir sama, tetapi bezanya jauh ibarat langit dan bumi.

    “Saya harap para pengundi jangan salah memilih dalam PRU 15 nanti. Pilih Perikatan Nasional, bukan Barisan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.

    Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ atau ‘sakau-menyakau’ tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional (PN).

    Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, ia adalah budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.

    Beliau berkata, amalan itu jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.

    “Untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.

    “Pengalaman lalu mengajar kita bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan,” katanya.

  • 1,800 dijangka  hadir Konvensyen PN 2022 Sabtu ini

    1,800 dijangka hadir Konvensyen PN 2022 Sabtu ini

    PARTI Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Konvensyen Perikatan Nasional 2022 dan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-2 penubuhan gabungan itu pada 27 Ogos ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, konvensyen julung kali itu akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor dan dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurutnya, semua Presiden parti komponen, pimpinan dan perwakilan PN yang dijangka seramai 1,800 orang termasuk semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri gabungan itu di seluruh negara dijangka hadir.

    “Selain membincangkan isu-isu semasa berkaitan masalah rakyat pasca pandemik Covid-19, Konvensyen ini juga akan menggariskan landasan utama Perikatan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Konvensyen itu juga menetapkan dasar serta hala tuju parti bagi meningkatkan keyakinan rakyat bahawa Perikatan Nasional adalah parti yang mempunyai tawaran yang harmoni, relevan dan segar sejajar dengan aspirasi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada Konvesyen itu juga, Anugerah Prihatin Perikatan Nasional akan disampaikan kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan keprihatinan, pengorbanan serta sumbangan luar biasa kepada negara dan masyarakat.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa Konvensyen PN 2022 mampu menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan khidmat bakti parti kepada rakyat serta memperkukuhkan kerjasama parti-parti anggota Perikatan Nasional secara keseluruhannya,” katanya.

  • Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai

    Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi bagi hampir semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen antara parti-parti komponen dalam gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata berlaku juga pertindihan dalam proses tersebut namun jumlahnya terlalu sedikit.

    “Kami akan muktamadkan tidak berapa lama lagi dan semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah saya dapati parti-parti komponen dalam PN satu hati dan apabila keputusan dibuat nanti semua akan akur dan patuh kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.

    “Terlalu sikit yang bertindih yang memerlukan kami mengadakan lagi rundingan. Jika masih lagi bertindih ia akan kami bawa dan sampaikan ke peringkat mesyuarat antara presiden parti-parti komponen,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan PN Peringkat Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

    Ditanya mengenai jentera pilihan raya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata parti-parti komponen PN sudah bersiap siaga menghadapi PRU15.- BERNAMA

  • Dua faktor bantu PN kekal, tambah kerusi di Pahang – Saifuddin

    Dua faktor bantu PN kekal, tambah kerusi di Pahang – Saifuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan keyakinan berpeluang cerah menambah jumlah wakil rakyatnya di negeri ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata PN yakin boleh menang kerusi yang akan ditandingi, malah memiliki kekuatan tersendiri dan berpeluang cerah untuk menambah kerusi Parlimen atau DUN di negeri ini.

    PN dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN bersama dua parti berpangkalan di Sabah, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Gabungan itu mempunyai satu kerusi Parlimen di Pahang melalui BERSATU dan lapan kerusi DUN milik PAS.

    Saifuddin yang menyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota dan satu-satunya Ahli Parlimen PN di Pahang, berkata dua faktor dilihat dapat membantu gabungan berkenaan memenangi kerusi yang bakal ditandingi nanti.

    “Dua faktor itu adalah hasil gabungan tiga parti (komponen PN di Semenanjung, BERSATU, PAS dan GERAKAN) serta sokongan baik yang diterima di peringkat akar umbi.

    “Pada PRU lalu, BERSATU dan PAS tidak bertanding sebagai satu gabungan, malah berlawan antara satu sama lain. Apabila bergabung, kemungkinan besar kita akan menambah jumlah kerusi.

    “Oleh itu, PN Pahang berhasrat bertanding semua 14 kerusi Parlimen dan 42 DUN di Pahang,” katanya pada sidang media selepas Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): Peluang Kedua Kehidupan Baharu, di sini hari ini.

    Saifuddin yang pada PRU-14 menang kerusi Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR sebelum keluar parti itu dan menyertai BERSATU, berkata PN Pahang akan melantik pengerusi dan ahli jawatankuasa peringkat Parlimen bagi menyelaras dan melicinkan pergerakan pada PRU-15.

    Katanya, pelantikan itu akan dimuktamadkan selepas mesyuarat PN Pahang yang dijangka September depan.

    “Rundingan awal sudah dilakukan dan pada mesyuarat bulan depan kita akan muktamad dan umum jawatankuasa itu. Setakat ini, sudah ada persefahaman di peringkat akar umbi bagi melantik individu yang akan mengetuai jawatan peringkat Parlimen.

    Tiga parti dalam PN ini sudah faham sesiapa sahaja yang dilantik, bukan bermakna parti diwakilinya akan bertanding di kawasan itu, sebaliknya ini lebih kepada melicinkan pengurusan sahaja,” katanya.

    Mengenai program dirasmikannya hari ini, Saifuddin berkata, ia diadakan di sebuah premis cuci kenderaan yang pemiliknya mengambil bekas penagih dadah dan bekas banduan sebagai pekerja.

    “Ini usaha murni yang seharusnya menjadi contoh kepada majikan lain. Mengambil bekas penagih dadah dan bekas banduan bekerja dapat membantu mereka mengelak daripada mengulangi kesalahan sama,” katanya.

  • PN mohon tarikh baharu jumpa PM secara rasmi

    PN mohon tarikh baharu jumpa PM secara rasmi

    PERIKATAN Nasional (PN) telah menulis surat memohon tarikh baharu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut mengesahkan pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail Sabri sebelum ini secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.

    “Kita sudah tulis surat (sebelum ini), beliau (Ismail) minta tangguh (jumpa secara rasmi). Minggu lepas, saya ada jumpa dengan beliau, tapi bukan secara rasmi lagi, sebab wakil PN sepatutnya kita hantar empat orang. Jadi beliau kata, kita sembang-sembang dulu.

    “Saya sudah minta tarikh rasmi yang baharu supaya wakil PN boleh jumpa dan bentangkan apa yang kami mohon,” katanya.

    Beliau temui media selepas Majlis Pelancaran Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya Presint 14(1) yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Ditanya sama ada wakil PN membangkitkan soal jawatan timbalan perdana menteri (TPM) dalam pertemuan santai dengan Ismail Sabri itu, Hamzah berkata, isu itu tidak dibangkitkan dan perbincangan mereka lebih menjurus kepada hal politik semasa.

    “Tidak (bincang soal jawatan TPM) dalam perbincangan itu, (tetapi) lebih kepada masalah politik semasa, (seperti) apa perasaan PN mengenai apa yang berlaku dan sebagainya,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan isu jawatan TPM akan dibincangkan dalam pertemuan rasmi dengan Ismail nanti.

    Sebelum ini, Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau dan Hamzah mengadakan pertemuan dengan Ismail sambil makan tengah hari.

    Wakil PN yang sebelum ini dinamakan untuk pertemuan rasmi dengan perdana menteri terdiri daripada Hamzah, Samsuri, Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

  • PN akan tetapkan tarikh baharu jumpa PM

    PN akan tetapkan tarikh baharu jumpa PM

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menetapkan tarikh baharu untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa ini, tarikh baharu itu belum ditetapkan tetapi menegaskan perjumpaan dan perbincangan dengan Perdana Menteri sudah diadakan secara santai sambil makan tengah hari sebelum ini.

    Menurutnya, walaupun perjumpaan yang turut disertai Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu secara santai, banyak perkara dan pelbagai isu diutarakan.

    “Saya antara empat pemimpin yang diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan PN akan berusaha tetapkan tarikh baharu untuk berjumpa dengan Ahli Parlimen Bera,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 408 daripada 663 bekas pegawai dan anggota polis di Terengganu, hari ini.

    Yang turut hadir adalah Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan), Deputi Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin.

    Mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan perjumpaan Ismail Sabri dengan Hamzah dan Ahmad Samsuri bukannya perjumpaan rasmi, Ahmad Samsuri yang juga Bendahari PN, enggan mengulas lanjut dan menganggap kenyataan itu hanya pandangan peribadi dan tidak sedikit pun membantutkan usaha ke arah perjumpaan rasmi membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.

    “Kenyataan Wan Saiful tidak sedikit pun menjejaskan usaha untuk kita sentiasa bertemu dan berbincang serta mengadakan pertemuan membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.

    “Saya sebagai salah seorang antara empat anggota delegasi tidak akan berputus asa dan masih berusaha untuk mengadakan perjumpaan itu,” katanya.

  • PM hilang majoriti jika PN tarik sokongan – Anthony Loke

    PM hilang majoriti jika PN tarik sokongan – Anthony Loke

    KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hilang majoriti sekiranya Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

    Memetik Astro Awani, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bagaimanapun keputusan PN untuk menarik sokongan terhadap kerajaan semuanya terletak kepada Barisan Nasional (BN).

    Beliau menegaskan, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, satu senario politik baharu akan berlaku.

    “Sama ada mereka menarik diri (daripada menyokong kerajaan) atau tidak, tiada siapa yang tahu. Satu hari mereka kata, mereka akan tarik diri dan pada hari lain pula pemimpin Bersatu kata ia bukan isu, (dan) mereka tidak pernah putuskan. Jadi, Bersatu pun tak konsisten.

    “Memang mereka ini takut hilang jawatan mereka, jadi bagi kita kalau mereka tarik sokongan, maka Ismail Sabri sudah hilang majoriti,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat DAP, di sini, hari ini.

    Hubungan Ismail Sabri dan PN khususnya Bersatu, selaku tonggak gabungan itu dilaporkan ‘dingin’ susulan beberapa tuntutan parti itu tidak diambil tindakan, termasuk persetujuan bertulis untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

    Satu pertemuan di antara pimpinan gabungan berkenaan dengan Ismail Sabri sepatutnya diadakan sebelum ini dipercayai bagi membincangkan terma-terma penting dalam perjanjian di antara PN dan Perdana Menteri, namun, didakwa dibatalkan pada saat-saat akhir.

    Rasa tidak puas hati Bersatu juga didakwa tercetus apabila Perdana Menteri masih mengekalkan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi walaupun Ahli Parlimen Ampang itu keluar dari parti itu pada Mei lalu.

    Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Pakatan Harapan (PH) setakat ini belum membuat sebarang keputusan dan mengadakan perbincangan.

    “Jadi jika senario itu berlaku (PN tarik sokongan), kita akan bincang dan putuskan apa (langkah) seterusnya.

    “PH tidak akan membuat sebarang komitmen sekarang… kita tunggu dan lihat keadaan. Kalau ia berlaku, kita akan bincang apakah tindakan kita seterusnya,” tambahnya lagi.

  • PN akan sokong kerajaan hingga tamat penggal

    PN akan sokong kerajaan hingga tamat penggal

    PERIKATAN Nasional (PN) akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga habis penggal.

    Ahli Majlis Tertinggi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pendirian itu dibuat demi memastikan kestabilan politik terus dicapai.

    Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu menjelaskan, Pilihan Raya Umum (PRU) tetap akan diadakan selepas tempohnya hampir tamat tahun depan.

    “Sehingga kini, kita beri komitmen untuk sokong kerajaan untuk pastikan kestabilan politik negara kita akan berkekalan sehingga dipanggil tempoh yang telah ditentukan Perlembagaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Laman Padi di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022.

    Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengulas pendirian Ismail Sabri semalam bahawa kerajaan sedia mengadakan PRU jika PN menarik balik sokongan terhadapnya.

    Ismail Sabri berkata, sebarang tindakan yang bakal diambilnya hanya akan berpandukan pendirian rasmi PN.

    Hubungan Ismail Sabri dan PN, khususnya Bersatu, selaku tonggak gabungan itu dilaporkan “dingin” selepas beberapa tuntutan parti itu tidak diambil tindakan, termasuk persetujuan bertulis Ismail untuk melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu.

    Ismail Sabri juga mengundang rasa tidak puas hati Bersatu apabila mengekalkan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi selepas beliau meninggalkan parti itu Mei lalu.

    Jumaat lalu, The Star melaporkan kepimpinan PN kecewa dan “hilang sabar” selepas Ismail membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

    Laporan itu memetik pimpinan PN Sabah berkata, pilihan untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu minggu lalu.

    Tetapi, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman menyifatkan laporan itu sebagai “provokatif” dan menegaskan parti itu akan kekal memberikan sokongan kepada Ismail Sabri.

  • PN, PH boleh menang PRU-15, hanya perlu formula kerjasama

    PN, PH boleh menang PRU-15, hanya perlu formula kerjasama

    GABUNGAN parti-parti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) memerlukan formula yang betul jika ingin memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana terbukti mereka belum kalah secara total walaupun mengalami kekalahan teruk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor, ia hanya memenangi 43 peratus undi popular dan 36 peratus undi Melayu.

    Katanya, PH kalah kerusi campuran mereka kepada BN kerana kehilangan undi Melayu, namun undi ini bagaimanapun pergi kepada  PN.

    “Ini bermakna BN belum pulih sepenuhnya dan masih ada ruang untuk PH dan pembangkang mencari formula yang betul,” katanya.

    Hisomuddin bagaimanapun memberi amaran kepada PH, ia perlu memperkukuh jenteranya dan tidak kelihatan berpecah-belah jika mahu memberi sebarang impak pada PRU-15.

    “Walaupun PN sebuah gabungan baharu, ia berjaya tampil sebagai satu parti. Oleh itu, pengundi mengundi PN dan bukannya Bersatu atau Pas. Tetapi dalam PH, ia masih kelihatan seperti tiga parti berasingan – PKR, DAP dan Amanah,” kata penganalisis politik itu, lapor MalaysianInsight.

    Dalam pada itu, Pemimpin Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, PH mesti memperkukuhkan jentera dan menyusun semula pembangkang jika mahu mengulangi kejayaan PRU-14.

    “Kita mesti menganalisis secara mikro semua 222 kerusi untuk mencari jalan mengelak pertandingan pelbagai penjuru.

    “Walaupun tidak semua kerusi harus menjadi pertandingan satu lawan satu, kerana beberapa kerusi hanya boleh dimenangi jika ia ditandingi lebih banyak parti, Pakatan Harapan mesti menyusun semula pembangkang jika mahu menang semula,” katanya pada forum dalam talian yang dikendalikan oleh Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah, Asmaaliff Abdul Adam, malam tadi.

    Bekas menteri kesihatan itu mengulas strategi PH pada PRU-15 selepas kalah teruk dalam tiga pilihan raya negeri di Melaka, Sarawak dan Johor.

    Salah satu punca kekalahan itu adalah kerana pertembungan berbilang penjuru antara BN, PH dan PN.

    Walaupun penggal Parlimen sekarang hanya tamat pada 16 Julai 2023, parti politik dan pemerhati menjangkakan PRU-15 akan diadakan tahun ini. 

    “Kita tidak sepatutnya bercakap mengenai mana-mana khemah sekarang. Apa yang penting kita menyusun semula pembangkang untuk mengelak tewas mudah kepada Barisan Nasional,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, Parti Keadilah Rakyat (PKR) mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan pada pilihan raya akan datang selepas Langkah Sheraton.

    “Keutamaan kami adalah mempertahankan apa yang kami ada dan kemudian mencari jalan untuk memenangi kembali kerusi yang berpaling tadah,” kata Fahmi.

    Beliau berkata, walaupun semua parti terjejas susulan Langkah Sheraton pada 2020, PKR paling menderita kerana kehilangan lebih 10 ahli Parlimen.

    “Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk mengekalkan apa yang kita ada dan kemudian keluar dan melihat bagaimana untuk memenangi semula Gombak, Ampang, Batu Pahat, Tebrau dan lain-lain,” katanya.