Tag: PN tidak desak adakan PRN Johor-Wan Saiful

  • Bersatu teliti terperinci kemelut politik Sabah sebelum keluar kenyataan

    Bersatu teliti terperinci kemelut politik Sabah sebelum keluar kenyataan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung kemelut politik yang berlaku di Sabah ketika ini.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ketika ini, barisan pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu sedang meneliti dengan terperinci berhubung kemelut di negeri tersebut.

    Menurut beliau, hasil penelitian itu kelak akan dikumpulkan dan disuarakan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi mengelakkan percanggahan kenyataan.

    Jelasnya, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung Bersatu juga sedang menguruskan situasi di Sabah termasuk mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli dan barisan pemimpin Bersatu Sabah hujung minggu lalu.

    “Semua input daripada perjumpaan itu akan dikumpulkan sebelum disuarakan oleh mereka kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    “Kita akan keluarkan kenyataan yang lebih tepat bagi mengelakkan sebarang percanggahan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Kemelut politik Sabah bermula apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

    Situasi itu berlanjutan apabila Hajiji mendakwa masih mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala Bung Moktar meneruskan usahanya untuk menumbangkan kerajaan GRS.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, kemelut politik di Sabah berlaku disebabkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang disifatkan sebagai ‘pengganggu’.

    “Saya rasa ini adalah realiti sikap UMNO yang sebenarnya. Kita kena ingat masa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, pihak yang membuat kacau adalah UMNO, daripada sebelum itu lagi apabila kalah, yang buat kacau itu UMNO juga.

    “Jadi (kini) yang menarik sokongan ini ialah UMNO. Inilah realiti UMNO yang tidak menghormati perjanjian yang rakus dalam merebut kuasa dan kita harap penyelesaian terbaik yang akan dicapai,” katanya.

  • Bersatu, PN tidak desak adakan PRN Johor-Wan Saiful

    Bersatu, PN tidak desak adakan PRN Johor-Wan Saiful

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama-sama Pas serta setiap parti dalam Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menuntut atau mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

    Justeru menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, tindakan sesetengah pihak yang benar-benar berminat untuk mengadakan PRN di negeri itu adalah sesuatu yang sukar difahami.

    Katanya, tindakan golongan tersebut mungkin disebabkan mereka memiliki agenda tertentu.

    “Secara peribadi saya merasakan ini bukan masa yang betul untuk diadakan PRN. Malah rakyat juga pastinya merasakan perkara itu bukan satu keutamaan ketika kita masih dibelenggu isu banjir, Covid-19 dan ekonomi.

    “Kita dalam Bersatu dan PN tidak pernah ‘demand’ supaya diadakan PRN dan saya tak faham mengapa ada yang berminat sangat dengan perkara itu. Jadi kita serahkan kepada semua pihak untuk buat penilaian,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program PTPTN Prihatin 2022 di Masjid Bani Hashim, Kariah Hosba dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

    Wan Saiful bagaimanapun memaklumkan, Bersatu sentiasa bersedia untuk menyertai PRN tersebut sekiranya ia benar-benar berlaku.

    “Sekiranya berlaku PRN, kita sentiasa bersedia untuk mendepaninya. Cumanya dari segi masa, saya rasa ini bukan masa tepat untuk adakan PRN.

    “Di peringkat Pusat, kita sebenarnya dah diarahkan bersedia untuk hadapi pilihan raya sejak setahun lepas lagi. Jadi persediaan itu memang berterusan,” katanya.

    Mengulas mengenai usaha untuk melaksanakan akta anti lompat parti di negara ini, Wan Saiful berkata, Bersatu tiada halangan malah memang merasakan ada faedah daripada pelaksanaan akta tersebut.

    Begitu pun katanya, banyak perkara perlu diteliti dengan kerajaan diharap dapat membuat kajian terperinci dalam hal-hal berkaitan, termasuk kesan pelaksanaan akta itu terhadap hak individu untuk berpersatuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan negara.

    “Sebagai contoh, katakanlah ada individu keluar daripada parti yang sedang berkuasa di negara ini disebabkan parti tersebut menyeleweng.

    “Jika akta itu diperkenalkan dan undang-undang menetapkan perlu diadakan pilihan raya semula, maka mungkin akan ada ‘disadvantage’ kepada individu yang membuat keputusan berprinsip tersebut.

    “Justeru itu semua perkara tersebut perlu diteliti. Walaupun secara prinsipnya kita menyokong pelaksanaan akta tersebut, namun kita juga perlu pastikan hak semua pihak terjaga dengan baik,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mengharapkan berlaku perdebatan yang ‘sihat’ mengenai perkara itu.

    “Jangan terlalu emosi dan populis membicarakan hal ini kerana kita perlu buat benda betul demi kepentingan negara pada masa depan,” katanya.