Oleh RIZQI ZABIDI

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama-sama Pas serta setiap parti dalam Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menuntut atau mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

Justeru menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, tindakan sesetengah pihak yang benar-benar berminat untuk mengadakan PRN di negeri itu adalah sesuatu yang sukar difahami.

Katanya, tindakan golongan tersebut mungkin disebabkan mereka memiliki agenda tertentu.

“Secara peribadi saya merasakan ini bukan masa yang betul untuk diadakan PRN. Malah rakyat juga pastinya merasakan perkara itu bukan satu keutamaan ketika kita masih dibelenggu isu banjir, Covid-19 dan ekonomi.

“Kita dalam Bersatu dan PN tidak pernah ‘demand’ supaya diadakan PRN dan saya tak faham mengapa ada yang berminat sangat dengan perkara itu. Jadi kita serahkan kepada semua pihak untuk buat penilaian,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program PTPTN Prihatin 2022 di Masjid Bani Hashim, Kariah Hosba dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

Wan Saiful bagaimanapun memaklumkan, Bersatu sentiasa bersedia untuk menyertai PRN tersebut sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Sekiranya berlaku PRN, kita sentiasa bersedia untuk mendepaninya. Cumanya dari segi masa, saya rasa ini bukan masa tepat untuk adakan PRN.

“Di peringkat Pusat, kita sebenarnya dah diarahkan bersedia untuk hadapi pilihan raya sejak setahun lepas lagi. Jadi persediaan itu memang berterusan,” katanya.

Mengulas mengenai usaha untuk melaksanakan akta anti lompat parti di negara ini, Wan Saiful berkata, Bersatu tiada halangan malah memang merasakan ada faedah daripada pelaksanaan akta tersebut.

Begitu pun katanya, banyak perkara perlu diteliti dengan kerajaan diharap dapat membuat kajian terperinci dalam hal-hal berkaitan, termasuk kesan pelaksanaan akta itu terhadap hak individu untuk berpersatuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan negara.

“Sebagai contoh, katakanlah ada individu keluar daripada parti yang sedang berkuasa di negara ini disebabkan parti tersebut menyeleweng.

“Jika akta itu diperkenalkan dan undang-undang menetapkan perlu diadakan pilihan raya semula, maka mungkin akan ada ‘disadvantage’ kepada individu yang membuat keputusan berprinsip tersebut.

“Justeru itu semua perkara tersebut perlu diteliti. Walaupun secara prinsipnya kita menyokong pelaksanaan akta tersebut, namun kita juga perlu pastikan hak semua pihak terjaga dengan baik,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengharapkan berlaku perdebatan yang ‘sihat’ mengenai perkara itu.

“Jangan terlalu emosi dan populis membicarakan hal ini kerana kita perlu buat benda betul demi kepentingan negara pada masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here