Tag: PN Pahang

  • PN Pahang sedia bantu kempen PRN enam negeri

    PN Pahang sedia bantu kempen PRN enam negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang bersedia turun padang bagi membantu kempen gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada Mei depan.

    Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu arahan daripada PN Pusat untuk menghantar bantuan ke enam negeri yang terlibat.

    “Kita sudah mula berbincang dan pengagihan jentera parti ke negeri-negeri terlibat akan diputuskan mendapat arahan daripada Majlis Tertinggi PN.

    “Sebaik sahaja menerima arahan, kita akan segera bergerak ke kawasan yang telah diamanahkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program IM Dialog, perkembangan terbaru dan isu-isu lain di pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Indera Mahkota pada Sabtu.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiga negeri dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

    Tindakan sama turut diambil Pas di tiga negeri dikuasainya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Ditanya mengenai program IM Dialog, Saifuddin berkata, ia adalah satu siri diskusi untuk percambahan idea, dasar-dasar dan program pembangunan yang bersepadu dalam pelbagai bidang seperti penghakupayaan belia, wanita, ekonomi, hal ehwal antarabangsa serta kehidupan digital.

    Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan pelaksanaan ini dalan bentuk sidang meja bulat, makmal, persidangan, penerbitan dan khidmat masyarakat yang dibangunkan atas nilai murni seperti keadilan, kebenaran serta kesukarelaan.

  • Kemuka input selesai isu perumahan demi kesejahteraan rakyat

    Kemuka input selesai isu perumahan demi kesejahteraan rakyat

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin akan memberi fokus kepada isu perumahan di Pahang dengan menjalankan peranan semak dan imbang selain memberikan input bagi mencari penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.

    Beliau yang diberikan peranan untuk menjaga portfolio berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan berterima kasih kepada Perikatan Nasional (PN) Pahang kerana menubuhkan portfolio kepada semua 17 ADUN gabungan itu.

    Menurutnya, beliau akan menjalankan amanah tersebut bagi memastikan wujud elemen semak dan imbang dalam isu perumahan negeri kerana masih ramai rakyat yang belum mempunyai kediaman sendiri.

    “Saya akan fokus kepada isu membabitkan anak-anak muda yang memohon rumah dan sudah bertahun-tahun masih belum dapat dari kerajaan negeri terutama kepada yang kurang berkemampuan.

    “Tumpuan juga akan saya berikan kepada projek perumahan mampu milik, projek rumah murah, perumahan PR1MA dan skim-skim perumahan kerajaan negeri yang ada.

    “Saya menyarankan supaya dilihat dan dikaji semula prosedur pemilihan dan kelayakan pemohon supaya kerajaan telus dalam pemberian tanpa mengira ideologi politik,” katanya dalam kenyataan.

    Baru-baru ini, PN Pahang menubuhkan 18 portfolio tumpuan dipegang semua 17 ADUN gabungan berkenaan di negeri ini.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, portfolio tumpuan itu bertujuan membayangi kerja-kerja dijalankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri.

    Kata Saifuddin, penubuhan portfolio tumpuan itu sebagai suatu petanda bahawa PN Pahang serius untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di negeri ini.

    Mengulas lanjut, Jasri berkata, beliau juga akan memberikan fokus kepada projek Perumahan Generasi Kedua Felda yang banyak masih belum siap di tanah rancangan di negeri ini.

    “Saya harap dapat memberi input berguna dan konstruktif kepada kerajaan negeri terutama Exco yang menjaga portfolio perumahan bagi mencari penyelesaian terbaik isu-isu berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Saya juga berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama, maklumat-maklumat berkaitan, status terkini perumahan negeri untuk sama-sama kita memajukan negeri seperti yang disarankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri yang lalu,” katanya, lapor BeritaBersatu.

  • PN Pahang tawar kerajaan berintegriti, bersih

    PN Pahang tawar kerajaan berintegriti, bersih

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang menjanjikan sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih, jika menang dan dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Hanya PN yang boleh membangkitkan dan memberi jaminan pemerintahan yang bebas rasuah.

    “Yang kita janjikan adalah kerajaan yang berintegriti di peringkat Persekutuan dan negeri. Kita juga mahu menjadi (pemerintah) bersih,” katanya ketika berucap pelancaran jentera PRU15 PN Parlimen P84 Paya Besar di Dewan D’Persada Baroqah di Kuantan, malam tadi.

    Saifuddin turut merasmikan pelancaran jentera PRU15 PN Parlimen Paya Besar yang dihadiri Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan wakil daripada Parti Gerakan.

    Beliau menjelaskan, setakat ini tiada seorang pemimpin Pas yang mentadbir negeri sama ada di Kelantan dan Terengganu terpalit isu rasuah.

    Malah katanya, menteri daripada Pas yang bersama menganggotai kabinet juga tidak mempunyai masalah dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Pahang ada isu air dengan kerajaan Persekutuan dari zaman BN, ada hutang, tujuh tahun lalu. Tidak selesai dan silih berganti menteri yang jaga air (Menteri Alam Sekitar dan Air).

    “Isu ini berlarutan ketika menteri daripada BN, selepas itu, daripada Pakatan Harapan (PH) seterusnya PN. Kemudian Tuan Ibrahim (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang menjadi menteri yang menjaga air pada ketika ini membantu menyelesaikan hutang kerajaan Pahang dengan Persekutuan.

    “Jadi, janganlah tengok orang itu pakai songkok, kopiah, ada janggut, kita fikir mereka tidak pandai mentadbir, tapi kita perlu lihat sahsiahnya rasuah atau tidak rasuah, ada integriti atau tidak,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Menjawab pertanyaan PN mampu menang di Pahang, Saifuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota memaklumkan, PN tidak mustahil mampu menawan Pahang.

    Katanya, keyakinan ini disuarakan selepas melihat kekuatan gabungan dalam PN dan sepakatan yang gitu antara parti dalam komponen.

    “Ada yang ada tanya boleh ke PN menang di Pahang? Saya kata Bersatu tiada kerusi dan kami tiada kerusi menang dalam DUN. Tapi Pas ada lapan kerusi DUN pada pilihan raya lalu.

    “Tidak silap saya Pas hampir menang 11 kerusi atau lebih itu termasuk di DUN Semambu dalam Parlimen Indera Mahkota. Kalau campur kerusi yang Pas kalah tipis, PN boleh menerajui Pahang,” ujar beliau.