Tag: PM Ke-10

  • Kebebasan bersuara di zaman PM ke-10 mengecewakan

    Kebebasan bersuara di zaman PM ke-10 mengecewakan

    Oleh MARDHIYYAH JOHARI

    TERIMA kasih atas teguran yang tepat dari Lawyers for Liberty.

    Sejujurnya saya terkejut melihat pendekatan ‘mendiamkan kritikan’ dengan cara yang sangat tidak munasabah hanya dalam tempoh beberapa hari Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.

    1. Saya membaca kenyataan Fahmi Fadzil yang memetik nama rakyat biasa bernama Widanita. Status yang dirujuk Fahmi sebenarnya hanya berkongsi berita mengenai apa yang diucapkan oleh seorang Editor Israel mengenai Perdana Menteri ke-10 .

    Di ruang komen penuh komen-komen bersifat cyber bully terhadap Pn Widanita, malah ada individu yang expose gambar keluarga Pn Widanita dengan komen yang keterlaluan. Melampau.

    Saya dimaklumkan oleh sumber dipercayai bahawa selepas Ketua Penerangan PKR ini menyebut nama Pn Widanita, dia diganggu oleh beberapa individu termasuk ada individu yang menunjukkan bahawa dia mempunyai maklumat peribadi Pn Widanita seperti No kad pengenalan dan lain-lain.

    Dahsyat ya kebebasan bersuara di zaman Perdana Menteri ke-10.

    1. Audio suara yang dikaitkan dengan Ustaz Hassan MP Baling hanyalah audio yang langsung tidak dapat dibuktikan perkaitan dengan Ustaz Hassan.

    Rakaman suara mak cik entah siapa-siapa, petik nama Ustaz Hassan mendakwa DS Anwar Ibrahim sekian-sekian.

    Tengok berita, Perdana Menteri bagi masa 3 hari untuk Ustaz Hassan minta maaf! Dahsyat!

    Walaupun audio dengan kualiti yang sangat lemah untuk dijadikan evidence, Perdana Menteri boleh bagi warning ya. Rasa macam zaman Perdana Menteri ke-4 dah.

    1. Termasuklah Bukit Aman siasat Presiden PAS atas kenyataan terkait Anwar Ibrahim.
    2. Saya bersetuju dengan pendapat Lawyers for Liberty dalam isu ini, bahawa perkara ini boleh diambil tindakan melalui tuntutan sivil sahaja sama seperti rakyat kebanyakan.

    Tidak perlu menggunakan polis hanya untuk melindungi reputasi seorang Perdana Menteri. Kita faham PDRM tiada pilihan bila ianya melibatkan seorang Ketua Negara.

    Apa guna kita dipuja kerana menggunakan pen dan sandal murah, tetapi kita tarik nikmat yang lebih mahal dari rakyat berupa kebebasan bersuara.

    1. Saya fikir semasa Tun Mahathir naik sebagai Perdana Menteri ke-7, dia sendiri sudah menghentikan budaya politik sebegitu. Dan kita tidak melihat lagi pendekatan sebegini apabila naik Perdana Menteri ke-8 dan ke-9. Jadi saya fikir siapa sahaja yang naik, dari parti mana sekali pun, kita sudah melepasi budaya politik intimidasi kuno dan menakut-nakutkan rakyat, namun saya kecewa perlu melihat situasi tidak menghormati hak asasi manusia seperti ini kembali pada tahun 2022 di bawah pemerintahan mantan reformis.

    Nota: Kena bezakan menyentuh individu dengan menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.

    Penulis adalah Timbalan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia

  • PM ke10: Hadi yakin PN masih di hadapan

    PM ke10: Hadi yakin PN masih di hadapan

    TAN Sri Abdul Hadi Awang percaya Perikatan Nasional (PN) masih di hadapan dalam pelantikan Perdana Menteri ke-10 sekali gus membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, gabungan itu sedang mengusahakan perkara itu dan meminta rakyat kekal bertenang.

    Malah menurut Presiden Pas itu, beliau yakin PN berada di pihak yang benar.

    “Kekal tenang. Kita (PN) sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

    “Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara,” katanya menerusi catatan ringkas di Facebook, hari ini.

    Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan keputusan UMNO untuk menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diketuai PN.

    Hari ini, satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.

    PRU-15 pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

    Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

    Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. 

  • PM ke-10: Annuar dakwa ada konspirasi pihak cuba kelirukan Agong

    PM ke-10: Annuar dakwa ada konspirasi pihak cuba kelirukan Agong

    TAN Sri Annuar Musa mendakwa terdapat konspirasi terancang oleh pihak yang cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan Perdana Menteri ke-10.

    Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu tanpa merujuk kepada mana-mana individu mendakwa, pihak terbabit mengemukakan dokumen bercanggah Perlembagaan negara malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dibuat hari ini.

    “Difahamkan ada pihak sekali lagi cuba ‘misled’ (mengelirukan) Yang di-Pertuan Agong dengan dokumen bukan saja bercanggah Perlembagaan malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi BN hari ini.

    “Perbuatan menjayakan ‘konspirasi terancang’ ini amat serius dan melanggar dasar (diputuskan pada) Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini serta keputusan Dewan Tertinggi BN dan difahamkan ianya tidak terpakai,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata, dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong proses pemilihan Perdana Menteri akan selesai dengan baik.

    Menurut beliau, kerumitan adalah kerana ada pihak dalam BN membuat pakatan sulit atau konspirasi sejak sebelum PRU15, tanpa menyedari perkara itu menjadi satu kesalahan besar serta tidak sah dan terbatal.

    “Pertama, dasar parti ‘No Anwar, No DAP’ diputuskan dalam perhimpunan agung adalah ‘binding’ (mengikat) semua orang dan tak boleh dirombak mana-mana individu. Sebarang tindakan bercanggah dengan dasar parti adalah ‘null and void’.

    “Kedua, pendirian anggota parlimen dipilih, untuk menentukan siapa mereka sokong bagi memegang jawatan Perdana Menteri, mesti dibuat tanpa sebarang tekanan sesiapa. Ahli parlimen berhak membuat keputusan mengikut dasar parti diputuskan secara sah.

    “Sebarang dokumen lain cuba dimanipulasi adalah terbatal dan tidak sah serta tidak berperlembagaan. Justeru kita yakin kebijaksanaan dan sikap adil serta berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai penguasa mutlak dalam melantik Perdana Menteri,” katanya.

    Annuar berkata, beliau difahamkan setiap Ahli Parlimen BN akan diberi peluang menyatakan sendiri pilihan mereka, sesuai dengan kehendak perlembagaan dan masalah konspirasi yang terbongkar, akan diurus UMNO dan BN.

  • PM ke-10: Belum ada keputusan daripada Agong – Anwar

    PM ke-10: Belum ada keputusan daripada Agong – Anwar

    ISTANA Negara belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini

    Anwar berkata dalam pertemuan itu, Agong menitahkan keperluan menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif untuk semua kaum, agama dan wilayah.

    Setakat ini katanya, tidak timbul persoalan mengenai pembentukan kerajaan minoriti.

    Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap di Istana Negara pada pukul 4.30 petang.

    Ini susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.