Tag: PM kali ketiga

  • PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai masalah untuk diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya terdapat desakan kuat daripada rakyat untuk beliau kembali memimpin negara.

    Begitu pun menurut Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, seboleh-bolehnya beliau mengharapkan perkara itu tidak berlaku.

    “Tak taulah desakan kuat… Tetapi setakat ini saya masih boleh berfungsi, bergerak, bercakap berunding dan buat semua perkara.

    “Walaupun umur saya lebih, tetapi saya masih lagi boleh bekerja dan kalau orang nak juga (dirinya jadi Perdana Menteri), takkanlah saya nak tolak?

    “Itu pun kalau nak jugalah… Tetapi seboleh-bolehnya, tidaklah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama Jentera Pilihan Raya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA di Pejabat Pejuang Langkawi di Kedah, hari ini.

    Sementara itu beliau menyifatkan pembentangan Bajet oleh kerajaan dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan hanyalah untuk membeli undi daripada rakyat.

    Menurutnya, tindakan tersebut hanyalah untuk memberikan duit kepada semua orang.

    “Itu Bajet untuk membeli undi tetapi nak kita nak bahaskan pun tak bagi. Biasanya apabila Bajet dikemukakan, parti lawan akan ada peluang beri pendapat tetapi kali ini tak bagi peluang langsung untuk dibahaskan dan tiba-tiba saja bubar Parlimen.

    “Jadi apa perlunya kemukakan bajett walaupun kita tahu Parlimen mungkin dibubarkan? Ini jelas merupakan Bajet politik, Bajet pilihan raya dan kita juga perlu tanya mengapa buat Bajet kalau lepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan buat bajet lagi satu?” katanya.

    Ditanya pandangannya mengenai kenyataan dibuat bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Langkawi bagi menentang beliau di Langkawi dalam PRU nanti, Mahathir berkata, beliau ‘okay’ saja dengan perkara itu.

    “Kalau dia nak bertanding, bertandinglah… Saya ‘okay’ saja kerana ini negara demokrasi dan demokrasi membenarkan siapa saja yang nak bertanding.

    “Kalau ada 100 orang nak bertanding di Langkawi pun, ‘okay’,” katanya.

  • Sudah-sudah Tun, berehatlah

    Sudah-sudah Tun, berehatlah

    KETUA Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang percaya, adalah tidak wajar sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

    Memetik laporan portal BeritaBersatu, beliau berkata sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir berehat dari kancah politik.

    “Dulu kita telah bertungkus lumus untuk dia jadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    “Kenapa dia letak jawatan, kalau nak jadi perdana menteri,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang memaklumkan sedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat.

    Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

    Sementara itu, Azmi berkata beliau menyanjung Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri yang membawa kemakmuran pada negara sebelum ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata bukan masanya lagi untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri lagi.

    “Masa dia untuk rehat. Tidak perlu campur aduk politik.

    “Duduk di rumah dengan anak cucu. Buat amal ibadat, sudahlah,” katanya.

    Dalam pada itu, Azmi berkata pengaruhi Gerakan Tanah Air (GTA) di Pulau Pinang tidak memberi impak yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

    Katanya, sokongan PN kuat dan tidak terganggu dengan parti-parti baru.

    “Parti baru ini, apa saya temgok setakat setengah jalan sahaja.

    “Takkan boleh nak goyang PN. Bagi pendapat saya, PN Pulau Pinang tak ada masalah dengan kehadiran GTA,” katanya.