Tag: PKRC

  • Hantar pulang pesakit dari PKRC bukan tugas KKM

    Hantar pulang pesakit dari PKRC bukan tugas KKM

    MENGHANTAR pulang pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

    Beliau berkata bagaimanapun pihaknya memberi kemudahan menyediakan perkhidmatan ambulans bagi tujuan berkenaan dengan kerjasama beberapa agensi.

    “Tugas untuk membawa pulang pesakit ke rumah mereka bukan tanggungjwab KKM, tetapi atas beberapa inisiatif pihak kami di PKRC, kita bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Majlis Daerah untuk menyediakan perkhidmatan ambulans.

    “Ia bukan tugas kami memandangkan mereka (pesakit) sudah sembuh, tetapi kita ambil tanggungjawab itu untuk memudahkan urusan mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKRC Gelanggang Seni di sini hari ini.

    Dr Zaini berkata demikian sebagai mengulas mengenai satu video tular menerusi laman media sosial memaparkan seorang wanita membuat siaran langsung di media sosial miliknya sambil berang apabila diminta pulang sendiri ke rumah selepas dibenarkan pulang dari sebuah PKRC di negeri ini.

    Wanita berkenaan turut mendakwa tugas menghantar pulang pesakit dari PKRC sepatutnya adalah tanggungjawab pihak KKM. 

     Dr Zaini berkata pihaknya melakukan siasatan berkaitan video tular itu dan melihat bahawa aspek komunikasi perlu diperkemaskan supaya salah faham tidak lagi berlaku.

    Beliau berkata pesakit yang dibenarkan pulang dari PKRC juga merupakan mereka yang sudah bebas daripada jangkitan COVID-19 sekali gus tidak mempunyai masalah untuk pulang sendiri termasuk menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi dan e-hailing.

    “Memang kita mengharapkan dapat memberi keselesaan tetapi masyarakat juga perlu tahu pada masa kini, kita (petugas kesihatan) berdepan dengan beribu pesakit.

    “Selain itu pihak kami juga berdepan dengan kekangan petugas kesihatan yang terhad memandangkan mereka bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri Kelantan tetapi sebahagiannya telah dimobilisasi ke negeri luar,” katanya. – BERNAMA

  • Terengganu buka satu lagi PKRC di Stadium Negeri

    Terengganu buka satu lagi PKRC di Stadium Negeri

    Mohd Lazim Endut

    SEBUAH lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di Terengganu dalam tempoh terdekat ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memberitahu, ia bertujuan menampung jumlah pesakit ekoran berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

    Keadaan di dalam Stadium Negeri yang bakal dijadikan sebagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam masa terdekat ini.

    Menurut Dr. Alias, PKRC yang bakal beroperasi di Stadium Negeri dengan kapasiti 400 katil adalah sebagai persiapan awal dalam menangani kes yang memerlukan bantuan oksigen.

    Setakat ini katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang berusaha membuka PKRC Stadium Negeri bukan kerana PKRC sedia ada sudah penuh, tetapi ia adalah sebagai persiapan awal bagi menghadapi kes pesakit memerlukan bantuan oksigen.

    “JKNT memerlukan fasiliti sesuai untuk menambah kapasiti katil yang boleh digunakan untuk bantuan oksigen (pesakit kategori 4) kepada 400 katil, berbanding sekarang hanya 267 katil,” katanya.

    Dr. Alias berkata, Stadium Negeri merupakan pilihan terbaik kerana pelbagai kelebihan yang ada dan pembukaan PKRC baharu itu akan diketuai Pegawai Daerah Kuala Terengganu dibantu pelbagai agensi lain.

    Malah katanya, lokasi stadium itu hanya terletak berhadapan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), memudahkan urusan jika diperlukan selain mampu memuatkan lebih ramai pesakit.

    “Selain itu, stadium ini juga ada kemudahan tempat letak kenderaan, bilik untuk kegunaan kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan selain petugas dapat memantau pesakit dengan lebih jelas kerana dapat melihat pesakit sepanjang masa,” ujarnya.

    Dr.Alias memberitahu, Terengganu setakat ini mempunyai tujuh PKRC yang mampu memuatkan 3,193 pesakit dalam satu masa dengan melibatkan penggunaan katil sekitar 65 peratus.

    Tujuh PKRC itu ujarnya ialah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut, Universiti Teknologi MARA Kuala Terengganu, Kem Wawasan Besut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Terengganu, Penjara Marang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman.