Tag: pilihan raya negeri

  • Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh memikirkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai dan Tioman.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini adalah waktu terbaik kepada gabungan itu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hasil gelombang rakyat yang menyokong mereka.

    Katanya, perkembangan semasa itu juga ditambah dengan kemarahan rakyat terhadap pelantikan barisan menteri Kabinet baru-baru ini.

    “Rakyat menunjukkan rasa marah kepada Kabinet dan marah kepada UMNO. Orang MIC, India pun banyak yang turut marah kerana tidak diberi pengiktirafan (tiada wakil MIC dalam Kabinet).

    “Jadi saya percaya Kedah, Kelantan dan Terengganu ini masa terbaik diadakan PRN selepas selesai pilihan raya di Padang Serai dan Tioman,” katanya selepas program Flash Mob PN di Lunas, di Kulim.

    Shahidan menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN sekali gus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

    “Pernah berlaku di zaman Rasullah selepas habis berlaku peperangan, Rasullah tidak benarkan askar-askar balik ke rumah sebaliknya terus berperang dengan orang-orang Yahudi.

    “Jadi selepas pilihan raya ini saya ingat askar-askar kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini terus dengan PRN saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya.

  • PRN: Hasni kata Johor tak suka nombor ‘satu’

    PRN: Hasni kata Johor tak suka nombor ‘satu’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KELEBIHAN hanya satu sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki Johor ketika ini dilihat tidak menggembirakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

    Sambil terus berteka-teki dengan spekulasi mengenai pembubaran DUN Johor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga seolah-olah tidak menafikan khabar angin akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Malah, Hasni berkata, ketika ramai orang mahu menjadi nombor satu dalam apa sahaja perkara, mereka sebaliknya tidak suka dengan angka tersebut yang dipercayai merujuk kepada majoriti satu kerusi DUN.

    “Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan negeri hanya mempunyai satu majoriti. Walaupun semua orang suka menjadi nombor satu tetapi Johor mungkin tidak suka dengan istilah satu itu.

    “Kalau ada pihak mengatakan bila nak ada pilihan raya atau ada tarikh untuk adakan pilihan raya kecil atau negeri ini, saya rasa seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan.

    “Tetapi hanya melihat dan meninjau kemungkinan-kemungkinan apabila kerajaan Johor hanya mempunyai satu majoriti sahaja. Itulah keadaannya yang masih ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Keusahawanan Johor 2021 hari ini.

    Hasni mengulas desas-desus pembubaran DUN Johor yang semakin hangat diperkatakan dan kononnya akan berlaku seawal minggu ini seperti yang menjadi bualan ramai pihak sejak kebelakangan ini.

    Khabar angin yang bertiup kencang itu turut mendapat perhatian Pakatan Harapan (PH) Johor yang mengakui ada perbincangan mengenai kebarangkalian itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

    Pembahagian kerusi DUN Johor sangat tipis ketika ini dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki 28 kerusi, manakala PH pula 27 kerusi selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasil reaksi daripada rakan gabungan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, Hasni memberitahu, sokongan yang diberikan masih belum goyah.

    Katanya, tidak ada isu yang berbangkit dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini yang boleh membawa kepada pembubaran DUN Johor.

    “Kita perlu melihat jika terdapat gambaran bahawa sokongan berubah ataupun sekiranya ada agenda-agenda yang perlu dibawa yang memerlukan sokongan Dewan Negeri sama ada perkara itu boleh (lulus) atau tidak diperolehi.

    “Ini adalah perkara-perkara yang saya maksudkan bagaimana reaksi keadaan di bawah apabila kerajaan hanya mempunyai satu majoriti sahaja.

    “Sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan itu semua saya percaya tidak berbangkit pada waktu ini,” katanya.

  • Majoriti kerajaan cuma 1 kerusi, Johor mungkin ada PRN?

    Majoriti kerajaan cuma 1 kerusi, Johor mungkin ada PRN?

    KERAJAAN Johor akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

    “Saya sedang memantau keadaan apabila berlakunya keadaan sedemikian dengan kematian Datuk Osman Sapian (yang merupakan) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, menjadikan (kerajaan negeri) Johor tinggal satu majoriti (kerusi) sahaja.

    “Maka itu, perlu saya memahami reaksi khususnya kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan kerana kami telah bersetuju pada 6 Jan ini, kami akan mengadakan sidang khas untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenaan dengan pengundi berusia 18 tahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura mengenai pertemuan beliau dan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini.

    Hasni yang juga ADUN Benut, bagaimanapun mengakui kemungkinan untuk mengadakan PRN itu sedikit berbeza memandangkan situasi politik di Johor yang sedikit unik berbanding negeri lain.

    “Jadi kemungkinan untuk mengadakan PRN saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana yang berlaku di Sarawak dan Melaka.

    “Hal ini kerana Johor adalah negeri yang unik dan selama tempoh hampir dua tahun ini, kami telah pun menguruskan perjalanan dewan dan telah dapat gubal beberapa dasar dan atas dasar itu, sekiranya PRN ingin diadakan kami perlu melihat kepada kemungkinan-kemungkinan yang berada di lapangan,” kata beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

    Susulan kematian Osman pada 21 Dis lepas, kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

    Terdahulu, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat telah memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Kempas memandangkan kekosongan berlaku lebih tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – BERNAMA