Tag: PH

  • ‘Guna logo, tema Hari Kebangsaan nasional bukan kita nak ikut PH’

    ‘Guna logo, tema Hari Kebangsaan nasional bukan kita nak ikut PH’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah akan menggunakan logo serta tema yang sama dengan Kerajaan Pusat menjelang sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada isu berbangkit berhubung perkara itu dengan tindakan sedemikian juga langsung tidak bererti yang negeri ini mengikut Pakatan Harapan (PH).

    “Sama seperti Terengganu, pendirian kita adalah mengikut kerajaan Persekutuan dengan menggunakan logo serta tema sama. Ini merupakan sambutan di peringkat kebangsaan, jadi negeri ikut sajalah.

    “Nak timbulkan perbalahan buat apa? Tindakan ini bukan bermakna kita setuju dengan madani atau Perpaduan… Perpaduankah, Madanikah, ‘hang bubuhlah apa pun tetapi hati kita tetap macam kitalah.

    “Yang penting adalah semangat patriotik itu kerana slogan yang sebelum ini pun kita lupa dah. Bukan kita nak ikut PH tetapi oleh kerana dah dijadikan slogan nasional, kita ikut sajalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Beliau dalam pada itu turut menempelak pihak yang menggunakan isu berkenaan bagi melaga-lagakan pihak lain.

    “Berdosa melagakan orang ini. Jangan jadi ‘Don King’ yang kerjanya melaga-lagakan Muhammad Ali dan Joe Frazier,” katanya.

  • PH, BN gali kubur sendiri dengan bawa naratif fitnah

    PH, BN gali kubur sendiri dengan bawa naratif fitnah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ibarat menggali kubur sendiri apabila terus memainkan naratif fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, fitnah tersebut yang dihamburkan satu demi satu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanyalah semata-mata untuk menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

    Namun katanya, semua itu ibarat memakan diri mereka sendiri dengan segala tohmahan tersebut dijawab satu persatu oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Jawapan tersebut mengambarkan Menteri Kerajaan Perpaduan tidak tahu selok-belok pentadbiran.

    “Seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH dan BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri. Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal, bahkan sokongan kepada Muhammad Sanusi pula semakin melonjak naik,” katanya.

    Ahmad Yahaya menambah, naratif dimainkan kononnya Muhammad Sanusi tidak berbuat apa-apa selaku Menteri Besar sebenarnya hanya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

    “Hakikatnya gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PH serta BN semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung. Malah, tidak mustahil negeri-negeri selesa dikuasai kedua-dua gabungan itu akan diambil alih PN.

    “PAS Kedah yakin PH serta BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Muhammad Sanusi,” katanya.

    Tegasnya, ketika ini rakyat di keenam-enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia memastikan PH dan BN tersungkur.

    “Kebangkitan itu sebenarnya sedang dipimpin oleh Muhammad Sanusi,” katanya.

  • PH, BN guna logo sendiri pada PRN Kelantan, kata Nik Nazmi

    PH, BN guna logo sendiri pada PRN Kelantan, kata Nik Nazmi

    PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memilih menggunakan logo masing-masing menjelang PRN Kelantan.

    Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kedua-dua gabungan politik itu juga mengesahkan tidak berlaku pertembungan antara dua parti berkenaan.

    Namun penggunaan logo bagi PRN Terengganu belum diputuskan, katanya.

    “Setakat ini, isu logo masih dalam perbincangan untuk PRN Terengganu. Di Kelantan, kita akan pakai logo PH, BN pakai logo mereka,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Teluk Renjuna, Tumpat.

    Sementara itu, Nik Nazmi berkata, agihan kerusi di Kelantan sudah selesai.

    “Soal pengagihan kerusi agak cepat dapat diselesaikan dan kita kini berada dalam mood yang sangat positif,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan, pembahagian kerusi PRN Kelantan memutuskan 14 kerusi ditandingi PH dan 31 kerusi diserahkan kepada BN.

    Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, dilaporkan berkata, pengagihan kerusi itu dibuat menerusi satu mesyuarat dan setakat ini, uruskan berkaitan perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah.

  • PH punca isu air Kedah lambat selesai

    PH punca isu air Kedah lambat selesai

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan langkah yang diambil Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negeri itu pada 2018 terhadap isu bekalan air menyebabkan projek naik taraf tertangguh selama 20 bulan.

    Beliau berkata, usaha menaik taraf infrastruktur air dirancang sejak 2010 termasuk dengan penubuhan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan audit kedudukan semasa serta unjuran keperluan masa depan bekalan itu.

    Katanya, sejak 2013 lagi kerajaan sudah mengenal pasti dan memuktamadkan langkah yang wajib iaitu mengatasi air tidak berhasil (NRW), penggantian paip utama dan keperluan loji rawatan air (LRA) baharu.

    “Selepas melalui proses rundingan harga dan aspek teknikal, Kerajaan Pusat setuju memberi geran dan pinjaman untuk lima LRA baharu berjumlah RM931 juta. Iklan tender pembinaan pun dikeluarkan.

    “Kebetulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku dan PH dapat kuasa. Atas dasar sangsi dan kurang percaya kepada keputusan kerajaan sebelum PRU14, iklan tender ditarik balik,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

    Sebuah akhbar tempatan melaporkan, hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah, dijangka mengalami krisis bekalan air bersih yang disalurkan SADA menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

    Paling teruk terjejas adalah Daerah Kuala Muda, terutama kawasan sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani, selain daerah Kota Setar di kawasan sekitar Kuala Kedah, yang selama ini sering mengalami gangguan bekalan.

    Gangguan bekalan juga diramal berlaku di beberapa kawasan di hujung sistem bekalan di daerah lain seperti Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik menyebabkan penduduk terpaksa mula mengumpul bekalan air mulai awal minggu ini.

    Menjelas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selepas PH memerintah negeri Kedah, sebuah konsultan baharu dilantik untuk mengkaji langkah mengatasi masalah air dan kos yang sewajarnya.

    “Selepas lebih kurang 20 bulan menjalankan kajian, konsultan yang PH lantik mengemukakan dapatan mereka. Sama seperti keputusan sebelum PH (mentadbir). (Keperluan) lima LRA baharu dengan kos yang sama iaitu RM931 juta.

    “Iklan tender pun dikeluarkan semula, sama dengan (tender) lama. Akibatnya projek tertangguh 20 bulan dan kos tambahan kena bayar yuran konsultan sehingga ratusan ribu ringgit.

    “Inilah jasa PH selain tinggalkan SADA beroperasi dalam kerugian RM36 juta pada 2019 dan hutang sebanyak RM174 juta. La ni mai dok buat cakap pandai lagi,” katanya.

  • PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan meminta Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sejumlah kerusi kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber PN Kedah yang rapat dengan Mukhriz menyatakan, ia antara intipati pertemuan antara bekas Menteri Kedah itu dengan lima kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Kata sumber itu, Mukhriz menyatakan hasrat untuk Pejuang menjalin kerjasama dengan PN dalam PRN Kedah, dengan harapan kerjasama itu menjadi talian hayat untuk Mukhriz mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

    Difahamkan, Mukhriz memohon sekurang-kurangnya dua kerusi diperuntukkan kepada Pejuang sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, iaitu kerusi DUN Jitra yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan DUN Anak Bukit yang disandang wakil Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    “Ketika bertemu lima pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini, Mukhriz menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PN dan mahu diperuntukkan beberapa kerusi kepada Pejuang.

    “Dalam pertemuan itu, pimpinan Pas tidak memberi sebarang kata putus kerana perbincangan masih di peringkat permulaan.

    “Namun, tindakan Mukhriz yang turut mengadakan pertemuan dan menyatakan minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), memperlihatkan beliau cuba bermain dua kolam untuk pertahankan kerusinya,” kata sumber yang juga EXCO kerajaan negeri Kedah kepada BH, hari ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, intipati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan itu hanya membabitkan lima kepemimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

    BH hari ini melaporkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

  • Undi Melayu PH hasil campuran dengan BN, kata Sanusi

    Undi Melayu PH hasil campuran dengan BN, kata Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERATUSAN sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kononnya mencecah 31 peratus seperti seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kurang tepat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, peratusan berkenaan sebenarnya adalah hasil campuran sokongan orang Melayu kepada PH serta Barisan Nasional (BN).

    Katanya, semua pihak boleh membuat penilaian sendiri berkenaan peratusan sokongan orang Melayu yang mana hampir majoriti diraih PN pada pilihan raya itu.

    “Dia ambil yang (undi) UMNO masuk situ (dalam peratusan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi campur (parti komponen) BN, empat kerusi, jadi 30 kerusi.

    “Ambil (undi UMNO) bubuh (masukkan) di situ, jadi banyak, macam orang tak tahu. Tidak perlu cakap kami pun dapat sokongan orang Melayu, (sebaliknya) tengok sendiri, orang tahu.

    “Saya kata 11 peratus (PH dapat sokongan Melayu), ada yang kata 19 peratus, semalam Perdana Menteri cakap 31 peratus, banyak sebenarnya, pada pandangan saya, 31 peratus itu (termasuk yang) menyokong BN,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah bagi Daerah Pendang, hari ini.

    Semalam, Anwar berkata, andaian PH tidak mendapat dukungan pengundi Melayu apabila didakwa hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada PRU15 tidak benar kerana data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan PH menerima sebanyak 31 peratus undian daripada orang Melayu.

    Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, mengharapkan agar desas-desus Khairy Jamaluddin akan menyertai PN menjadi kenyataan.

    Katanya, penyertaan bekas Ahli Parlimen Rembau itu akan memberikan kesan positif dan kekuatan kepada PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.

    Muhammad Sanusi berkata, PN sentiasa membuka ruang untuk mana-mana individu yang dipecat atau digantung UMNO untuk menyertai parti itu sekiranya mereka berminat.

    “(Mereka) yang dibuang daripada UMNO orang baik-baik, orang yang ada potensi hebat, KJ siapa kata tak hebat? Siapa kata Annuar Musa, Noh Omar, Shahidan Kassim, Hishamuddin tidak hebat? Semua ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia.

    “Prestasi KJ berapa lama (berkhidmat), seorang yang hebat, kalau dapat menyertai PN, apa dia nak jadi pun Alhamdullilah. Saya harap ia menjadi kenyataan. Orang baik mai (silakan), orang tidak bagus pergi berhimpun, berkumpul di sebelah sana (PH),” katanya.

  • PRU-15: Bukan 19 tapi 31 peratus Melayu undi PH, dakwa Anwar

    PRU-15: Bukan 19 tapi 31 peratus Melayu undi PH, dakwa Anwar

    ANALISIS pasukan data saintis diwujudkan Pakatan Harapan (PH) mendapati kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah daripada orang Melayu.

    Analisis sama juga menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU-15.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan gabungan itu ditolak masyarakat Melayu, selain dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

    “Bila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar (dakwaan) yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dokongan Melayu.

    “Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU-15.

    “Secara keseluruhannya, undi diperoleh PH ialah 31 peratus pengundi Melayu. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, Penang, dan Negeri Sembilan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga Perdana Menteri menyifatkan jumlah dua pertiga undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbirannya.

    “Kalau dikumpul kekuatan Kerajaan Perpaduan sekarang ini membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, itu sudah mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU-15.

    “Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU-15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan,” katanya.

  • Warisan turut mahu bertanding di Kedah di samping BN, PH

    Warisan turut mahu bertanding di Kedah di samping BN, PH

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Warisan Tanah Air (Warisan) Kedah menuntut diberikan sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubunngan Warisan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus, parti itu tidak boleh dipinggirkan kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada rakan dalam gabungan parti yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Beliau dalam pada itu turut mengharapkan agar Warisan diberi keutamaan dalam sebarang mesyuarat atau gerakan di negeri ini.

    “Kami mohon jika ada mesyuarat dan gerakan apa apa juga dimaklumkan kepada Warisan Negeri Kedah.

    “Saya juga Pengerusi Biro Perhubungan Awam Negeri Kedah amat berharap kerjasama yang jitu,” katanya.

    Tambahnya, Warisan tidak seharusnya diketepikan sebaliknya wajar diberi penghormatan bersama-sama gabungan lain dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Semangat seperti ini perlu dalam menjamin kestabilan sebuah konsesus. Parti besar atau kecil perlu dilayan dengan semangat perpaduan yang tinggi.

    “Kami juga berharap agar Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diberikan tempat dan kedudukan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan demi kestabilan serta keteguhan perjanjian untuk negara serta rakyat,” katanya

  • Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

    Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata dalam politik, pemasaan sangat penting untuk membuat sebarang keputusan mengenai parti.

    “Dalam politik, yang penting adalah pemasaan… sesuatu perkara yang hendak dilakukan perlu dipertimbang… apabila sampai masanya, keputusan akan dibuat, jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata fokus ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar kerana rakyat mahu melihat Kerajaan Perpaduan berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Kalau pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat, masih ada tempoh 60 hari baru ada pilihan raya. Masing-masing ada pengalaman yang cukup, jadi saya tidak bimbang soal lambat untuk berunding, tidak timbul masalah itu,” katanya.

    Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan politik itu belum memulakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN. – BERNAMA