Tag: petisyen

  • 2 petisyen pengampunan Najib dilancar, 135,000 bantah, 7,000 sokong

    2 petisyen pengampunan Najib dilancar, 135,000 bantah, 7,000 sokong

    DUA petisyen dilancarkan secara dalam talian berkaitan Pengampunan Diraja untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Memetik laporan Astro AWANI, petisyen berkenaan dilancarkan di platform change.org. itu adalah “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan” digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja” digerakkan individu bernama Ariff Lias.

    Tinjauan ke laman berkenaan sehingga pukul 11 pagi menunjukkan “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan” mendapat jumlah tandatangan terbanyak iaitu 135,643.

    Ia sekali gus menghampiri sasaran sebanyak 150,000 tandatangan diraih sejak dilancarkan semalam.

    Sementara itu, petisyen “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja” hanya mencatatkan 7,743 dengan sasaran sebanyak 10,000 tandatangan.

    Kedua-dua petisyen memberi penjelasan tersendiri berhubung Pengampuan Diraja berkenaan.

    Antara isu yang disentuh dalam pestisyen yang membantah pengampunan itu adalah berhubung kesan rasuah yang memberi kesengsaraan dan perasaan malu bagi rakyat.

    Sementara bagi petisyen menyokong, isu yang diketangahkan adalah berhubung dakwaan ketidakadilan perbicaraan serta kepincangan sistem kehakiman dalam kes SRC dihadapi Najib.

  • Waran tangkap: EXCO Terengganu ke mahkamah Ahad ini

    Waran tangkap: EXCO Terengganu ke mahkamah Ahad ini

    PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata beliau akan hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Ahad ini.

    Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata ketidakhadirannya pagi tadi adalah kerana terlibat dengan beberapa program kerajaan negeri selain telah mencadangkan kepada peguam Barisan Nasional (BN) pada Rabu agar sesi perbicaraan itu dilaksanakan pada sebelah petang.

    “Petang Rabu, PA (pembantu) saya memaklumkan peguam BN cadang supaya (saya) hadir pada 10 pagi Khamis (hari ini) tetapi saya mencadangkan petang sebab saya banyak komitmen program pada sebelah pagi,” katanya.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

    Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong itu.

    Perbicaraan bagi Petisyen Pilihan Raya Parlimen Marang bersambung Ahad ini (19 Mac).

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Feb lepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN. – BERNAMA

  • Sogokan RM150: Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya

    Sogokan RM150: Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya

    SEORANG pengundi di Parlimen Putrajaya memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen itu, yang dimenangi Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, selepas mendakwa ahli Parlimen tersebut memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan untuk mengundinya.

    Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, 49, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jan lepas menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Radzi, 45, selaku responden.

    Menerusi petisyen itu, Ahmad Faisal antara lain memohon perintah mahkamah agar Radzi, yang juga Naib Presiden Bersatu, tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15 yang diadakan pada 19 Nov lepas.

    Ahmad Faisal mendakwa pemberian sogokan wang RM150 itu, yang dilakukan oleh responden dan ejennya, menyebabkan kemenangan kepada Radzi dengan mengalahkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon daripada Barisan Nasional yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sejak 2004.

    Menurut pempetisyen, perbuatan sogokan oleh ejen responden mendorong pengundi di kawasan itu untuk mengundi responden semasa PRU15 dan bukan mengundi calon lain.

    Katanya, tindakan ejen-ejen responden memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai telah memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan ia suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Pempetisyen mendakwa pemberian wang sogokan itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp bertarikh 21 Nov dan 21 Dis tahun lepas serta 4 Jan tahun ini, iaitu pengundi yang mengundi responden pada PRU15 akan memperoleh RM150.

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Faizah Jamaludin hari ini, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Radzi membantah petisyen berkenaan atas alasan pempetisyen gagal membuktikan butiran peribadi pengguna aplikasi WhatsApp.

    “Tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat serta pempetisyen gagal memplidkan butiran untuk menunjukkan apa-apa pembayaran oleh ejen responden atas arahan responden,” kata peguam itu.

    Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Feb lepas, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.

    “Kami berhujah bahawa satu-satunya cara untuk hakim Pilihan Raya menentukan sama ada individu itu yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya ia adalah isu yang boleh dibicarakan yang patut diselesaikan dengan cara pemeriksaan saksi ketika perbicaraan petisyen,” katanya.

    Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Faizah menetapkan 10 Mac ini untuk keputusan bantahan awal.

    Pada PRU15, Radzi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang di kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal kerusi itu, Tengku Adnan yang mendapat 13,692 undi. – BERNAMA

  • Wakil PN, SPR akan fail bantahan awal petisyen kerusi Gua Musang

    Wakil PN, SPR akan fail bantahan awal petisyen kerusi Gua Musang

    AHLI Parlimen Gua Musang, Azizi Abu Naim dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang menggesa keputusan pengundian di kawasan itu dibatalkan.

    Peguam Baharudeen Ariff yang mewakili pempetisyen Azmi Mahmood berkata, Azizi dari Perikatan Nasional (PN) dan SPR memberi notis mengenai hasrat mereka semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nik Habri Muhamad di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

    “Peguam mereka memaklumkan Nik Habri bahawa dokumen akan difailkan pada hari Jumaat,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Menurut Baharudeen, bantahan awal akan didengar di mahkamah terbuka selama dua hari di hadapan hakim pilihan raya Roslan Abu Bakar bermula 8 Feb.

    Katanya, mahkamah juga buat sementara waktu menetapkan tarikh perbicaraan berperingkat antara 12 Mac dan 27 Jun.

    Katanya lagi, beliau memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa Azmi akan memanggil 10 hingga 12 saksi sepanjang perbicaraan.

    Peguam Faizi Che Abu yang mewakili Azizi berkata, mereka juga memanggil antara 10 hingga 12 saksi.

    Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali yang mewakili SPR dan pegawai pengurus pilihan raya, berkata mereka akan memanggil lima saksi.

    Tengku Razaleigh Hamzah dari Barisan Nasional (BN) atau lebih dikenali sebagai Ku Li, gagal mempertahankan kerusi Gua Musang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Beliau tewas dengan 163 undi kepada Azizi, yang memperoleh 21,826 undi, dalam pertandingan empat penjuru.

    Tengku Razaleigh yang juga bekas Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini pertama kali memenangi kerusi Gua Musang pada 1974.

    Petisyen itu difailkan oleh Azmi bulan lepas untuk mencabar keputusan itu kerana didakwa berlaku politik wang.

    Antara lain, Azmi memohon untuk mengisytiharkan keputusan itu sebagai tidak sah dan SPR memanggil pilihan raya kecil.

    Beliau mendakwa peti undi dari pusat daerah mengundi tertentu tidak dikira dan kertas undi tidak dikembalikan.

  • PKR tak teruskan petisyen terhadap Muhyiddin – Rafizi

    PKR tak teruskan petisyen terhadap Muhyiddin – Rafizi

    PKR tidak akan meneruskan petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, keputusan itu diambil kerana tidak mahu fokus pimpinan PKR beralih daripada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Katanya, langkah itu lebih baik berbanding memfailkan selepas proses pilihan raya selesai dan keputusan diumumkan.

    “Sebaliknya, kita akan melatih jentera pilihan raya PKR membuat bantahan dan laporan jika perkara sama berulang ketika kempen akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor di sini, hari ini.

    November tahun lalu, PKR mengumumkan akan memfailkan petisyen susulan rakaman video ucapan Muhyiddin di media sosial ketika tempoh berkempen yang didakwa mengaitkan pembangkang dengan agenda Yahudi dan memurtadkan umat Islam di negara ini.

    Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Tian Chua, yang membuat rayuan terus kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas dipecat minggu lalu, Rafizi berkata, ia sepatutnya dikemukakan kepada Lembaga Rayuan PKR.

    “Ikut perlembagaan parti, Tian Chua boleh merayu kepada Lembaga Rayuan dan ada 14 hari untuk berbuat demikian,” katanya.

    Rafizi turut mencadangkan bekas Ahli Parlimen Batu itu melalui proses rayuan parti dan bukan terus kepada Presiden kerana keputusan akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

    Katanya, tindakan merayu terus kepada Presiden menunjukkan seolah-olah wujud pilih kasih dalam parti.

  • Tugas sudah kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB

    Tugas sudah kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB

    PETISYEN difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD), yang memohon agar beliau dibebaskan daripada penjara atau kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya dibicarakan semula, tidak menjejaskan badan kehakiman.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya pada 23 Ogos tahun lepas, “terserahlah kepada Najib” untuk mengambil apa-apa tindakan.

    “Tugas kami sudah selesai. Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” kata beliau pada sidang media selepas berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2023, di Putrajaya hari ini.

    Minggu lepas, bekas perdana menteri, melalui Tetuan Shafee & Co, memfailkan petisyen di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu sidang akhbar bahawa anak guamnya memfailkan petisyen itu untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula susulan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International. – BERNAMA

  • ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen calon BN

    ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen calon BN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, hari ini gagal dalam rayuannya untuk membantah petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 Nov tahun lepas.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Dr Mohd Aleef, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 11 Feb yang menolak, bantahan awalnya.

    Hakim Azahar berkata, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal Dr Mohd Aleef, adalah tidak boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

    “Kami dengan teliti telah mempertimbangkan hujahan semua pihak, dan juga mempertimbangkan dengan teliti keputusan Mahkamah Pilihan Raya. Pada pandangan kami, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal tidak membatalkan petisyen pilihan raya itu. Pada pandangan kami, perintah Mahkamah Tinggi bukanlah penentuan dalam peruntukan Seksyen 36A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    “Oleh sebab itu keputusan Mahkamah Pilihan Raya tidak boleh dirayu kepada Mahkamah Persekutuan. Perayu (Dr Mohd Aleef) tidak diprejudis kerana beliau masih boleh membawakan isu yang sama pada perbicaraan sebenar di hadapan Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab itu Mahkamah menolak rayuan ini,” kata Hakim Azahar dan menambah kos akan ditentukan dalam kos penyelesaian kes itu.

    Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, panel hakim mendengar hujahan daripada peguam Rosli Dahlan yang mewakili Dr Mohd Aleef, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohd Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang.

    Pada masa ini, perbicaraan masih berjalan dengan 13 saksi telahpun dipanggil. Perbicaraan di Mahkamah Pilihan Raya Melaka akan bersambung pada 18 April.

    Pada 14 Dis, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, 35, dari Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa terdapatnya elemen rasuah pada pilihan raya bagi kerusi Sungai Udang.

    Beliau menamakan Dr Mohd Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi pada pertandingan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi itu, dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam petisyennya, Mohamad Ali yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, memohon untuk membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef dan untuk diadakan pemilihan semula untuk kerusi itu.

    Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti di bawah Seksyen 32 © Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – BERNAMA