Tag: pesara

  • Bina replika isteri abadikan kenangan 39 tahun bersama

    Bina replika isteri abadikan kenangan 39 tahun bersama

    SEORANG pesara kerajaan di India mempunyai cara tersendiri dalam mengabadikan kenangan bersama mendiang isterinya yang meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu.

    Untuk itu, Tapas Sandilya telah ‘menghidupkan’ semula isterinya, Indrani yang meninggal dunia kerana COVID-19 pada Mei 2021 dengan membina replika mendiang hasil kreativiti seorang pengukir.

    Ironinya, replika tersebut diperbuat dari tanah liat sebagai asas bersama 30 kilogram silikon, lengkap berbusana sari dan memakai aksesori.

    ‘Dia’ duduk bersilang tangan di atas buaian, yang merupakan tempat kegemarannya di dalam rumah mereka.

    Jelas Sandilya, replika yang bernilai lebih RM13,000 (2,500 pound sterling) itu dibina bukan hanya sebagai memori pernah hidup bersama selama 39 tahun, tetapi juga demi menunaikan hasrat wanita tersebut.

    “Kami pernah pergi menziarah sebuah kuil di Mayapur lebih sedekad lalu dan tidak berhenti kagum dengan replika AC Bhaktivedanta Swami. Indrani sendiri yang mahu memiliki replikanya jika dia meninggal dunia,” kata Sandilya seperti dilaporkan The Times of India.

    Indrani meninggal dunia pada usia 59 tahun di hospital seorang diri sewaktu India dilanda pandemik kedua.

    Pada waktu itu, Sandilya mendakwa dirinya dipaksa untuk melakukan pengasingan sehingga tidak dapat melihat isterinya buat kali terakhir.

    Untuk rekod, sebanyak 44 juta penduduk India telah mati akibat jangkitan COVID-19.

  • Pesara rugi lebih RM128,000 diperdaya ‘pegawai mahkamah’

    Pesara rugi lebih RM128,000 diperdaya ‘pegawai mahkamah’

    SEORANG pesara mengalami kerugian sebanyak RM128,037 selepas terpedaya dengan penyamaran oleh ‘pegawai’ dari Mahkamah Pulau Pinang yang mendakwanya mempunyai saman tertunggak.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pada 14 Dis lepas, wanita berusia lingkungan 60-an itu telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkannya mempunyai saman mahkamah kerana tidak membayar tunggakan Touch N Go sebanyak RM11,800.

    “Mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada beberapa individu menyamar sebagai polis yang memberitahu dia mempunyai rekod kes jenayah dan memintanya untuk memindahkan wang bagi mengelakkan akaun dibekukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sejurus itu, mangsa telah membuat pemindahan wang secara berperingkat berjumlah RM128,037 ke dalam sebuah akaun sebelum menyedari wang dalam akaun itu telah berkurangan setelah semakan dibuat.

    Justeru, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, Ramli mengulangi nasihatnya supaya orang ramai sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan membuat semakan terperinci terlebih dahulu sebelum bertindak.- BERNAMA

  • PM umum Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara

    PM umum Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah.

    Menurut Perdana Menteri, bagi pesara dan veteran kerajaan tidak berpencen pula akan menerima BKK sebanyak RM350.

    Beliau menjelaskan, pembayaran BKK itu akan dibuat bermula Januari 2023.

    “Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.

    “Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan,” katanya hari ini,

    Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

    Ismail Sabri turut memaklumkan langkah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

    “Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Jan 2022,” katanya.

    Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara itu.

    Beliau berkata kerajaan juga bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan.

    “Kajian juga merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

  • Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara rugi RM10,000

    SEORANG wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram 1MDB.

    Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini pesara itu memberitahu bahawa dia menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari ibu pejabat polis di Negeri Sembilan yang memaklumkan kononnya kad banknya telah digunakan oleh individu bernama Jimmy Wong dalam kes jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai berpangkat Inspektor yang mengatakan wanita itu perlu membuat pindahan RM10,000 kepada Jabatan Audit Negara jika ingin menyelesaikan kes berkenaan.

    “Kerana panik, wanita itu pergi ke sebuah bank di Jalan Kampung Datu dekat sini sekitar 12.30 tengah hari dan membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu memindahkan RM4,950 bagi transaksi pertama dan jumlah yang sama dalam transaksi kedua, kemudian disusuli dengan RM100 bagi transaksi ketiga ke sebuah akaun milik lelaki bernama Shamsudin Abu Hassan. 

    “Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas pulang ke rumah, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya.- BERNAMA

  • Pesara dakwa rugi RM16,000 ditipu anak saudara

    Pesara dakwa rugi RM16,000 ditipu anak saudara

    SEORANG pesara membuat laporan polis mendakwa kerugian RM16,000 selepas ditipu anak saudaranya bagi melepaskan anaknya yang ditahan polis bagi kesalahan berkaitan dadah, Julai lepas. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 62 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat ASP pada 6 Julai lepas, berhubung tangkapan anaknya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut. 

    “Suspek mendakwa boleh membantu melepaskan anaknya, namun perlu berurusan dengan anak saudaranya berhubung prosedur selanjutnya dan wang RM16,000 perlu disediakan bagi tujuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Wazir berkata mangsa telah meminta isterinya membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian sebanyak empat kali ke akaun yang dikatakan milik ASP itu antara 17 dan 25 Julai lepas.

    Bagaimanapum mangsa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi polis pada 31 Julai lepas memaklumkan anaknya akan dihantar ke Simpang Renggam, Johor menyebabkan dia menghubungi anak saudaranya bagi mendapatkan penjelasan dan dipulangkan wang yang telah dibayar.

    Namun suspek enggan berbuat demikian sehingga semalam, menyebabkan mangsa membuat laporan di IPD Jerantut. 

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA