Tag: pesakit Covid-19

  • Pengecaman digital jenazah pesakit Covid-19 bantu ‘ubati’ duka waris

    Pengecaman digital jenazah pesakit Covid-19 bantu ‘ubati’ duka waris

    SAAT menerima perkhabaran kematian keluarga terdekat yang dijangkiti virus pembunuh Covid-19, pastinya akan menjadi detik paling memilukan tatkala terpaksa berhadapan hakikat kehilangan insan tersayang.

    Lebih menyedihkan, ahli keluarga juga tidak berkesempatan untuk menatap kali terakhir apatah lagi mencium jenazah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan dalam pengurusan jenazah pesakit Covid-19 untuk mengelakkan penularan wabak itu.

    Menyedari kesedihan dan beban perasaan terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa, Pusat Sehenti Sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Pusara WPKL), Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Kampung Baru, di sini, mengambil inisiatif memperkenal kaedah terkini membolehkan waris membuat pengecaman secara digital.

    Pengarah Operasi Pusara WPKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, pihaknya amat memahami pengendalian jenazah pesakit Covid-19 yang tidak boleh dilakukan seperti mana biasa, akan meninggalkan kesan perasaan mendalam terhadap waris apatah lagi anggota keluarga tidak boleh melawat pesakit Covid-19 ketika berada di hospital.

    “Menyedari hakikat itu, Pusara WPKL menyediakan kemudahan identifikasi jenazah dengan seorang waris yang lengkap dipakaikan PPE akan melakukan pengecaman secara fizikal di dalam khemah pengecaman, manakala dua orang waris lagi boleh melihat wajah si mati melalui skrin televisyen di satu tempat khas yang disediakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Menurutnya tempat khas itu dilengkapi dengan sistem pengecaman digital melalui paparan pada skrin televisyen yang disambung kepada kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi (HD), membolehkan waris merakam atau membuat panggilan video secara langsung untuk dikongsi kepada lebih ramai anggota keluarga lain yang tidak hadir.

    Pakar perubatan forensik daripada Institut Perubatan Forensik (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berpengalaman selama 14 tahun itu berkata, Pusara WPKL mula beroperasi sejak 20 Julai lalu dan sudah menguruskan 1,058 jenazah pesakit Covid-19 setakat ini.

    “Pusat yang beroperasi 24 jam ini menerima jenazah dari HKL, berkeupayaan menguruskan penyerahan maksimum 30 jenazah pesakit Covid-9 Muslim dan 20 mayat bukan Islam dalam satu-satu masa.

    “Kita dilengkapi lima kontena mayat yang mampu menampung 225 kapasiti simpanan jenazah dengan kadar penggunaan ketika ini hampir 70 peratus. Penyerahan jenazah Covid-19 kepada waris biasanya dilakukan dari 7 pagi hingga 6 petang,” katanya.

    Sementara itu, seorang sukarelawan Aliimran Nordin, 34, yang ditugaskan menyantuni anggota keluarga jenazah pesakit Covid-19 dapat merasakan kesedihan yang ditanggung oleh waris ketika melakukan proses pengecaman melalui kemudahan yang disediakan itu.

    “Ada anggota keluarga jatuh terduduk, emosi dan raut muka bertukar selepas melihat wajah insan tersayang di skrin komputer dan biasanya mereka akan meluahkan rasa ralat tidak dapat uruskan jenazah seperti biasa apatah lagi menciumnya.

    “Ada juga waris yang sedang dikuarantin kerana kontak rapat kepada jenazah pesakit Covid-19 membuat pengecaman itu menerusi panggilan video,” katanya sambil memaklumkan setiap keluarga hanya diberikan masa lima minit untuk melakukan pengecaman.

    Mudzakkir Mohd Zahidi, 30, yang kematian bapanya Mohd Zahidi Mohd Zain, 54, akibat Covid-19 berkata beliau menggunakan aplikasi Google Meet di telefon semasa proses pengecaman digital bagi membolehkan lebih ramai saudara mara menatap wajah jenazah bapanya terutama mereka yang tinggal di kampung.

    “Kita sedia maklum pengendalian jenazah pesakit Covid-19 berbeza dan tidak dapat bersua muka secara dekat dengan ahli keluarga lain kerana sekatan perjalanan, sekurang-kurang kaedah ini mengubat kerinduan dan tanda ingatan terakhir sebelum jenazah dikebumikan,” katanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor. – BERNAMA

  • AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    RAKYAT Amerika Syarikat (AS) yang sudah divaksin sepenuhnya digesa memakai pelitup muka semasa berada di tempat tertutup di negeri-negeri yang mencatatkan penularan jangkitan dengan banyak, kata pihak berkuasa kesihatan AS, semalam.

    Agensi berita Reuters yang memetik panduan dikeluarkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) AS turut mencadangkan pemakaian pelitup muka ke atas semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah tanpa mengira mereka sudah divaksin atau sebaliknya.

    Jangkitan Covid-19 didapati sedang meningkat di AS berikutan penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit atau merangkumi lebih 80 peratus kes Covid-19 di Amerika.

    Presiden AS, Joe Biden berkata, peningkatan vaksinasi dan pemakaian pelitup muka akan membantu Amerika Syarikat mengelak perintah berkurung termasuk penutupan sekolah akibat pandemik itu pada 2020.

    “Kita tidak akan kembali kepada situasi itu (perintah berkurung),” kata Biden.

    Menurut CDC, 63.4 peratus daerah di Amerika menunjukkan kadar peningkatan jangkitan Covid-19, cukup untuk mewajibkan penduduk untuk memakai pelitup muka di tempat tertutup dan dasar itu patut diteruskan dengan segera.

    Manhattan, Los Angeles dan San Francisco memenuhi kriteria kepada pemakaian pelitup muka termasuk bagi seluruh negeri Florida kecuali Chicago dan Detroit.

    Presiden Persekutuan Guru Amerika, Randi Weingarten memuji panduan baharu CDC itu dengan menyifatkannya sebagai langkah berwaspada perlu sehingga kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh divaksin ketika lebih banyak remaja berusia 12 tahun ke atas divaksinasi.

    Panduan CDC untuk sekolah sebelum ini hanya meminta mereka yang belum divaksin agar memakai pelitup muka.

    Bagaimanapun, cadangan terbaharu CDC itu tidak digazetkan dan kebanyakan rakyat Amerika terutamanya di negeri dikuasai Parti Republikan mungkin memilih tidak mengikuti panduan berkenaan.

    Sekurang-kurangnya lapan buah negeri melarang sekolah daripada mewajibkan pemakaian pelitup muka.

    Gabenor Arizona seorang ahli Parti Republikan, Doug Ducey berkata, Arizona tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka dan perkara itu telah diluluskan dan tidak akan diubah

    AS mendahului negara-negara dunia dari segi purata jangkitan baharu kes Covid-19 setiap hari dengan purata tujuh hari bagi kes baharu menunjukkan peningkatan mendadak kepad 57,126 kes.

  • Lelaki positif Covid-19 larikan diri diburu polis

    Lelaki positif Covid-19 larikan diri diburu polis

    SEORANG lelaki yang disahkan positif Covid-19 dan melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Pusat Kuarantin Likas, Ahad lalu sedang diburu polis.

    Suspek, Lo Hin Khiong, 38,melarikan diri dari kenderaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sejurus diambil dari Balai Polis Penampang dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran simpang empat Kompleks Sukan Likas, suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dibebaskan oleh polis Daerah Penampang untuk dihantar ke pusat kuarantin itu.

    “Ketika kejadian, suspek yang duduk di tempat duduk penumpang belakang membuka pintu kereta dan terus melarikan diri tanpa mempedulikan panggilan petugas JKNS.

    “Petugas JKNS kemudian membuat membuat laporan polis,” katanya, semalam.

    Dalam pada itu, Mohd Zaidi memberitahu, suspek sebelum ini ditahan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Jumaat lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas disahkan positif Covid-19.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta memaklumkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis.