Tag: Pertukaran KM Melaka

  • KJ persoal tukar KM Melaka demi bentuk kerajaan perpaduan

    KJ persoal tukar KM Melaka demi bentuk kerajaan perpaduan

    BEKAS pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin, mempersoalkan keperluan pelantikan ketua menteri Melaka yang baharu bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.

    Menurut Khairy atau KJ, UMNO hanya perlu mengarahkan Datuk Seri Sulaiman Ali, yang menjadi ketua menteri sehingga Khamis lalu, membentuk kerajaan perpaduan.

    “Jika itulah yang dikehendaki, tiada keperluan menukar ketua menteri,” kata Khairy dalam episod “Keluar Sekejap” bersama Shahril Hamdan.

    Isnin lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi gambaran pembentukan kerajaan perpaduan sejajar pembentukan kerajaan itu di peringkat pusat.

    Khairy berkata, Zahid melakukan “konsesi besar” dengan merestui penukaran ketua menteri Melaka, yang mana Ketua UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menggantikan Sulaiman.

    Terbentuknya kerajaan perpaduan negeri, rakan gabungan Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) kini boleh mendominasi calon bagi lantikan exco, sebelum ini disandang Adun BN, dakwa Khairy.

    “Ini merupakan konsesi besar kerana kita tidak melihat PH menawarkan perkara sama di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today/

    Khairy melihat keputusan Zahid membentuk kerajaan perpaduan sebagai langkah taktikal berunding bagi jawatan exco bagi wakil rakyat BN di mana negeri itu dikuasai Pakatan Harapan selepas berakhirnya pilihan raya negeri, tahun ini.

    “Ini juga boleh dilihat pendekatan membina keyakinan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan memberi pengecualian kepada UMNO,” beliau berkata demikian merujuk keputusan membersihkan UMNO berhubung usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti, pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

    Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ((JPPM) merupakan agensi di bawah kawal selia Kementerian Dalam Negeri diterajui Saifuddin Nasional Ismail, yang juga setiausaha agung PH.

    “Ia seperti ‘quid pro quo’. Anda bersihkan kami, saya beri anda beberapa kerusi di Melaka,” katanya sambil menyatakan beliau bukan bertujuan mahu mengaitkan dua perkara tersebut, namun sekadar menggunakan JPPM sebagai contoh.

  • Pertukaran KM Melaka, KJ dakwa ‘langkah’ Zahid kukuh kedudukan

    Pertukaran KM Melaka, KJ dakwa ‘langkah’ Zahid kukuh kedudukan

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa kemelut pertukaran Ketua Menteri Melaka sebagai ‘langkah’ Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti.

    Menurutnya, ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ingin memastikan semua menteri besar atau ketua menteri terdiri daripada ‘orangnya’.

    “Sekarang ini ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO majoriti adalah orang dia (Ahmad Zahid) (dan) lepas ini dia hendak pastikan negeri-negeri iaitu pengerusi UMNO negeri dan ketua menteri adalah juga orang dia.

    “Inilah (dengan menukar Ketua Menteri Melaka) masa yang terbaik,” katanya melalui siaran podcast ‘Keluar Sekejap’ episod kesembilan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Sri Utama Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh.

    Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang di-Pertua, Tun Mohd. Ali Rustam di dewan berkenaan.

    Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Jelas Ahmad Zahid, Sulaiman mengambil tindakan untuk melepaskan jawatan itu disebabkan faktor kesihatan.

    Sementara itu, Khairy dalam masa sama turut mengakui agak terkilan dengan cara Sulaiman ‘disingkirkan’.

    Bagaimanapun, beliau mengakui Sulaiman tidak mampu mengatasi pengaruh politik yang dimiliki Ab. Rauf untuk membolehkan beliau kekal menerajui negeri itu.

    Malah katanya, sudah diketahui ramai juga Ab. Rauf hanya menunggu masa untuk merampas kedudukan daripada Sulaiman sebelum ini.