Tag: perolehan vaksin

  • Perolehan vaksin ikut prosedur, sokong siasatan, kata Khairy

    Perolehan vaksin ikut prosedur, sokong siasatan, kata Khairy

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan perolehan vaksin COVID-19 dibuat mengikut prosedur diluluskan Kementerian Kewangan.

    Sehubungan itu katanya, tiada masalah jika siasatan berhubung perkara itu mahu dilaksanakan.

    “Saya tegaskan sekali lagi, perolehan vaksin dibuat mengikut prosedur yang diluluskan Kementerian Kewangan. Tiada masalah jika siasatan dibuat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan butiran mengenai perolehan vaksin COVID-19 dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

    Anwar menjelaskan butiran berkenaan kemudiannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebagai makluman dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat perkara itu.

    “Yang saya beri itu hanya kenyataan yang disediakan oleh KKM dan Kabinet mengambil perhatian dan kemudian badan-badan siasatan harus siasat benar tidak dan sebagainya,” katanya.

    Rabu lalu, Anwar mengumumkan pembentangan kertas putih mengenai perolehan vaksin COVID-19 akan dibentangkan di Parlimen selepas kerajaan mendapati kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mengikuti peraturan kerana tidak mendapat persetujuan daripada Peguam Negara (AG).

    Sebelum ini, Khairy menegaskan semua keputusan perolehan vaksin COVID-19 mendapat punca kuasa Jemaah Menteri dan kelulusan Kementerian Kewangan.

    Malah, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menegaskan perkara itu turut mengambil kira pandangan daripada semua agensi.

    “Semua keputusan teratur dan mengikut prosedur operasi standard perolehan vaksin COVID-19, bekalan peralatan dan penyedia perkhidmatan berkaitan bagi menangani COVID-19 di Malaysia,” katanya.

    Beliau menafikan perolehan itu dibuat tanpa persetujuan Peguam Negara kerana semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet.

    “Justeru, AGC akan mengetahui dan memberikan ulasan mereka. Perolehan ditandatangani oleh KKM,” katanya.

    Pada 28 Julai 2021, Kementerian Kewangan (MOF) menurunkan kuasa kepada KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

  • ‘Kabinet mungkin tak diberi penjelasan penuh perolehan vaksin’ – Marzuki

    ‘Kabinet mungkin tak diberi penjelasan penuh perolehan vaksin’ – Marzuki

    KABINET didakwa tidak diberi penjelasan menyeluruh mengenai perolehan vaksin sehingga memaksa cadangan Kertas Putih dibentangkan ke Parlimen, kata bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

    Beliau berkata, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setebal 521 muka surat yang dibentangkan sebelum ini sudah memperincikan semuanya.

    “Saya rasa prosesnya tak betul. Sepatutnya Kabinet dibentangkan dengan fakta ada penyelewengan. Sah, jelas, terang ada penyelewengan. Baru buat keputusan bentang Kertas Putih.

    “Ini Kabinet pun belum pasti nampaknya. Kenapa jadi macam ini? Tak mengapalah. Saya rasa kita semua bukan tak cerdik. Jadi, boleh baca laporan PAC yang setebal 521 muka surat itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet minggu lalu, menyatakan kononnya berlaku penyelewengan dan kertas putih akan dibentang di Parlimen.

    Namun dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri menegaskan bahawa badan penyiasat akan siasat dakwaan itu sama ada betul atau sebaliknya.

    Mengulas lanjut, Marzuki berkata, laporan PAC sebelum ini sudah pun merumuskan bahawa perolehan vaksin sudah dibuat secara teratur.

    “Dalam PAC pun ada wakil tetap Jabatan Peguam Negara. Berdasarkan penjelasan ini dan banyak lagi penjelasan lain dalam prosiding, PAC sudah membuat rumusan perolehan vaksin dibuat secara teratur.

    “Saya percaya fakta boleh mematahkan ‘spin’ atau putar alam. Apa putar alamnya? Perolehan vaksin tak dapat kelulusan Peguam Negara dan dengan itu tidak teratur. Oleh sebab itu ada penyelewengan dan rasuah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan Kertas Putih akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

    Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin juga sebelum ini menafikan berlaku penyelewengan dalam perolehan itu.

    Katanya, semua proses perolehan termasuk terma undang-undang sudah diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan diluluskan oleh Kabinet.

  • KJ sangkal dakwaan AGC tak lulus sebahagian perolehan vaksin

    KJ sangkal dakwaan AGC tak lulus sebahagian perolehan vaksin

    BEKAS menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sebahagian perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Khairy dipetik New Straits Times berkata, semua perolehan dibuat kerajaan Perikatan Nasional dibawa ke Jemaah Menteri.

    “Oleh itu, AGC akan tahu dan memberi komen mereka. Perolehan (itu) ditandatangani KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya dalam mesej WhatsApp.

    Sebelum itu, Anwar berkata sebahagian perolehan itu tidak mengikuti peraturan, oleh itu menteri terbabit perlu menjawabnya.

    Khairy ialah menteri penyelaras vaksin ketika perolehan itu dibuat, manakala Datuk Seri Dr Adham Baba merupakan menteri kesihatan ketika itu.

    Free Malaysia Today sudah menghubungi pembantu Adham untuk mengulas.

    Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat perolehan vaksin Covid-19 pada 2021, dengan memanggil Khairy, Adham dan menteri kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz untuk menjawab pertanyaan.

    PAC dalam laporannya berkata, Putrajaya membayar harga premium kepada pengeluar vaksin, Sinovac Biotech Ltd untuk dos tertentu bagi mengimbangi kelewatan susulan proses “fill and finish” (pengilangan produk pukal kepada produk siap) Pharmaniaga.

    Pelan kerajaan menggunakan gabungan vaksin dalam botol yang dibeli terus daripada Sinovac serta vaksin dihantar sebagai bahan mentah kepada Pharmaniaga dan dibotolkan dalam negara.

    PAC mendapati Putrajaya membayar 16.78% hingga 18.12% lebih tinggi daripada harga asal dipersetujui untuk 2.4 juta dos yang dihantar pada Mei dan Julai 2021 bagi mengimbangi kelewatan.

    Dalam laporan PAC itu, Khairy berkata, Jemaah Menteri bersetuju membayar harga premium bagi mempercepatkan penghantaran vaksin.