Tag: perkahwinan

  • Van rempuh majlis perkahwinan, 2 maut 10 lagi cedera

    Van rempuh majlis perkahwinan, 2 maut 10 lagi cedera

    DUA orang maut manakala sepuluh lagi cedera apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita merempuh sebuah majlis perkahwinan di Vancouver, lapor Sputnik.

    Insiden tragis itu berlaku sekitar pukul 6.10 petang waktu tempatan pada Sabtu (01:10 GMT pada Ahad), menurut media Canada CTV memetik Perkhidmatan Kesihatan Kecemasan British Columbia.

    Menurut jurucakap polis Vancouver Barat Konstabel Nicole Braithwaite,  seorang wanita berusia lewat 60-an, memandu kenderaan di laluan masuk, kemudian memecut dan merempuh orang ramai”.

    Dua orang maut akibat insiden itu manakala 10 yang lain dibawa ke hospital (dua dalam keadaan kritikal).

    Wanita itu turut dibawa ke hospital, tetapi tidak berada dalam tahanan polis setakat Ahad.

    Siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan.- BERNAMA

  • Dituduh ‘kaki kikis’, wanita beza usia 42 tahun dengan suami abai kritikan

    Dituduh ‘kaki kikis’, wanita beza usia 42 tahun dengan suami abai kritikan

    DITUDUH mahu membolot harta suaminya. Itu antara tuduhan liar dialami seorang wanita Filipina yang berkahwin dengan suaminya, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berbeza usia 42 tahun.

    Bagi Jackie, 27, tuduhan seumpama itu adalah lumrah namun pasangan dari dua benua terbabit menganggap usia bukanlah penghalang dan akan mempertahankan hubungan berkenaan.

    Mail Online melaporkan, Jackie berjumpa Dave, 69, menerusi laman web cari pasangan, Cherryblossom pada tahun 2016 semasa suaminya yang menetap di AS berkunjung ke Cebu, Filipina.

    Dave kemudiannya mengatur janji temu pertama dengan isterinya di sebuah kafe dan mereka bertukar nombor telefon.

    “Jackie agak pemalu ketika itu dan dia letih selepas bekerja syif dan pada janji temu pertama itu saya yang paling banyak bercakap.

    “Anda boleh merasakan terdapat ikatan yang kuat dan ingin berjumpa lagi.

    “Jadi Jackie dan saya berjumpa beberapa kali sebelum pulang ke AS. Itulah permulaan hubungan indah yang masih kukuh,” kata Dave.

    Pasangan itu tidak terkecuali dikritik pengikut media sosial mereka terutamanya yang mempersoalkan tentang jurang umur malah ada yang menuduh Jackie sebagai ‘kaki kikis’.

    Namun, di sebalik kritikan ramai, pasangan itu sedang menempuh detik bahagian dan perkahwinan mereka kini sudah masuk tahun ketiga.

    Pasangan itu kerap berkongsi kisah percintaan dan aktiviti harian mereka di TikTok setakat ini mereka mempunyai 32,000 pengikut.

  • Elak guna ejen nikah Siam, pesan Timbalan Menteri Agama

    Elak guna ejen nikah Siam, pesan Timbalan Menteri Agama

    PASANGAN yang mempunyai hasrat untuk berkahwin tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran sebaliknya menggunakan saluran betul yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket atau ejen perkahwinan di negara jiran, akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam jangka masa panjang.

    “Perkara ini penting supaya perkahwinan itu tidak berbangkit dengan pelbagai isu dan masalah di depan hari kepada kedua-dua pasangan.

    “Gunalah saluran yang betul dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan (Malaysia), kerana kita telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan lengkap, tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Seragam Sekolah di Dataran Lemang, Manik Urai, di Kuala Krai hari ini.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 Mac ini, ejen-ejen nikah Siam tidak menang tangan menerima tempahan pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pasangan perlu memikirkan keabsahan perkahwinan mereka apabila menggunakan khidmat sindiket perkahwinan di negara jiran.

    “Perlu juga fikir dari sudut berpanjangan contoh daripada aspek pendaftaran anak dan sebagainya sekiranya perkahwinan itu tidak sah apabila menggunakan ejen atau sindiket perkahwinan. Gunalah jurunikah yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah,” katanya. – BERNAMA

  • Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    BAKAL pengantin di Selangor diminta untuk mendapatkan tarikh janji temu secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja.

    JAIS menerusi poster yang disiarkan dalam laman Facebook jabatan itu berkata, permohonan bagi mendapatkan tarikh itu boleh dibuat menerusi laman web www.jais.gov.my.

    “Pihak JAIS tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan janji temu.

    “Segera laporkan kepada JAIS jika diketahui ada individu yang menjual atau mengambil kesempatan menjual slot janji temu JAIS.

    “Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan melalui panggilan telefon 03-5514340/3600 atau emel [email protected],” kata JAIS menerusi pemakluman khas itu, hari ini.

    JAIS menerusi kenyataan pada 25 Jun lalu membenarkan majlis akad nikah di negeri itu bermula 1 Julai selepas melarangnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

    Menurut JAIS, kebenaran hanya tertakluk kepada pasangan yang telah mendapat tarikh janji temu daripada JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

    Selain itu kata JAIS, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja, bermula Isnin hingga Ahad (setiap hari).

    “Kehadiran juga terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

    “Pasangan juga mesti mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan Ujian Saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah,” kata JAIS.

    Selain itu, pasangan pengantin serta wali wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

    Menurut JAIS, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

    “Jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan,” katanya.