Tag: perhimpunan

  • PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    SAYAP wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.

    “Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

    Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

    Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.

    “Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan,” katanya.

    Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi. 

    Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung ‘hibah abah’ dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Hari  ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. – BERNAMA

  • Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    PERWAKILAN dijangka mendesak supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan segera pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022 yang bermula hari ini.

    Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun perkara itu tidak berada dalam senarai usul, namun beliau percaya ia akan disentuh ramai pembahas pada perhimpunan tiga hari itu.

    “Ia terpulang kepada para pembahas…dalam Bersatu kita tak tentukan apa yang akan diperkatakan, mereka bebas suarakan apa sahaja. Yang penting, mereka dapat menjaga masa agar perhimpunan dapat berlangsung dalam jangka masa ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Srikandi, di Kuala Lumpur, hari ini.

    PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu melibatkan isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan agama.

    Ahmad Faizal, dalam pada itu, berkata pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah tidak akan memecahbelahkan parti serta sokongan ahli kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    Esok akan diadakan  Perhimpunan Agung Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Ahad ini. — BERNAMA

  • Tiada notis pemakluman ‘himpunan LCS’ esok

    Tiada notis pemakluman ‘himpunan LCS’ esok

    POLIS tidak menerima sebarang notis pemakluman bagi mengadakan himpunan ‘Protes Mana Kapal LCS?’ yang akan diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, esok.

    Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya tidak menerima notis pemakluman seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 setakat ini.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati dan mematuhi undang-undang. Jangan menyertai perhimpunan yang tidak mematuhi peraturan kerana tindakan boleh diambil.

    “Pada masa sama, polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, dua poster mengenai himpunan ‘Protes Mana Kapal LCS?’ tular selepas dimuat naik di media sosial, beberapa hari lalu.

  • Jangan sertai ‘flashmob’ bantah harga barang naik – KPN

    Jangan sertai ‘flashmob’ bantah harga barang naik – KPN

    POLIS menasihatkan seluruh masyarakat agar tidak menyertai sebarang aktiviti perhimpunan dan ‘flashmob’ yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penganjur ‘flashmob’ atau perhimpunan berkenaan, serta peserta yang gagal mematuhi undang-undang.

    “PDRM akan memantau dan memastikan situasi keselamatan negara tidak terjejas. Masyarakat diminta memberi kerjasama dengan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Acryl mengeluarkan kenyataan itu selepas polis baru-baru ini mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai untuk menyertai aktiviti ‘flashmob’ di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga barang. – BERNAMA

  • 206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    Oleh: Bernama

    POLIS menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka semalam susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen.

    Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi kesemua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

    Sehubungan itu katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021 telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Acryl Sani berkata penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, dan kementerian berkenaan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan wabak itu.

    Beliau berkata pada 1 Ogos lepas pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

    “Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

    Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), bertarikh 4 Julai 2021, dan berhimpun serta berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

    Semalam Bernama melaporkan polis telah menghalang cubaan Ahli Parlimen pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu telah ditangguhkan atas nasihat KKM berikutan penularan COVID-19.

    Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen. – BERNAMA

  • Perhimpunan# Keluar dan #Lawan: 29 individu dikenalpasti, 20 laporan polis diterima – KPN

    Perhimpunan# Keluar dan #Lawan: 29 individu dikenalpasti, 20 laporan polis diterima – KPN

    SEBANYAK 29 individu yang terlibat dalam perhimpunan# Keluar dan #Lawan di ibu negara semalam telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa individu lain melalui rakaman video dan gambar.

    Menurutnya, kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan berkenaan.

    “Selain itu, polis juga menerima lebih 20 laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu Acryl Sani berkata, penganjur dan peserta perhimpunan terbabit dengan jelas melanggar syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.

    “Polis sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi SOP PPN demi keselamatan orang ramai,” katanya.

    Acryl Sani menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.

    “Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab terutama dalam situasi penularan wabak Covid-19 ini.

    “Polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan,” katanya.