Tag: PERHILITAN

  • Gajah pecahkan tingkap dapur, ambil makanan pekerja ladang

    Gajah pecahkan tingkap dapur, ambil makanan pekerja ladang

    TIGA pekerja ladang berdepan detik cemas apabila seekor gajah liar bergading bertindak merosakkan dan memecahkan tingkap kaca bahagian dapur rumah mereka di Aring 8, di Gua Musang pada 4 pagi Ahad lepas.

    Penyelia ladang Mohd Khairul Faiza Muhammad Din berkata kejadian terbaharu itu merupakan serangan kedua dihadapi mereka selepas kali pertama berlaku pada Rabu lepas (4 Jan).

    “Kali pertama mamalia tersebut muncul juga pada 4 pagi, membuatkan saya bersama dua lagi rakan serumah terkejut melihat belalai gajah masuk ke dalam bahagian dapur menerusi cermin tingkap yang telah pecah.

    “Pada Ahad lepas,  gajah terbabit muncul lagi dan mengambil makanan seperti garam, minyak serta mi segera yang berada berhampiran kawasan sinki dapur di hadapan tingkap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

    Menurut Mohd Khairul Faiza kehadiran mamalia tersebut dalam kawasan rumah amat mengejut serta membimbangkan.

    “Selama enam tahun bekerja di sini, ini kali pertama rumah kami diserang gajah. Keadaan ini amat merisaukan apabila gajah mula datang mencari makanan di rumah.

    “Belum sempat kami menggantikan cermin yang rosak, gajah terbabit datang kembali mengambil makanan dan membuat kerosakan yang sama,” katanya. 

    Menurut Mohd Khairul Faiza mereka telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan sewajarnya. -BERNAMA 

  • Gajah naik bukit cari makanan, pindah habitat baharu – Perhilitan

    Gajah naik bukit cari makanan, pindah habitat baharu – Perhilitan

    TINDAKAN gajah yang bergerak secara berkumpulan menaiki kawasan berbukit adalah untuk mencari makanan dan berpindah ke habitat yang baru.

    Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, gajah biasanya bergerak secara berkumpulan ke kawasan yang lebih tinggi untuk mencari makanan.

    “Gajah bergerak ke kawasan berbukit untuk mencari makanan atau berpindah ke kawasan yang baharu.

    “Orang ramai diingatkan agar tidak mengganggu aktiviti pergerakan gajah ini dan menjauhkan diri daripada haiwan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

    Baru-baru ini, terdapat dakwaan mengatakan kejadian gajah mendaki bukit sejak beberapa hari lalu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.

    Pada Selasa, tular rakaman video sekumpulan gajah dilihat bergerak ke atas bukit dipercayai di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang, Kelantan.

    Kemudian, pada Sabtu, tular pula sekumpulan gajah menaiki kawasan bukit di Tasik Kenyir, Terengganu.

    Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.40 tengah hari dan dirakam pengguna jalan raya yang melalui kawasan terbabit.

  • Beruang berkeliaran cari makanan di Sekinchan

    Beruang berkeliaran cari makanan di Sekinchan

    BERUANG yang dipercayai mencari makanan dikesan berkeliaran di sawah padi Ban Canal, Parit 13, Sungai Nibong, Sekinchan di Selangor, semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerusi Perhilitan Sabak Bernam bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat itu dan tiba pada 8 pagi.

    Katanya, pemantauan dan siasatan kemudian dilakukan namun tidak menemui kelibat beruang berkenaan.

    “Pemantauan lanjut akan dilakukan di kawasan itu dari semasa ke semasa bagi mengesan beruang berkenaan.

    “Penduduk setempat diminta supaya segera menghubungi kita sekiranya ternampak kelibat beruang itu,” katanya hari ini.

    Terdahulu, tular di laman sosial menerusi video berdurasi 23 saat memaparkan beruang berkeliaran di kawasan sawah padi dipercayai sedang mencari makanan.

    Kejadian kira-kira 7 pagi itu disedari seorang wanita yang merakam video pergerakan haiwan liar berkenaan di belakang rumahnya.

    Bagaimanapun, tiada insiden tidak diingini berlaku dan beruang berkenaan melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.

  • Harimau berkeliaran, Perhilitan terima tiga aduan penduduk di Jeli

    Harimau berkeliaran, Perhilitan terima tiga aduan penduduk di Jeli

    TIGA aduan mengenai kelibat seekor harimau berkeliaran di Kampung Baru Malaysia dekat Jeli diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sejak seminggu lalu.

    Ia dipercayai datang sama ada dari kawasan hutan Sungai Sator atau Jedok dan membaham seekor kambing ternakan penduduk.

    Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, aduan pertama diterima pada 3 Ogos lalu namun tidak dapat dipastikan spesis sama ada harimau kumbang atau belang.

    Menurutnya, aduan kedua pula diterima keesokan harinya iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi aduan pertama.

    “Aduan terbaru pula diterima pagi semalam yang dibuat seorang penduduk yang memaklumkan kambingnya dibaham harimau pada malam Isnin lalu.

    “Semasa siasatan dibuat pagi semalam, pihak kami menjumpai kulit kambing yang tersisa dalam kebun getah belakang rumah jiran pengadu dan kami mengesyaki ia angkara harimau sama yang berkeliaran di lokasi dua aduan terdahulu,” katanya dipetik Harian Metro.

    Mohamad Hafid berkata, susulan itu pihaknya memasang perangkap yang dinamakan ‘Perangkap Wahab’ dengan meletakkan umpan seekor kambing namun setakat ini masih belum berhasil menangkap haiwan itu.

    Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa sentiasa dibuat sama ada di lokasi pemasangan perangkap atau kawasan sekitar.

    “Kita juga menjalankan khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian selain meminta mereka segera menghubungi kami sekiranya ternampak kelibat atau jejak harimau,” katanya.

  • 15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak tampil membantu Perhilitan Kelantan bagi menjejaki harimau di Pos Bihai, Gua Musang.

    Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, hampir 15 anggota daripada jabatan berkenaan turun ke penempatan yang diduduki oleh hampir 100 penduduk Orang Asli itu bagi melakukan operasi menjejaki dan memantau harimau sejak Ahad lepas.

    Beliau berkata, tindakan dilakukan susulan kejadian seorang masyarakat Orang Asli suku Temiar yang maut dibaham harimau pada Jumaat lepas di Kampung Sau, Pos Bihai.

    “Kita dapatkan tambahan anggota daripada Perhilitan Ibu Pejabat dan NWRC Sungkai untuk membantu dalam operasi menjejaki harimau di Pos Bihai selain tiga perangkap harimau dan tiga perangkap kamera telah dipasang.

    “Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat memastikan berapa ekor harimau yang masih ada mahupun sebaliknya memandangkan tiada imej harimau yang ditangkap menerusi kamera yang telah dipasang” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, usaha menangkap harimau agak sukar selain kebiasaannya akan mengambil tempoh yang agak lama berbanding hidupan liar lain terutama membabitkan harimau yang agresif.

    “Tangkapan hidupan liar tidaklah semudah seperti yang disangkakan memandangkan hidupan liar ini bergerak dalam skala yang luas terutama harimau dan gajah.

    “Selain itu, pihak kami juga dalam pertimbangan untuk memohon bantuan perangkap harimau daripada negeri lain untuk ditambah di lokasi-lokasi sekitar bagi mempercepat operasi ini,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

    “Dari segi keperluan makanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim telah tampil menghulurkan bantuan bakul makanan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau.

    Dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 40-an, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk dalam hutan. – BERNAMA

  • Perhilitan siasat buaya sesat dalam tasik Taman Dengkil Jaya

    Perhilitan siasat buaya sesat dalam tasik Taman Dengkil Jaya

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini membuat penilaian dan tinjauan susulan penemuan seekor buaya tersesat di Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Putrajaya semalam.

    Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, langkah tersebut selepas pihaknya ke lokasi tersebut semalam dan telah mengambil beberapa langkah keselamatan kepada orang awam.

    “Semalam kakitangan kita telah memasang pita tali amaran untuk memberi makluman awal kepada orang awam tentang kehadiran buaya.

    “Pasukan Perhilitan akan menilai kawasan pada hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Media semalam melaporkan, penduduk di Taman Dengkil Jaya gempar dengan kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter dalam sebuah tasik berhampiran kawasan tersebut pada Isnin.

    Menurutnya, pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati seekor buaya berada dalam tasik berkenaan dipercayai tersesat dari sungai berhampiran.

  • Beruang matahari ganas di Kg Rahmat akhirnya tumpas

    Beruang matahari ganas di Kg Rahmat akhirnya tumpas

    KERISAUAN penduduk Kampung Rahmat di Chalok Setiu mengenai kelibat seekor beruang matahari seberat 65 kilogram yang sentiasa memasuki kawasan kampung kini terlerai apabila haiwan liar tersebut berjaya memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), pagi tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof memberitahu, pihaknya telah memasang perangkap di kampung tersebut pada 22 September lalu susulan aduan awal diterima pada 20 September.

    Beliau berkata, penduduk mula menyedari kejadian berkenaan pada pukul 6 pagi tadi.

    Menurut beliau, perangkap itu dipasang selepas menerima aduan penduduk yang ternampak haiwan itu berkeliaran dan merosakkan tanaman dan ternakan di kawasan perkampungan tersebut.

    Bagaimanapun katanya, beruang matahari jantan dengan anggaran berat 65 kilogram itu hanya memasuki perangkap selepas dialihkan dari lokasi asal yang dipasang, iaitu sekitar 100 meter dengan rumah penduduk.

    “Beruang matahari agak berbahaya dan boleh mencederakan sekiranya berasa terancam, haiwan ini berkuku tajam menyebabkan penduduk bimbangkan keselamatan mereka.

    “Kita akan membuat pemeriksaan kesihatan ke atas beruang ini dan jika disahkan sihat, ia akan dilepaskan ke kawasan hidupan liar Sungai Deka, Hulu Terengganu,” ujar beliau hari ini.

    Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Che Azharuddin Che Othman, 39, memberitahu, sebelum ini beruang tersebut telah menceroboh masuk ke kawasan rumah dan memakan 20 ekor burung merpati peliharaannya.

    “Apabila melihat kecederaan pada kesemua burung merpati yang mati itu, saya yakin ia diserang binatang buas, apatah lagi keadaan pagar rumah didapati rosak.

    “Saya percaya beruang ini tinggal di hutan dan di ladang kelapa sawit berhampiran kampung dan sebelum ini pun ada penduduk pernah beberapa kali terserempak dengan haiwan tersebut yang berkeliaran di kawasan kampung,” ceritanya.

    Seorang lagi penduduk, Mohd Sufian Awang, 39, memberitahu, beruang matahari itu disedari mula ‘mengganas’ sejak tiga minggu lalu selepas merosakkan tanaman penduduk.

    Katanya, apa yang menakutkan beberapa penduduk mengadu kediaman mereka turut diceroboh haiwan berkenaan.

    “Seorang jiran sebelum ini pernah mengadu buah cempedak yang dilonggokkan di hadapan rumah untuk dijual kepada peraih habis dirosakkan dan dimakan dipercayai perbuatan haiwan liar itu,” ujarnya.

  • Tapir jantan jatuh lubang diselamatkan

    Tapir jantan jatuh lubang diselamatkan

    SEEKOR tapir jantan yang terperangkap dalam sebuah lubang di Kesedar Baru Chenulang dekat Kuala Krai berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, semalam.

    Haiwan dengan berat kira-kira 200 kilogram (kg) itu ditemukan terperangkap dalam lubang di sebuah kebun getah.

    Menurut Ketua Perhilitan Daerah Kuala Krai Azhan Ab Razak, sebanyak 13 kakitangan Perhilitan Kelantan termasuk Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif terlibat dalam operasi menyelamatkan tapir itu.

    Katanya, hasil pemantauan mendapati tapir jantan itu tidak cedera dan dalam keadaan baik serta diberi makan dan minum sebelum operasi mengeluarkannya dari lubang berkenaan.

    “Operasi menyelamat tapir itu selesai pada pukul 8.30 malam dan haiwan berkenaan dibawa ke Taman Negara Pahang (Sungai Relau) untuk dilepaskan ke habitatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azhan dalam pada itu berkata, orang ramai dinasihatkan agar menghubungi PERHILITAN negeri atau daerah yang terdekat sekiranya terdapat hidupan liar yang perlu diselamatkan.

    Beliau menambah, sebarang aduan boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline, 1-800-88-5151, 019-3885046 (Pengurusan Konflik Hidupan Liar Negeri Kelantan), e-aduan di laman web, www.wildlife.gov.my atau [email protected].