BERUANG yang dipercayai mencari makanan dikesan berkeliaran di sawah padi Ban Canal, Parit 13, Sungai Nibong, Sekinchan di Selangor, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerusi Perhilitan Sabak Bernam bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat itu dan tiba pada 8 pagi.

Katanya, pemantauan dan siasatan kemudian dilakukan namun tidak menemui kelibat beruang berkenaan.

“Pemantauan lanjut akan dilakukan di kawasan itu dari semasa ke semasa bagi mengesan beruang berkenaan.

“Penduduk setempat diminta supaya segera menghubungi kita sekiranya ternampak kelibat beruang itu,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial menerusi video berdurasi 23 saat memaparkan beruang berkeliaran di kawasan sawah padi dipercayai sedang mencari makanan.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu disedari seorang wanita yang merakam video pergerakan haiwan liar berkenaan di belakang rumahnya.

Bagaimanapun, tiada insiden tidak diingini berlaku dan beruang berkenaan melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here