Tag: penyu

  • Anak penyu agar berkepala dua

    Anak penyu agar berkepala dua

    SEEKOR anak penyu agar berkepala dua ditemukan di projek konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, Terengganu.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengurusnya Abidah Zaaba berkata, anak penyu itu dijumpai ketika proses pemeriksaan rutin pada Selasa lalu selepas telur di sarang berkenaan menetas.

    Menurut Abidah, ia adalah penemuan pertama di pusat konservasi itu bagi anak penyu berkepala dua yang masih hidup.

    “Bila tengok ada dua kepala, semua yang ada kat situ sangat teruja, excited.

    “Kejadian ini, kami rasa memang very rare, jarang berlaku. Untuk saya sendiri ini adalah yang pertama di sini yang hidup,” katanya.

    Abidah berkata, pihaknya menyerahkan reptilia marin itu di bawah jagaan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Jabatan Perikanan di Rantau Abang untuk tindakan lanjut.

    Selain penyu berkepala dua, pihaknya turut menemukan anak penyu kembar dalam sarang yang sama.

    “Apabila kami buka, ada satu telur itu kami buka kami, menemui satu pasang anak penyu. Jadi maksudnya ini datangnya daripada genetik sama ada ibu atau bapanya.

    “Dalam satu sarang ada juga penemuan anak penyu kembar tapi tapi yang itu sudah tak hidup, sudah mati,” jelanya lagi.

    Menurut Abidah, anak penyu kembar terbabit diawet dan dijadikan spesimen bagi tujuan pembelajaran dan pameran di pusat tersebut.

    Beliau berkata sehingga Ogos, sebanyak 278 sarang melibatkan lebih 20,000 penyu dan tuntung laut diperamkan di Pusat Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch, Tanjung Jara Resort.

  • Pukat ‘malas’ pembunuh utama penyu di Terengganu

    Pukat ‘malas’ pembunuh utama penyu di Terengganu

    PENGGUNAAN pukat pari atau lebih dikenali sebagai ‘pukat malas’ oleh nelayan berhampiran kawasan pendaratan penyu, dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian reptilia yang menjadi ikon pelancongan Terengganu itu.

    Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Sharum Yusof berkata berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 45 peratus kematian penyu yang direkodkan setakat ini adalah akibat tersangkut pada pukat pari, manakala 38 peratus terperangkap dalam pukat tunda.

    “Apabila penyu tersangkut pada pukat pari atau pukat malas yang diletakkan di dasar laut selama dua hingga tiga jam, haiwan itu akan kelemasan dan mati kerana gagal timbul di permukaan air untuk bernafas.

    “Insiden terperangkap pada pukat kerap berlaku sehingga menyebabkan kematian dan lebih menyedihkan ada nelayan yang sanggup bunuh penyu yang terperangkap sebab tak mahu rosakkan pukat mereka ketika mahu keluarkan haiwan itu,” katanya kepada Bernama di sini.

    Kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan apabila 22 kes kematian dilaporkan dalam tempoh Januari lepas sehingga semalam. Pada 2019 sebanyak 78 kes kematian penyu direkodkan, manakala 55 kes dicatat pada 2020 dan 51 kes (2021).

    Mengulas lanjut Sharum berkata penyu juga lebih mudah terperangkap jika pukat yang digunakan nelayan melebihi saiz yang dibenarkan pihak berkuasa iaitu saiz mata pukat tidak boleh melebihi 25 sentimeter (10 inci).

    “Masih ramai nelayan di negeri ini tidak memahami (peraturan) dan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa,” kata Sharum.

    Sehubungan itu katanya pelbagai program kesedaran dan kursus diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran nelayan tentang kepentingan mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus dapat menyelamatkan reptilia berkenaan.

    “Malangnya peratus kehadiran amat sedikit, sedangkan banyak lesen nelayan dikeluarkan, tambah buruk lagi ada ramai yang turun ke laut tanpa lesen dan golongan inilah yang sukar dididik dan diberi kesedaran,” katanya yang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir nelayan sehingga menjejaskan ekosistem marin.

    Sementara itu menurut Pegawai Penyelidikan Penyu FRI Rantau Abang Nazuki Sulong, punca lain yang menyebabkan kematian penyu ialah akibat terkena kipas bot, manakala peratusan penyu yang mati akibat termakan plastik sangat kecil iaitu hanya kira-kira lima peratus.

    Beliau berkata kematian penyu yang disebabkan termakan plastik sebenarnya jarang berlaku kerana kebiasaannya ia melibatkan penyu Belimbing yang makanan utamanya ubur-ubur dan spesies berkenaan sudah agak lama tidak kelihatan mendarat di pantai negeri ini.

    “Penyu Belimbing mungkin keliru, tak dapat beza plastik terapung dengan ubur-ubur. Penyu lain seperti Agar, Lipas dan Karah yang banyak terdapat di negeri ini biasanya lebih banyak makan rumpai laut, span (karang lembut) atau udang, ia jarang memakan ubur-ubur.

    “Ada kes yang kita jumpa, walaupun ada plastik dalam mulut penyu yang mati tu, bukanlah sebab ia makan plastik, tapi mungkin perbuatan khianat (orang masukkan),” katanya menambah spesies penyu Agar kini mendominasi populasi penyu di Terengganu iaitu sehingga 90 peratus.

    Oleh itu katanya, keutamaan yang perlu diberi dalam usaha mengurangkan kematian penyu ialah dengan mendidik dan memberi kesedaran yang optimum kepada golongan nelayan supaya mereka mematuhi setiap undang-undang serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

    Katanya penggunaan Peranti Penyisih Penyu pada pukat tunda sepanjang musim tengkujuh (November hingga Mac) juga dapat menyelamatkan penyu daripada terperangkap di dalam keroncong pukat sehingga menyebabkan kematian. 

    “Penyu yang memasuki pukat tunda dapat keluar melalui injap yang terdapat pada peranti ini, jadi penyu tidak akan terperangkap dan lemas dalam pukat,” katanya.

    Terdapat antara 800 sehingga 1,000 ekor penyu akan mendarat dan berada di perairan Terengganu semasa musim reptilia itu bertelur iaitu sekitar April sehingga Oktober.

    — BERNAMA

  • 3 kanak-kanak maut selepas makan daging penyu

    3 kanak-kanak maut selepas makan daging penyu

    TIGA kanak-kanak maut selepas memakan daging penyu di Pulau Pemba di Zanzibar, Tanzania, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Komander polis wilayah Pemba Utara, Juma Sadi, berkata 22 lagi yang lain dimasukkan ke hospital.

    “Mangsa yang maut itu adalah daripada satu keluarga. Dua daripada mangsa yang dimasukkan ke hospital juga kanak-kanak dan dilaporkan dalam keadaan kritikal,” kata Sadi sambil menambah daging penyu itu disyaki beracun.

    Pegawai polis itu berkata sampel daging penyu itu telah dihantar kepada pihak berkuasa berkaitan untuk dianalisis. – BERNAMA