Tag: pensyarah

  • Pensyarah rugi RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

    Pensyarah rugi RM1.3 juta diperdaya ‘Inspektor Ku’

    SEORANG pensyarah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian RM1.3 juta selepas dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah oleh individu bergelar ‘Inspektor Ku’

    Wanita berusia 41 tahun itu mendakwa pegawai polis berkenaan menawarkan untuk membantu dan mengarahkannya membuka akaun bank baharu bagi menyelesaikan kes dihadapinya itu sebelum individu berkenaan berjaya memindahkan semua wang mangsa.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa semalam, selepas wanita itu menyemak akaun banknya pada awal bulan ini dan mendapati semua wang dari akaunnya itu sudah dipindahkan.

    “Pada mulanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendakwa mangsa terbabit dalam pemalsuan laporan Covid-19 di Sabah.

    “Mangsa menafikan dakwaan itu dan kemudian panggilan telefon terus disambungkan kepada individu yang kononnya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bernama ‘Inspektor Ku’.

    “Mangsa memaklumkan, ‘Inspektor Ku’ pula memberitahu dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, lapor Harian Metro.

    Kamarul Zaman berkata, apabila mangsa menafikan dakwaan itu, ‘scammer’ (penipu) itu kemudian mengarahkannya membuka akaun bank baharu dan meminta wanita terbabit menyerahkan kata laluan perbankan dalam talian serta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan mereka (scammer).

    Katanya, mangsa kemudian mengikut arahan scammer untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun baharu itu sebagai alasan untuk simpanan selamat sementara kesnya disiasat.

    “Antara 17 Oktober 2022 sehingga 25 November 2022, mangsa memindahkan wang berjumlah RM1.3 juta ke akaun baharu itu.

    “Mangsa sedar ditipu apabila wang dalam akaun miliknya terdapat transaksi pemindahan ke beberapa akaun lain yang tidak dikenali sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, terdapat satu lagi kes membabitkan sindiket penipuan apabila seorang lelaki berusia 49 tahun menjadi mangsa penipuan wakil penjual bagi sebuah syarikat secara dalam talian di daerah ini, baru-baru ini.

    “Mangsa ditipu oleh syarikat berkenaan yang menjanjikan keuntungan mudah dengan melaburkan sejumlah wang. Mangsa pada mulanya melabur wang sebanyak RM800 dan mendapat keuntungan sebanyak RM2,100.

    “Disebabkan terpedaya dengan keuntungan mudah yang diperoleh itu, mangsa seterusnya melabur sebanyak RM85,000. Kemudiannya, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak mendapat sebarang pulangan,” katanya.

    Pada masa sama, Kamarul Zaman mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan yang mendakwa terbabit dalam aktiviti jenayah.

    “Polis tidak akan berpeluk tubuh dan kita menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi Whoscall yang membolehkan kita mengesan panggilan daripada scammer,” katanya.

  • OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    GURU tuisyen, Chow Sak Chin menjadi insan yang paling gembira selepas berjaya menggenggam ijazah kedoktoran pada awal tahun lepas, meskipun berdepan pelbagai kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

    Hilang penglihatan akibat kemalangan pada 1996, beliau bangkit daripada kegelapan untuk menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Tanjung Malim.

    Chow, 45, mempunyai harapan menggunung untuk menjadi seorang pensyarah bagi membantu insan sepertinya menimba ilmu pengetahuan dan berjaya dalam kehidupan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu buntu kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang tawaran berkhidmat sebagai pensyarah walaupun banyak permohonan dihantar ke institut pengajian tinggi sejak Jun tahun lepas.

    “Saya OKU, jadi saya lebih memahami golongan ini sekiranya dilantik menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan khas tetapi malangnya tidak diberikan peluang…banyak panggilan dibuat dan e-mel dihantar kepada pelbagai pejabat dan agensi tetapi tiada respons,” katanya kepada pemberita di sini.

    Chow berkata beliau kini meneruskan kerjayanya sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris sejak 11 tahun lepas di sebuah pusat tuisyen di sini.

    Katanya beliau berupaya mengajar pelajar dengan baik menggunakan teknologi seperti aplikasi pembaca skrin pada komputer dan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Saya sudah lebih sedekad menjadi guru tuisyen, ibu bapa juga yakin dengan saya untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya.

    Masih menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Chow berharap para majikan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU terutama yang berpelajaran dan berkelayakan. – BERNAMA

  • Pensyarah UiTM herdik pelajar B40 direhatkan sementara

    Pensyarah UiTM herdik pelajar B40 direhatkan sementara

    UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) merehatkan sementara seorang pensyarah yang didakwa mengherdik pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba seperti dalam video yang tular.

    Menurut UiTM, tindakan itu diambil terhadap Prof Dr Roshana Takim mulai hari ini sementara menunggu siasatan dalaman terhadap isu tersebut selesai.

    Katanya, keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah UiTM dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

    “Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” kata UiTM dalam kenyataan media, hari ini/

    Baru-baru ini, tular dalam media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut.

    Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM, iaitu laporan kronologi siasatan berhubung kejadian itu turut tersebar dan institusi pengajian tinggi awam itu telah membuat laporan polis semalam bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.

    Pada masa yang sama, UiTM memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau sebaliknya sehingga boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti tersebut serta menggugat keselamatan warganya.

    “UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan,” jelasnya.

    UiTM sentiasa cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga akademik dan pelajarnya.

    Dalam konteks itu, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

    “Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Penyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” katanya.