Tag: penjawat awam

  • 53 penjawat awam Negeri Sembilan dinasihat segera ambil vaksin

    53 penjawat awam Negeri Sembilan dinasihat segera ambil vaksin

    SERAMAI 53 penjawat awam di Negeri Sembilan yang masih belum menerima vaksin Covid-19 mempunyai masa hingga hujung bulan ini sebelum dikenakan tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Aminuddin berkata kerajaan negeri berharap golongan berkenaan dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19 pada kadar segera demi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

    “Sebelum ini, seramai 64 penjawat awam di negeri ini yang dikenal pasti belum bersedia untuk menerima vaksin berkenaan bagaimanapun 11 daripada mereka telah menerima suntikan.

    “Memang ada antara mereka yang masih berkeras untuk tidak mahu vaksin. Kita berharap mereka ini memikirkan semula untuk menerima vaksin walaupun masing-masing berpandangan mempunyai hak tersendiri,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan JPA mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pembentangan Belanjawan 2022 pada hujung bulan depan.

    “Bajet yang kita rumuskan pada tahun depan adalah realisitik. Kerajaan akan melihat belanjawan tahun terdahulu untuk dirangkumkan dan dibuat pengharmonian supaya bajet yang dibentang kali ini lebih bermakna serta memberi satu rangsangan ekonomi kepada masyarakat,” katanya.

    Sementara itu, susulan rentas negeri dibenarkan, Aminuddin menasihati pengunjung yang datang ke Negeri Sembilan terutamanya pada hujung minggu ini agar menjaga kebersihan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. -Bernama

  • Penjawat awam mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

    Penjawat awam mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

    SEORANG penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya yang juga remaja bawah umur pada 2017 dan 2021.

    Bagaimanapun tertuduh, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

    Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Tertuduh mengikut pertuduhan pertama didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya yang berusia 11 tahun tujuh bulan pada ketika itu di sebuah rumah di Kota Bharu, antara pukul 8 hingga pukul 10 malam, pertengahan tahun 2017.

    Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan mangsa sama ketika berusia 14 tahun 10 bulan di lokasi sama, pukul 8 pagi pada 6 September 2021.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizuan Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.

    Peguam bela tertuduh, Halim Ashgar Hilmi bagaimanapun memohon supaya mahkamah membenarkan tertuduh diberi jaminan untuk kedua-dua pertuduhan itu.

    Menurutnya, tertuduh berkhidmat dengan agensi kerajaan sejak 17 tahun lalu dan tidak akan mengganggu mangsa kerana lelaki itu akan balik ke rumah ibunya di Tumpat.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    Dua orang termasuk penjawat awam ditahan terima rasuah RM18,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM18,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja.

    Sumber SPRM memaklumkan perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang penjawat awam bersama seorang lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 50-an sebagai balasan membantu syarikat pembekal baja mendapatkan kerja-kerja membekalkan baja cecair organik bernilai lebih RM140,000 kepada sebuah pertubuhan peladang di Selangor.

    Kedua-dua suspek ditahan hari ini pada kira-kira 3 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

    Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam sekitar 9 pagi esok untuk permohonan reman. – BERNAMA

  • 2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

    2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

    JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 19 Ogos lepas.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.

    “Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin.

    “Jadi kita akan sentiasa melihat dan cuba meningkatkan lagi peratusannya. Ini kerana bila mana lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka, mereka kena hadir ke pejabat…kehadiran ke pejabat wajib walaupun suntikan vaksin belum lagi diwajibkan setakat ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata setakat 19 Ogos lepas, 74 peratus penjawat awam di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.

    Beliau berkata pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan untuk menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.

    “Ini kerana kalau kita nak buka sektor ekonomi, perkhidmatan kerajaan perlu dibuka terlebih dahulu, jadi kita harap yang belum ada janji temu segera divaksinkan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru penjawat awam yang belum mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk berbuat demikian sekali gus memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

    Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata semua penjawat awam kini telah bersedia untuk kembali ke pejabat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara seperti sedia kala.

    “Bagi mereka yang bekerja dari rumah pula, kita sarankan untuk sentiasa mengekalkan produktiviti malah perlu jadi lebih baik biarpun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah capaian internet,” katanya.- BERNAMA

  • Penjawat awam digesa bersatu hati, terus berjuang menentang Covid-19

    Penjawat awam digesa bersatu hati, terus berjuang menentang Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman menggesa penjawat awam segera bangkit dan bersatu hati untuk terus berjuang dalam peperangan Covid-19.

    Beliau berkata, peperangan melawan pandemik itu telah menyebabkan tekanan, ketidakstabilan emosi, kelelahan pandemik dan sebagainya.

    “Ini kadang kala melemahkan, kita perlu segera bangkit, saling berpaut, bersatu hati, bertahan dan terus berjuang. Bertahan adalah tindakan terbaik di saat berhadapan dengan isu semasa.

    “Hari ini, pepatah ‘penjawat awam adalah tunjang negara’ benar-benar terpateri dan menjadi tiang seri yang memerlukan penjawat awam untuk kekal utuh walau apa pun yang mendatang.

    “Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada negara dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

    Saya percaya hikmah yang kita pelajari daripada semua ini adalah ia mengukuhkan lagi semangat perpaduan kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang disiarkan menerusi Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

    Pada perhimpunan itu, Mohd. Khairul turut melancarkan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) Perkhidmatan Awam.

    SPAN dibangunkan pada tahun 2007 telah ditambah baik dan menetapkan supaya semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan melaksanakan pengurusan amalan nilai secara holistik bagi meningkatkan tahap pengamalan nilai dan integriti di peringkat individu dan organisasi.

    Mohd Khairul berkata, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam bersatu memberikan komitmen sepenuh hati dalam menyahut misi bagi mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

    “Selepas usaha vaksinasi ini selesai, kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan ini daripada berulang kembali,” katanya.

  • Terbabit parti liar, 15 termasuk penjawat awam ditahan

    Terbabit parti liar, 15 termasuk penjawat awam ditahan

    SEBANYAK 15 individu termasuk seorang penjawat awam ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pesta liar dan pengambilan dadah di sebuah unit kondominium mewah dekat Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi pada pukul 1 pagi itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan yang mendakwa terdapat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, seorang daripada yang ditahan itu merupakan penjawat awam manakala sembilan yang lain terdiri daripada wanita.

    Katanya lagi, unit kondominium terbabit pula disewa dengan kadar RM600 semalam dan polis turut menemukan pelbagai peralatan audio dan juga kesan penggunaan dadah.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki dan lapan wanita positif dadah.

    “Kita akan mengeluarkan kompaun setiap seorang berjumlah RM4,000 dan keseluruhan nilai kompaun adalah sebanyak RM60,000,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamad Zainal memberitahu, kesemua individu yang ditahan berusia antara 17 sehingga 45 tahun dan kesemuanya tinggal di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

    Ujar beliau, semasa disoal siasat, mereka turut mengaku beberapa kali berkunjung ke rumah tersebut sebelum ini untuk berhibur.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya,

    Beliau menambah, kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.