Tag: penjawat awam

  • Penjawat awam didakwa enam tuduhan rasuah

    Penjawat awam didakwa enam tuduhan rasuah

    SEORANG penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 untuk mendapatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Mersing itu didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise berjumlah RM13,480.20 melalui dokumen Borang Kajian Pasaran yang mana tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

    Sebut harga terbabit adalah untuk melaksanakan pembekalan bagi alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPS Mersing dekat Mersing, antara Ogos 2020 hingga November 2020.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor, memaklumkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) akta berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik yang mewakili tertuduh membantah dan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah lebih rendah.

    “Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun dan turut menanggung ibu bapanya. Sebaik pertuduhan ini dihadapkan kepadanya, tertuduh digantung kerja.

    “Tertuduh juga sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang memerlukan perbelanjaan yuran lebih RM15,000,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei depan.

  • 3.46 juta orang terima Bayaran Khas Kewangan Aidilfitri 17 April ini

    3.46 juta orang terima Bayaran Khas Kewangan Aidilfitri 17 April ini

    SERAMAI 3.46 juta orang akan menerima Bayaran Khas Kewangan Aidilfiri (BKKA) berjumlah RM1.572 bilion yang akan disalurkan pada 17 April ini.

    Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata penerima terdiri daripada penjawat awam, pesara kerajaan, pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan.

    “Seramai 1.4 juta penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan MySTEP akan menerima RM700 dengan implikasi RM988 juta.

    “Sementara itu, satu juta pesara kerajaan termasuk veteran tidak berpencen akan menerima RM350 dengan implikasi RM350 juta,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini hari ini.

    Ahmad berkata 850,000 penerima yang terdiri daripada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan masing-masing menerima RM200 dengan nilai keseluruhan RM170 juta.

    Bagi sukarelawan pula, sebanyak 213,000 orang yang terdiri daripada sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba turut menerima manfaat daripada BKKA berjumlah RM64 juta.

    Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan BKKA kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb 2023.

    Pada 29 Mac lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan inisiatif tambahan Belanjawan 2023 baharu melibatkan bantuan Aidilfitri yang diperluas kepada golongan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan. – BERNAMA

  • Kedah beri duit raya RM1,000 kepada penjawat awam

    Kedah beri duit raya RM1,000 kepada penjawat awam

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta untuk memberi Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 5,100 penjawat awam negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengumumkan berita gembira itu berkata, keputusan berkenaan dibuat pada Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.

    Katanya, pembayaran tersebut akan dilakukan pada 18 April ini.

    “Bantuan khas kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri ini diberikan RM1,000 seorang melibatkan peruntukan RM5.1 juta untuk 5,100 penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menjenamakan semula pelantikan ketua kampung yang kini dikenali sebagai Majlis Ketua Kampung (MKK).

    “Pelantikan ketua kampung ini dinamakan sebagai Majlis Ketua Kampung untuk menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.

    “Pelantikan ini akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM13.8 juta untuk pembayaran elaun kepada mereka,” katanya.

  • Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM700

    Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM700

    KERAJAAN negeri Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua kakitangan awam negeri dan lantikan politik.

    Selain itu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob juga mengumumkan elaun penghulu dinaikkan dari RM1,100 kepada RM1,500.

    “Saya ingin umumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM700 untuk semua penjawat awam dan juga lantikan politik.

    “Pada masa sama, saya mengumumkan kenaikan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian pada sesi sidang dewan undangan negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

  • Projek tebatan banjir disegerakan untuk kurangkan impak bencana – Anwar

    Projek tebatan banjir disegerakan untuk kurangkan impak bencana – Anwar

    PROJEK-projek tebatan banjir akan disegerakan untuk mengurangkan impak bencana itu di negara ini pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah diarahkan untuk menyegerakan projek-projek tebatan banjir itu.

    “Saya telah minta Perbendaharaan untuk segerakan proses tender segera untuk mengurangkan tekanan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya ketika berucap melancarkan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Johor di sini hari ini.

    Seramai 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menyertai misi pascabanjir selama dua hari itu, yang dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena majlis pelepasan pasukan itu, misi berkenaan lebih tertumpu dan bersasar kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, fasiliti pendidikan, bangunan kerajaan serta tempat awam.

    Pada 17 Mac lepas, Anwar mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

    Anwar pada majlis hari ini merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang menyertai misi pascabanjir di Johor itu serta menyifatkannya sebagai tindakan luar biasa.

    “Kehadiran saudara saudari, percayalah dapat mengurangkan (beban) rakyat yang tertekan. Saya berdoa kita semua dapat jalankan tugas dengan ikhlas dan diberkati,” katanya.

    Anwar berkata mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga telah diminta untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

    “Pascabanjir ini mencabar, kita tahu jabatan dan keluarga di Johor tidak mampu kendalikan kecuali ada usaha tambahan,” katanya.

    Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat menunjukkan penurunan dengan 6,740 orang masih ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. – BERNAMA

  • 51 penjawat awam dibuang kerja tahun lalu – SPA

    51 penjawat awam dibuang kerja tahun lalu – SPA

    PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, sebanyak 51 orang penjawat awam dibuang kerja kerana masalah tertib dan kelakuan, tahun lalu.

    Menurut beliau, 18 penjawat awam terbabit dibuang kerja kerana tidak hadir bertugas, 20 individu kerana isu tatakelakuan, antaranya terbabit dengan dadah, manakala 13 individu lagi disebabkan sabitan mahkamah.

    Katanya, selain itu 97 kakitangan pula ditamatkan perkhidmatan kerana gagal disahkan dalam tempoh percubaan.

    “Bagi 2021 pula, seramai 83 penjawat awam dibuang kerja, dengan 48 daripada tidak hadir bertugas, 26 membabitkan isu tatakelakuan dan sembilan lagi kerana sabitan mahkamah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Zainal Rahim berkata, terdapat lima lembaga tatatertib, antaranya yang dipengerusikan oleh beliau dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

    Beliau menegaskan, SPA sentiasa mematuhi Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 395/1993 bagi memastikan anggota perkhidmatan awam melaksanakan tanggungjawab berasaskan kepada peraturan dan pekeliling yang ditetapkan.

    Sementara itu, Zainal Rahim berkata, SPA akan cuba meluluskan 100 peratus permohonan pertukaran perkhidmatan dalam keadaan tertentu yang dibuat pegawai kerajaan.

    Katanya, permohonan itu akan diluluskan bagi mengelakkan timbul isu lain seperti kemurungan dan pengurangan produktiviti kerja atau tidak hadir bertugas dalam kalangan penjawat awam yang tidak dapat bertukar.

    “Macam ada yang isteri bekerja di suatu negeri, suami berkhidmat di jabatan Persekutuan. Kita tak pernah mengecewakan, kita luluskan pertukaran kerana tidak mahu mengakibatkan perkara lain seperti malas bekerja, tidak hadir bertugas dan kemurungan,” katanya.

    Beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun iaitu sejak 2017 hingga tahun lalu, SPA sudah meluluskan 315 pertukaran perkhidmatan penjawat awam, termasuk 56 pertukaran tahun lalu, yang dibuat atas permohonan pegawai atau jabatan.

    Pertukaran di bawah bidang kuasa SPA, membabitkan pertukaran ketua perkhidmatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan dan daripada perkhidmatan awam negeri di bawah bidang kuasa suruhanjaya ke perkhidmatan awam am Persekutuan.

    Pertukaran biasa dalam perkhidmatan daripada satu kementerian kepada kementerian lain itu adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau kementerian.

    Selain itu, Zainal Rahim berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 15,096 pengesahan lantikan dibuat suruhanjaya itu, selain 13,300 pengesahan dalam perkhidmatan.

    Beliau berkata, pengambilan pegawai tadbir dan diplomatik juga tidak dibuat pada tahun ini, sama seperti tahun lalu.

    Pengambilan terakhir pegawai tadbir dan diplomatik dibuat pada 2021, dengan pembaharuan dari aspek penilaian dan temu duga secara dalam talian di SPA atau temu duga dari lokasi calon berada.

  • Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 34 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ di laut.

    Sumber memaklumkan, tindakan meminta dan menerima rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Difahamkan kegiatan rasuah itu berlaku antara 2015 hingga 2022.

    “Suspek yang ditahan merupakan pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi.

    “Dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar kira-kira pukul 9.30 pagi semalam,” katanya.

    Sumber memaklumkan, penahanan suspek dibuat susulan satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda di Kedah.

    Semalam seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia 26 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan.

    Sumber itu menambah, suspek terbaharu yang ditahan dibenarkan direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Alor Setar bermula hari ini.

    “Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abd. Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • 4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi tidak bekerja.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Feb lepas, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang di sini, telah didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

    “Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta terbabit manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

    “Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek telah meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan kesemua suspek pada tengah hari Ahad dan awal pagi tadi serta merampas sebuah Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian.

    Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai telah dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia serta beberapa peralatan lain. 

    “Kesemua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

    Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu. – BERNAMA

  • Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam, RM300 pesara

    Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 untuk penjawat awam, RM300 pesara

    KERAJAAN bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan itu diberi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam. 

    “Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan setia menggalas amanah negara.

    “Ke arah Malaysia MADANI, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

    Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

    Beliau berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria. 

    “Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan,” kata beliau.

    Sementara itu, bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, beliau berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengambil startegik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

    “Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan public cloud oleh penyedia perkhidmatan awan yang dilantik kerajaan,” katanya. – BERNAMA

  • Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam di Sandakan hari ini kerana memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik balik satu laporan polis terhadapnya.

    Menurut sumber, suspek lelaki beruusia 40-an bertugas di Beluran telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kes samun berkumpulan.

    Suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik pada pada 30 Okt 2021.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan suspek ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

    Katanya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin, dan dijadualkan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat. – BERNAMA