Tag: Penjara Jelebu

  • Banduan ketiga lolos Penjara Jelebu ditangkap

    Banduan ketiga lolos Penjara Jelebu ditangkap

    SEORANG lagi banduan daripada lima yang masih bebas selepas melarikan diri dari Penjara Jelebu dua hari lepas ditahan di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki berkenaan, Shazuan Md Sharif, 32, ditahan kira-kira 4 pagi dan Mahkamah Majistret Bahau kemudian membenarkan dia direman empat hari bermula esok.

    “Penahanan lelaki itu menjadikan tiga daripada keseluruhan tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara dua hari lepas, berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, polis berjaya menahan lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, kira-kira 5.15 pagi di Kampung Petasih Tengah, Pertang dan menahan Sohaimi Khalid, 50, di kawasan kebun sawit, Kongkoi, kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu pada 7 malam sehari sebelumnya.

    Maslan berkata, polis bersama Jabatan Penjara sedang giat mengesan empat lagi banduan yang masih bebas iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Zainuddin, 62.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak tepat yang akan menganggu gugat ketenteraman awam dan siasatan polis,” katanya.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju ke semak di belakang penjara itu. – BERNAMA

  • Banduan kedua lari dari Penjara Jelebu ditangkap

    Banduan kedua lari dari Penjara Jelebu ditangkap

    POLIS menahan seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu semalam, di Kampung Petasih Tengah, Pertang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, yang sedang menunggu perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ditahan kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.

    “Lelaki terbabit telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu dan cuba melarikan sebuah kereta Proton Waja tetapi berjaya dihalang seterusnya ditangkap oleh orang kampung dan polis.

    “Menerusi tangkapan lelaki berasal dari Jasin, Melaka itu menjadikan keseluruhan dua daripada tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara semalam berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jelebu, hari ini.

    Banduan pertama yang ditahan semula, Sohaimi Khalid berusia 50 tahun diberkas di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 malam semalam.

    Menurut Maslan, banduan pertama ditahan semua itu telah dibenarkan reman oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selama empat hari bermula hari ini manakala permohonan reman untuk banduan kedua ditahan semula akan dijalankan esok di mahkamah sama.

    Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi di tepi blok itu.

    Susulan itu, polis mengadakan empat sekatan jalan raya di sempadan Jelebu iaitu Nilai, Kuala Pilah dan Jempol dalam usaha mengesan kesemua mereka yang masih lolos termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

    Dalam pada itu, beliau berkata, lima banduan yang menunggu perbicaraan bagi kesalahan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dipercayai sudah menukar pakaian masing-masing sebaik berjaya melarikan diri dan disyaki berjalan kaki dan bersembunyi di kawasan pinggir kampung.

    Menurutnya, polis sedang giat mengesan kesemua baki banduan berkenaan dan dipercayai masih berada di daerah ini dengan tumpuan pencarian dilakukan di sekitar kawasan Pertang.

    Lima lagi yang masih bebas dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Shazuan Md Sharif, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai, Zainuddin, 62.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Jelebu di talian 06-6136222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096996, katanya. – BERNAMA