Tag: pengundi

  • Usul tanpa pemberitahuan ke DUN: Pengundi bakal kuburkan ego Guan Eng

    Usul tanpa pemberitahuan ke DUN: Pengundi bakal kuburkan ego Guan Eng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng disifatkan tidak pernah mengkaji isu melibatkan Kedah dan Pulau Pinang secara mendalam, apabila membawa usul tanpa pemberitahuan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, yang mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap dakwaan ucapan provokasi bersifat menghasut dan ekstremis oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya, apa yang dimahukan Kedah hanyalah nilai pampasan yang dinyatakan dalam Triti Kedah 1869, diteliti semula selaras dengan perkembangan terkini selepas menghampiri tempoh 200 tahun.

    Malah katanya, kalau mahu diulang semula soal sejarah dan perspektif perundangan, cukup jelas bahawa Kedah adalah kedaulatan bagi Pulau Pinang.

    “Malangnya Guan Eng bermain dengan sentimen tidak perlu serta sengaja mensudutkan isu ini dalam konteks ‘melanggari sempadan negeri’.

    “Sedangkan perjuangan nilai pajakan yang setimpal adalah hak negeri dan rakyat Kedah. Tindakan itu bukan mengambil hak orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Melalui usul tersebut, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kedaulatan negeri Pulau Pinang berasal dan berpunca daripada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan bentuk, nyawa dan kuasa perundangan mutlak kepada Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan negeri serupa dengan 13 buah negeri yang mewujudkan Persekutuan Malaysia.

    Selain itu, Guan Eng menerusi usul sama mencadangkan kerajaan negeri berikrar bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada dicemuh, diragui, dipertikaikan atau diceroboh oleh Menteri Besar Kedah.

    Malah, Guan Eng turut mempertontonkan kepada sidang DUN video kenyataan Muhammad Sanusi yang mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang tersebut yang tular di dalam media sosial.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tindak-tanduk Guan Eng akan menambah muak rakyat terhadap politiking Pakatan Harapan (PH).

    “Tunggu signal lebih besar daripada pengundi Pulau Pinang selepas ini apabila sampai masanya nanti unuk menguburkan keegoan beliau,” katanya.

  • ‘Sedekah’ pengundi: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan

    ‘Sedekah’ pengundi: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan


    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada pilihan raya umum ke-15.

    Malaysiakini yang memetik sumber daripada agensi itu, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada Pas bagi tujuan mengundi.

    Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, setakat ini, SPRM telah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan.

    “Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

    “Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

    “Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar,” kata sumber itu.

    Terima duit, angkat sumpah

    Katanya, siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu.

    Tambahnya, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

    Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

    Selepas berakhirnya PRU 15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah memberi wang kepada pengundi.

    Pengarah pilihan raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan perkara itu.

    Sanusi berkata dakwaan itu merupakan helah daripada musuh politik untuk memburuk-burukkan Pas dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

    Pada Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi.

    Beliau dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

    Bagaimanapun Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada “bersedekah”.

  • Muhasabah bila parti ditolak pengundi, bukannya hentam Pas, kata Fadli Shaari

    Muhasabah bila parti ditolak pengundi, bukannya hentam Pas, kata Fadli Shaari

    KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membidas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menyerang parti itu ketika berucap merasmikan perhimpunan agung tiga sayap UMNO semalam.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, sepatutnya menggunakan perhimpunan itu untuk bermuhasabah susulan prestasi hambar UMNO pada PRU15.

    “UMNO hanya berjaya memenangi 26 daripada 120 kerusi yang ditandingi November lalu.

    “Ingatkan bila parti sendiri ditolak oleh pengundi, perhimpunan agung dijadikan medan muhasabah rupanya tidak, bahkan dijadikan medan menghentam Pas.

    “Datuk Seri jagalah parti sendiri dulu, buat post mortem kenapa semakin hari semakin ditolak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Free Malaysia Today.

    Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mengecam Mohamad kerana menuduh partinya dan Bersatu tidak setia kepada UMNO.

    Katanya, kedua-dua parti itu telah menyokong UMNO dalam menjadikan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Semalam, Mohamad berkata, UMNO memilih untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana pengalamannya bekerja dengan gabungan itu dalam kerajaan terdahulu.

    Merujuk Kepada parti utama PN iaitu Bersatu, beliau berkata “sangat sukar” untuk bekerjasama dengan parti yang berniat untuk “menghapuskan Umno selama-lamanya”.

    “Ini sama dengan pengalaman kami bekerja dengan Pas. Mereka tidak pernah setia atau ikhlas,” kata Mohamad.

  • Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    SEORANG pemimpin Wanita UMNO Kedah menggesa kerajaan menaikkan semula had umur mengundi kepada 23 tahun kerana remaja berusia 18 tahun masih belum matang.

    Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai Norma Awang, pengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan.

    “Sebab itu kita sarankan kepada penggubal undang-undang dan wakil Umno dalam kerajaan ubah semula had umur mengundi ini,” katanya ketika perbahasan sayap Wanita UMNO di WTC di ibu negara hari ini.

    Norma berkata, Barisan Nasional tidak cukup “ranggi” dan “loklaq” bagi menawan hati serta aspirasi anak muda, yang menjadi punca prestasi buruk UMNO dalam pilihan raya umum ke-15.

    Katanya, jangan dibanding remaja 18 tahun di Malaysia dengan rakan sebaya mereka di luar negara terutama di Barat.

    Menurutnya, di kebanyakan negara Barat, ramai remaja 18 tahun sudah mengikuti pengajian Masters dan PHD tetapi di Malaysia kebanyakan remaja masih “terkial-kial menagih ketum, asyik dengan TikTok dan bermadu asmara cinta monyet”.

    “Remaja 18 tahun di negara ini, seluar dalam pun emak bapak yang masih beli dan mereka baru selesai peperiksaan SPM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Atas faktor itu, kata Norma, had umur mengundi di Malaysia perlu dinaikkan kepada 23 tahun, tambahnya, pengundi setidaknya habis pengajian ijazah pertama.

    Inisiatif Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan sejak Dis 2021, menurunkan had umur pengundi daripada 21 ke 18 tahun.

    PRU15 adalah kali pertama pelaksanaan inisiatif itu dan pendaftaran pengundi automatik. Ini menyebabkan penambahan 5.8 juta pengundi baharu, peningkatan sebanyak 40 peratus.

  • PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li dan Mahathir

    PRU-15: Pengundi ‘bersarakan’ Ku Li dan Mahathir

    PENGERUSI Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

    Turut menerima nasib serupa ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas mengejut kepada calon PAS-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim dalam usaha beliau mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12

    Menurut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, Dr Mahathir, 97, yang merupakan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara serta calon tertua pada PRU15, hanya memperoleh 4,566 undi berbanding 25,463 undi diterima Mohd Suhaimi yang mencatatkan majoriti 13,518 undi.

    Tiga lagi calon yang tewas dalam perebutan kerusi itu ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj yang memperoleh 11,945 undi, calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah Zabidi Yahya (5,417 undi) dan calon Bebas yang menggunakan lambang bunga Datuk Abd Kadir Sainudin yang hanya meraih 89 undi dan turut hilang deposit.

    Pada PRU14, Dr Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi di bawah tiket PKR dengan majoriti 8,893 undi untuk menewaskan calon BN Datuk Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad dari Pas.

    Sementara itu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili BN mendapat 21,663 undi.

    Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah.

    Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

    Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.

  • PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PENGUNDI di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

    Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter).

    Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.

    Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.

    Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.

    “Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” tambahnya.

    Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu. – BERNAMA

  • Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    Pemilih positif COVID-19 tak dibenar guna pengangkutan awam mengundi – KKM

    PEMILIH yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian 19 November ini.

    Ia antara beberapa langkah am proses pengundian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi.

    KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, pengundi positif COVID-19 juga disaran untuk tidak singgah di mana-mana tempat sama ada sebelum atau selepas mengundi dengan segera pulang selepas selesai membuang undi.

    “Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif COVID-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.

    “Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya hari ini.

    Berdasarkan nasihat am kepada pengundi PRU yang dikongsikan itu juga, pengundi dinasihatkan memastikan tangan dibersihkan dengan pensanitasi tangan di tempat yang dikenal pasti mengundi dan turut disyorkan agar membawa pensanitasi tangan sendiri.

    “Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor KKM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi.

    Beliau berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat

  • Kekuatan calon jadi pilihan pengundi PRU-15

    Kekuatan calon jadi pilihan pengundi PRU-15

    FAKTOR kekuatan calon menjadi pilihan pengundi berbanding parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kajian yang dilakukan oleh Ilham Centre mendapati 38 peratus melihat faktor calon menjadi keutamaan untuk dipilih pada hari mengundi.

    Sebanyak 32 peratus melihat faktor parti akan menentukan pilihan mereka manakala 30 peratus lagi mementingkan isu yang dibawa ketika kempen.

    Hanya segmen pengundi berusia 50 tahun ke atas melihat parti lebih menjadi pilihan berbanding calon dan isu, manakala segmen pengundi 49 tahun ke bawah akan melihat ketokohan calon yang dipertaruhkan parti-parti yang bertanding, lapor Astro Awani.

    Dari segi kaum pula, 38 peratus segmen pengundi Melayu lebih mementingkan isu berbanding faktor calon dan parti manakala 38 peratus pengundi Cina akan melihat faktor calon sementara 38 peratus pengundi India melihat isu calon.

    Bagi pengundi Bumiputera Muslim pula, sebanyak 42 peratus melihat isu, 33 peratus memilih faktor calon manakala 23 peratus melihat faktor parti.

    Ini merupakan dapatan tinjauan awam oleh lima agensi media utama Astro AWANI, Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star & Malaysian Nanban.

    Dilaksanakan oleh tiga badan penyelidik, Ilham Centre, O2 Malaysia dan Huayan Policy Institute serta Centre for Malaysian Chinese Studies.