Tag: pendakwaan terpilih

  • “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata”, kata Hadi

    “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata”, kata Hadi

    TINDAKAN mengheret mereka yang dianggap lawan politik ke mahkamah secara terpilih dan tergesa-gesa sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan adalah satu tindakan zalim yang nyata.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.

    Tegasnya, lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan.

    “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih.

    “Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi ruangan Minda Presiden Pas bertajuk “Apabila pemimpin tidak bersifat adil” di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut Hadi mendakwa, selepas berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih, mereka kemudiannya bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap kawan yang akrab atau penyokongnya.

    Katanya, ia walaupun kawan atau penyokong itu sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan mahkamah.

    “Ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya, tiba-tiba kes tersebut dihentikan,” katanya.

    Addul Hadi menjelaskan, Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya.

    Katanya ini supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya kerana hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman.

    “Kadang-kadang, nasihat yang benar dianggap salah kerana mempertahankan kezaliman yang nyata.

    “Nasihat yang diberikan bagi membetulkan kesalahan dan menginsafkan golongan yang zalim adalah kewajipan orang-orang yang beriman,” katanya.

  • Kes Muhyiddin tuduhan terpilih tutup isu UMNO dan RoS, kata Tuan Ibrahim

    Kes Muhyiddin tuduhan terpilih tutup isu UMNO dan RoS, kata Tuan Ibrahim

    PENDAKWAAN terbaharu terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘tuduhan terpilih’, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Dakwa beliau, tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu juga adalah bagi menutup isu berlaku dalam UMNO yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    “Jadi isu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menutup isu sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah pertuduhan terpilih.

    “Kita harap Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah. Kita akan adalah solat hajat malam ini di markas Pas Taman Melewar (Gombak).

    “Ia sebagai kenyataan sokongan kita dan satu lagi himpunan akan diadakan di Rusila, Terengganu malam ini,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya itu pada hari ini.

    Kenderaan yang membawa Muhyiddin tiba di luar ibu pejabat SPRM, di sini, sekitar pukul 11.15 pagi.

    Ketibaan Muhyiddin diiringi ratusan penyokong beliau serta beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin PN.

    Antara pemimpin PN yang turut hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Yang turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin; Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

  • Pendakwaan terpilih: Rakyat bakal terjemah penolakan kepada PH-BN pada PRN – Pas

    Pendakwaan terpilih: Rakyat bakal terjemah penolakan kepada PH-BN pada PRN – Pas

    PAS yakin tindakan terdesak kerajaan PH-BN melaksanakan penyiasatan dan pendakwaan terpilih serta pilih kasih menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Jun ini akan diterjemah oleh penolakan rakyat kepada parti kerajaan campuran pada pilihan raya berkenaan.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin bagaimanapun berkata, parti itu mengharapkan agar kerajaan PH-BN yang kononnya mahu mereformasi sistem perundangan negara agar tidak mengamalkan pendakwaan terpilih dan pilih kasih dalam setiap penyiasatan dan pendakwaan.

    “Pas yakin, tindakan-tindakan terdesak kerajaan PH-BN terkini yang melaksanakan penyiasatan dan pendakwaan terpilih serta double-standard kerana kegilaan dan ketakutan dalam menghadapi PRN akan diterjemah oleh penolakan rakyat kepada gabungan parti itu dalam PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, parti itu menyambut baik kenyataan dan ketegasan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Pas dan Perikatan Nasional (PN) bersedia bila-bila masa untuk sebarang siasatan mahupun keterangan sekiranya ada dakwaan ke atas mana-mana pemimpin.

    Namun katanya, siasatan dan pendakwaan itu hendaklah dengan syarat wajib bersikap adil dan tiada pendakwaan terpilih.

    “Pas konsisten serta tegas dengan pendirian bahawa amalan rasuah wajib ditolak dalam segenap urusan sama ada pentadbiran kerajaan mahupun organisasi kerana amalan rasuah bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

    Beberapa pemimpin parti komponen PN khasnya Bersatu ketika ini berdepan siasatan dan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Terbaharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai berada dalam senarai pemimpin pembangkang yang akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah esok.

    Setakat ini, masih belum jelas pertuduhan yang akan dikenakan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang mengetuai kerajaan Persekutuan semasa kemuncak pandemik Covid-19.