Tag: penamaan calon

  • PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    SEBANYAK 22 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah dijual setakat semalam.

    Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua borang berkenaan dibeli oleh parti Amanah, PAS, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

    “Bagi DUN Simpang Jeram, tiga set (borang penamaan calon) dibeli Amanah, PAS (dua), PN (lima) dan Bebas (satu), manakala bagi Parlimen Pulai, PN membeli lima set, Amanah (empat) dan Bebas (dua),” menurut kenyataan itu di sini.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini berkata pada hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) dari 9 pagi hingga 10 pagi.

    Beliau berkata PPC bagi Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, manakala PPC bagi DUN Simpang Jeram ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

    “Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Selain itu, bakal calon juga disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, kata beliau.

    “Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” kata Ikmalrudin.

    Beliau juga mengingatkan, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC, selain penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jenis kenderaan tidak dibenarkan pada hari penamaan calon kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon pula dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC ditetapkan.

    Selain itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

    “SPR menyeru kepada bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar,” kata Ikmalrudin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA

  • PDRM sahkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon di Tenom

    PDRM sahkan insiden kekecohan di pusat penamaan calon di Tenom

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku insiden kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan DSP Antanom, Tenom di Sabah.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau sedang menunggu laporan terperinci daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, berhubung perkara berkenaan.

    “Betul saya sedang tunggu laporan daripada PJP (Pesuruhjaya Polis) Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Terdahulu tular di media sosial sebuah kejadian rusuhan berlaku di Dewan DSP Antanom, Parlimen Tenom.

    Kejadian difahamkan berlaku ekoran penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) berang apabila borang pencalonan Datuk Peter Anthony dari parti itu, ditolak Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) yang bertugas.

    FMT melaporkan, difahamkan, pencalonan Peter ditolak pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana beliau pernah didapati bersalah oleh mahkamah.

    Keadaan itu menyebabkan penyokongnya cuba memasuki pusat pencalonan.

    Mei lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara dan denda RM50,000, tetapi beliau masih merayu sabitan itu.

  • Proses penamaan calon PRN Johor bermula hari ini

    Proses penamaan calon PRN Johor bermula hari ini

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada 9 pagi.

    Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

    Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan.

    Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

    Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan bertanding pada PRN Johor.

    Menerusi pengumuman calon yang dibuat, dijangka 223 calon dari parti-parti berkenaan akan mengemukakan borang pencalonan hari ini.

    Setakat Khamis lepas, sejumlah 894 borang penamaan calon telah pun terjual.

    Berbeza dengan PRN sebelum ini, SPR membenarkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

    Bagaimanapun ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang serta penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

    Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di satu dua tempat di Johor pada pagi, petang dan malam.

    SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.

    Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN itu.

    Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.

    Proses penyerahan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir pada pukul 10 pagi ini.

    Proses yang bermula pada pukul 9 pagi melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor itu, berjalan lancar.

    Sebaik proses penyerahan borang selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan. 

    Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

    Hanya calon serta pencadang dan penyokong calon tersebut dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon. – BERNAMA