Tag: Pemuda UMNO

  • Pemuda UMNO persoal peruntukan berbeza sekolah persendirian Cina dengan sekolah agama

    Pemuda UMNO persoal peruntukan berbeza sekolah persendirian Cina dengan sekolah agama

    KERAJAAN digesa menyemak kadar peruntukan purata bantuan yang disalurkan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Agama (SA) supaya ia dapat diseragamkan.

    Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, agihan peruntukan bagi kedua-dua jenis sekolah ini jelas menimbulkan beberapa persoalan dari segi purata jumlah diberikan.

    “Jika penentuan peruntukan kerajaan mengikut purata bilangan sekolah, Pemuda UMNO menggesa kerajaan menyemak semula kadar peruntukan purata SMPC untuk diseragamkan dengan peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan bakinya perlu diberikan kepada sekolah menengah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan,” katanya di Facebook.

    Beliau mengulas peruntukan RM15.7 juta yang diluluskan Perdana Menteri bagi SMPC dan RM150 juta diperuntukkan kepada sekolah tahfiz serta institusi pondok.

    Mengulas lanjut, Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, jika dilihat secara terperinci, RM150 juta diperuntukkan bagi 1,276 sekolah berdasarkan institusi sekolah agama berdaftar, sekali gus bermakna setiap satu sekolah hanya mendapat RM117,500 saja.

    Beliau bagaimanapun menegaskan, peruntukan RM15.7 juta bagi SMPC itu diagihkan kepada 63 sekolah dengan setiap sekolah mendapat bantuan RM250,000.

    Katanya, dari segi Perlembagaan kedudukan institusi SA dan SMPC adalah tidak sama yang mana peruntukan pendidikan agama diberikan menerusi Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan bukannya Kementerian Pendidikan (KPM).

    “Ia menunjukkan punca kuasa kewujudan institusi itu mengikut peruntukan Perlembagaan. Maka, apakah kriteria penentuan jumlah peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan SMPC? Berdasarkan kriteria apakah jumlahnya ditentukan? ” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau turut mencadangkan mana-mana institusi yang tidak dapat beroperasi kerana kekurangan dana diserap ke dalam sekolah aliran kebangsaan.

    “Jika alasan peruntukan diberi kepada SMPC atas faktor kekurangan dana, maka kami mencadangkan mana-mana SMPC yang tidak mampu menjalankan operasi ini diserapkan dalam sekolah aliran kebangsaan.

    “Saya percaya lebih banyak sekolah aliran kebangsaan yang daif dan lebih memerlukan bantuan dana daripada SMPC yang kita semua maklum ia dibiayai secara persendirian oleh pihak swasta tanpa memerlukan dokongan kerajaan,” katanya.

    Beliau menambah, pendirian Pemuda UMNO dalam isu berkenaan tidak pernah berubah dan mahu penjelasan yang tuntas dalam perkara itu.

  • Keluarkan cecair vape daripada Akta Racun tindakan tidak bijak – Pemuda UMNO

    Keluarkan cecair vape daripada Akta Racun tindakan tidak bijak – Pemuda UMNO

    Oleh DR AKMAL SALEH

    1. Mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun supaya ia boleh dikenakan cukai semata-mata bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak pada ketika ini.
    2. Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun, akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini.
    3. Penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun ini seolah lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan. Kebimbangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya
      kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan.
    4. Oleh demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar keputusan ini perlu dinilai dan ditarik semula sehingga parlimen meluluskan Rang UndangUndang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas tahun 2007 (Generational End Game) supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.
    5. Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah Kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.
    6. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya juga akan menyerahkan surat berhubung perkara ini, menyatakan bantahan serta cadangan kepada YAB Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.

    Penulis ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

  • Pemuda UMNO Jempol lapor polis, ahli ditampar pegawai Ketua Bahagian

    Pemuda UMNO Jempol lapor polis, ahli ditampar pegawai Ketua Bahagian

    SATU laporan polis dibuat terhadap seorang pegawai khas Ketua UMNO Bahagian Jempol iaitu Asfaruddin Ramli selepas menampar seorang ahli Pemuda parti itu pada insiden pagi tadi.

    Ketua Pemuda Jempol merangkap Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir membidas tindakan pegawai tersebut yang juga seorang ahli UMNO tersebut kerana bersikap samseng hanya kerana tidak berpuas hati dengan ucapan ahli berkenaan semasa Persidangan UMNO Bahagian Jempol.

    “Kami mendesak pegawai itu dipecat serta merta dan perlu meletakkan jawatan disandang dalam jawatankuasa bahagian.

    “Berstatus pegawai kepada pemimpin bahagian sudah semestinya tindak tanduk akan memberi cerminan tidak baik di mata pengundi di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan dipetik laporan BH.

    Asfaruddin didakwa dalam laporan polis merupakan pegawai khas kepada Ketua Bahagian, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

    Mohd Zaidy menegaskan Pemuda UMNO Jempol akan entiasa mempertahankan kebebasan bersuara ahli akar umbi dan sama sekali menolak politik samseng seperti itu.

    Katanya, sifat terbuka pemimpin nombor satu dan dua UMNO itu wajar dijadikan contoh kerana mereka tidak pernah menekan ahli parti sebaliknya sentiasa menggalakkan ahli akar umbi untuk bersuara serta memberi apa jua pandangan untuk parti.

    “Oleh itu, teruslah bersuara kerana UMNO adalah sebuah parti keramat yang ditubuhkan melalui suara rakyat secara keseluruhannya.

    “Sama-samalah kita menolak sesiapa sahaja di dalam parti yang mendukung amalan politik tidak matang seperti ini demi memastikan UMNO terus kekal menjadi pilihan rakyat dari dulu, kini dan selamanya,” katanya.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan laporan dibuat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PEMUDA UMNO berpendapat tiada sebarang isu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa berdepan dengan situasi banjir kerana kerajaan dilihat sudah bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

    Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perihal pilihan raya juga hanya melibatkan ahli politik.

    Tegas beliau, terdapat sebilangan pihak yang memainkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud.

    “Kerajaan masih ada, yang berkempen bukan pasukan bomba, NADMA, bukan PDRM dan Rela… yang terlibat hanya orang parti politik,” katanya, lapor Astro Awani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

    Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan (caretaker) sedia ada sudah pasti bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah memberikan gambaran yang jelas.

    Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menegaskan, lazimnya, Pemuda UMNO merupakan antara yang terawal turun padang sekiranya berlaku insiden banjir.

    Penglibatan Pemuda UMNO sudah terbukti semasa bencana banjir di Baling, Kedah beberapa bulan lalu, apabila pihaknya antara terawal membantu agensi terlibat.

    Kata Asyraf Wajdi juga, kebiasaannya musim tengkujuh berlaku secara berfasa dan tidak terjadi serentak melibatkan seluruh negara.

  • Pemuda UMNO cadang adakan PRU-15 sebelum musim tengkujuh

    Pemuda UMNO cadang adakan PRU-15 sebelum musim tengkujuh

    KETUA Pemuda UMNO, Datuk Asyaraf Wajdi Dusuki bersetuju supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan semasa musim tengkujuh tahun ini.

    Sebaliknya, beliau dalam laporan Malaysiakini mencadangkan supaya Dewan Rakyat dibubarkan awal Oktober bagi membolehkan PRU15 diadakan pada awal November iaitu sebelum ramalan hujan lebat yang dibuat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

    “Saya juga bersetuju bahawa PRU wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku.

    “Persoalannya bolehkah PRU diadakan sebelum musim banjir?” soalnya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

    Asyraf dalam laporan itu seterusnya mencadangkan Parlimen dibubar pada awal Oktober terutamanya pada 7 sehingga 10 Oktober ini, iaitu tarikh Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan.

    “Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober, maka PRU-15 dapat dan sempat dibuat pada awal November, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat,” katanya.

    Menurut Asraf Wajdi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mampu membuat persiapan yang sewajarnya meskipun mereka hanya mempunyai masa selama empat minggu.

    Sebagai dalil, beliau memberikan contoh semasa PRU14 pada tahun 2018, yang menyaksikan SPR mampu dan boleh menganjurkan pilihan raya dalam masa sebulan.

    “Rekod PRU14 ialah, Parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu).

    “Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR, PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya.

    Tarikh PRU-15 menjadi topik hangat yang sering dikemukakan sejak kebelakangan ini.

    Antara yang paling lantang dan konsisten mendesak supaya PRU15 segera diadakan ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini berkata, selaku pengerusi BN beliau sanggup “meredah banjir untuk berkempen.”

    Pengkritik, bagaimanapun, menyifatkan desakan Zahid sebagai “langkah terdesak” untuk menyelamatkan dirinya daripada pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah, yang dia sedang dibicarakan.

    Mandat kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berakhir selepas pada pertengahan tahun depan.

  • Pemuda UMNO semakin lembik, akar umbi sangat kecewa

    Pemuda UMNO semakin lembik, akar umbi sangat kecewa

    SAYAP Pemuda UMNO di 176 bahagian di seluruh negara menyatakan pendirian yang mengecewakan ramai akar umbi dengan menggesa agar pemilihan parti dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pendirian yang memperlihatkan Pemuda UMNO sebagai ‘harimau tidak bertaring’ itu dinyatakan oleh Setiausahanya, Hasmuni Hassan dalam kenyataan media hari ini.

    Majoriti akar umbi UMNO sangat berharap agar Pemuda UMNO dapat kembali bangkit sebagai ‘ginger group’ atau kumpulan pendesak dalam parti, seperti semas era kegemilangan sayap tersebut di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Seri Harun Idris dahulu.

    Pemuda UMNO sebelum era kepimpinan Khairy Jamaluddin dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berani menyatakan pendiriannya sendiri meskipun berbeza dengan arus perdana parti.

    Sekiranya apa yang dibuat oleh kepimpinan parti adalah betul, mereka sokong. Kalau salah, mereka bantah.

    Sebelum ini, Pemuda UMNO pernah melakukan kesilapan apabila ‘takut’ untuk menyuarakan pandangan yang jujur berhubung pembabitan Presiden parti ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Mungkin, kepimpinan Pemuda UMNO ketika itu khuatir nama mereka tidak disenaraikan sebagai calon pada PRU-14 jika mereka berani membuka mulut.

    Akibatnya, UMNO menerima padah apabila mengalami kekalahan yang memalukan dan terpaksa menjadi pembangkang selama 22 bulan di Parlimen.

    Kini, mereka sedang mengulangi kesilapan yang serupa dan mungkin juga kerana takut nama tidak dicalonkan pada PRU-15.

    Apakah mereka tidak sedar bahawa kepimpinan parti masih belum bebas daripada cengkaman kluster mahkamah?

    Sekiranya UMNO memasuki PRU-15 dengan muka-muka kluster mahkamah sebagai pemimpin tertingginya, episod hitam PRU-14 bakal berulang.

    Rakyat terutamanya generasi muda yang baru kali pertama mengundi pasti menghukum UMNO kerana gagal membersihkan imej parti yang tercemar akibat skandal salah guna kuasa dan rasuah walaupun telah diberi peluang untuk ‘bertaubat’.

    Sebagai sayap yang dekat dengan golongan muda, Pemuda UMNO sepatutnya memahami hakikat ini. Kecuali mereka juga terperangkap dalam ‘sindrom syok sendiri’ lebih-lebih lagi selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Akar umbi berharap agar kepimpinan Pemuda UMNO khususnya Asyraf Wajdi berlaku jujurlah kepada diri sendiri.

    Mereka yang di atas kayangan mungkin tidak memahami betapa peritnya hidup akar umbi di bumi selepas UMNO tidak lagi menjadi kerajaan dahulu.

    Selain dikeji dan dihina, sebahagian akar umbi hidup menderita apabila hilang pekerjaan dan yang menjadi usahawan sukar bernafas jika diketahui ada kaitan dengan UMNO.

    Kali ini, dengarlah suara akar umbi yang mahu melihat UMNO melakukan pembersihan dalaman sebelum PRU-15.

    Mereka mahu melihat muka-muka pemimpin yang bersih dan amanah seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengepalai parti.

    Kembalikanlah era kegemilangan Pemuda UMNO yang berani dan tahan lasak dalam membawa suara akar umbi.