SATU laporan polis dibuat terhadap seorang pegawai khas Ketua UMNO Bahagian Jempol iaitu Asfaruddin Ramli selepas menampar seorang ahli Pemuda parti itu pada insiden pagi tadi.

Ketua Pemuda Jempol merangkap Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir membidas tindakan pegawai tersebut yang juga seorang ahli UMNO tersebut kerana bersikap samseng hanya kerana tidak berpuas hati dengan ucapan ahli berkenaan semasa Persidangan UMNO Bahagian Jempol.

“Kami mendesak pegawai itu dipecat serta merta dan perlu meletakkan jawatan disandang dalam jawatankuasa bahagian.

“Berstatus pegawai kepada pemimpin bahagian sudah semestinya tindak tanduk akan memberi cerminan tidak baik di mata pengundi di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan dipetik laporan BH.

Asfaruddin didakwa dalam laporan polis merupakan pegawai khas kepada Ketua Bahagian, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Mohd Zaidy menegaskan Pemuda UMNO Jempol akan entiasa mempertahankan kebebasan bersuara ahli akar umbi dan sama sekali menolak politik samseng seperti itu.

Katanya, sifat terbuka pemimpin nombor satu dan dua UMNO itu wajar dijadikan contoh kerana mereka tidak pernah menekan ahli parti sebaliknya sentiasa menggalakkan ahli akar umbi untuk bersuara serta memberi apa jua pandangan untuk parti.

“Oleh itu, teruslah bersuara kerana UMNO adalah sebuah parti keramat yang ditubuhkan melalui suara rakyat secara keseluruhannya.

“Sama-samalah kita menolak sesiapa sahaja di dalam parti yang mendukung amalan politik tidak matang seperti ini demi memastikan UMNO terus kekal menjadi pilihan rakyat dari dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan laporan dibuat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here