Tag: Pemuda PN

  • Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

    Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, tampil mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menjemput pelajar tahfiz ke sebuah konsert yang diadakan pada Sabtu lalu.

    Difahamkam anggota parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada satu video TikTok yang memperlihatkan kehadiran sejumlah individu yang dikatakan memakai kopiah atau serban.

    Majlis itu juga dikatakan turut menampilkan hiburan yang dianggap tidak sesuai dengan pelajar terbabit.

    “Kepada pihak yang menjemput anak-anak tahfiz (jika dilihat kepada pakaian berjubah dan berserban) ke konsert KFC semalam, saya mohon sensitiflah sikit.

    “Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan?” soalnya dalam hantaran di Facebook, malam tadi, lapor MalaysiaKini.

    Difahamkan ia berlaku dalam Konsert Kepci Music Fest yang berlangsung di Stadium Malawati di Shah Alam bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC.

    Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan lebih 8,500 penonton membanjiri premis berkenaan bagi menyaksikan persembahan artis seperti Amy Search, Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar dan Bunkface.

    Selain itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan meghadiri konsert berkenaan.

    Malaysiakini setakat ini tidak dapat mengesahkan secara bebas bahawa kumpulan penonton yang dirujuk Ahmad Fadhli itu benar-benar pelajar tahfiz atau sekolah agama.

    Ahmad Fadhli berkata, beliau berasa sedih dan terhiris hati apabila melihat video anak-anak pelajar agama terbabit yang mungkin terkejut dengan suasana di tempat berkenaan.

    “Soal PMX (Anwar) turut sama menonton itu terpulanglah, saya tidak mahu komen, boleh buat penilaian sendiri,” katanya.

    Sementara itu harakahdaily turut mengetengahkan isu berkenaan dengan menyiarkan satu artikel berkaitan.

    Penulisnya, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengkritik keras penganjuran konsert yang didakwa menjemput sekumpulan pelajar-pelajar tahfiz itu.

    Kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia itu, beliau sebagai bapa pelajar tahzif berasa sangat geram dengan apa yang berlaku kerana ia bercanggah dengan nasihat yang diberikan kepadanya sebelum ini.

    Konsert KFC dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Anggap anjuran kerajaan Madani

    Menurut Nurul Islam, antara pesanan yang diterimanya ialah pentingnya persekitaran yang baik dalam membantu anak menghafal.

    “Guru peranan dia dekat sekolah, ibu bapa peranannya dekat rumah. Pemakanan pelajar perlu dijaga, apa yang dilihat dan ditonton juga perlu dijaga.

    “Tetapi apa yang berlaku ni sangat mengecewakan, apabila pelajar tahfiz ini dibawa ke konsert, aku ulang konsert yang penuh nyanyian, joget dan tarian liar,” tulisnya seperti dipetik itu lidah rasmi Pas itu.

    Dalam perkembangan sama pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin turut memberikan respon kurang senang terhadap isu berkenaan apabila ia membabitkan kerajaan.

    Menurutnya, terdapat satu video tersebar menunjukkan agak ramai anak-anak muda yang menari seperti orang sedang mabuk dan mendakwa kelibat seperti Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga kelihatan.

    Dalam sekian banyak komen, kata Wan Ji, semuanya menganggap individu terbabit gagal membentuk imej Islam dalam kerajaan Madani sehingga memberi kesan buruk pada kerajaan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

    “Dalam pada itu pula, turut hadir adalah sebilangan anak-anak muda yang memakai serban. Ramai yang memberi komen bahawa itu adalah anak-anak tahfiz al-Quran yang dijemput hadir dalam program terbabit. Saya tidak tahu, program itu anjuran siapa.

    “Bagaimanapun, saya anggap adalah satu kegilaan dan kejahatan, program seburuk itu dijemput anak-anak tahfiz al-Quran untuk hadir.

    “Sekarang ini, ramai persepsikan bahawa itu adalah program anjuran kerajaan Madani hanya kerana ada individu seiras menteri komunikasi dalam program terbabit,” katanya.

    Wan Ji berkata, memang ada kemungkinan hal itu tidak benar namun baginya, konsep Madani sepatutnya membentuk masyarakat bertamadun dengan mengikut nilai-nilai agama.

    “Program tarian seperti orang mabuk itu bukan sekadar tidak bertamadun, bahkan amat jauh dari nilai Islam,” katanya di Facebook, hari ini.

    Malaysiakini sudah menghubungi pihak penganjur konsert berkenaan dan menunggu respon lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

  • Pemuda PN dakwa wujud pilih kasih isu pemain hoki dan TKM P. Pinang

    Pemuda PN dakwa wujud pilih kasih isu pemain hoki dan TKM P. Pinang

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mendakwa wujud amalan pilih kasih dalam pentadbiran negara sekarang ini apabila seorang pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn dihukum gara-gara didakwa mengeluarkan komen bersifat perkauman.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas bagaimanapun berkata, kenyataan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang mendesak dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam negara dipecahkan tidak pula dikenakan tindakan.

    Menurutnya Hanis Nadiah memberikan komen secara bergurau, malah telah memohon maaf dan memadam ulasannya dalam media sosial, dicop sebagai rasis dan telah digantung daripada menyertai skuad kebangsaan dalam semua acara antarabangsa.

    “Double standard dalam negara! Seorang atlet memberikan komen secara bergurau, dicop rasis dan digantung.

    “Seorang lagi pula, Timbalan Ketua Menteri, mengeluarkan kenyataan menggambarkan orang Melayu ‘terlalu dominan’ dalam perkhidmatan awam, sehingga hari ini masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri.

    “Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Agenda Daily.

    Hanis Nadiah adalah antara pemain yang dianggap terbaik oleh Jurulatih Hoki Negeri Sembilan, K Rajan yang turut membayangkan penyerang kebangsaan itu bukan seorang yang rasis.

    “Saya seorang India, saya akan merasakannya lebih awal jika dia seorang yang bersifat perkauman,” kata Rajan.

    Terdahulu, Hanis Nadiah, 27, pemain kebangsaan didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung konsert AR Rahman di Stadium Nasional yang membayangkan tempat itu pasti berbau.

    Keputusan menggantung pemain negara itu mendapat sokongan pula Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui oleh seorang Menteri DAP.

    Tindakan tersebut diambil dengan pantas tanpa menghiraukan alasan diberikan Hanis Nadiah yang tidak mempunyai niat untuk menguris perasaan mana-mana individu dan kumpulan kaum dalam negara.

    Kelmarin, Ramasamy dalam satu kenyataan semalam, menggesa kerajaan Anwar, melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

    Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

    Ramasamy berkata, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika kerajaan sekarang berada di tampuk kuasa.

    Susulan itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) – parti gabungan bersama DAP dalam Pakatan Harapan (PH) – menyindir Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, kerana cuba menjadi hero kaum India dengan mengeluarkan kenyataan dan mencari publisiti murahan.

    Sementara hari ini pula, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Ramasamy, kerana itu adalah suara hati DAP yang amat alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu.

  • Tubuh segera RCI RM600b, ketepi dulu agenda ekonomi rakyat, sindir Ahmad Fadhli

    Tubuh segera RCI RM600b, ketepi dulu agenda ekonomi rakyat, sindir Ahmad Fadhli

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus mengetepikan dahulu agenda ekonomi rakyat.

    Menurut beliau dalam nada sinis, penubuhan RCI itu tidak boleh dilengahkan lagi dan ia adalah idea paling bagus dikemukakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), setakat ini.

    “Saya sangat-sangat setuju, tubuhkan segera (RCI), jangan berlengah lagi, ketepikan dulu agenda ekonomi rakyat. Kita siasat dulu sehingga akar umbi. Inilah idea paling bagus kerajaan PH-BN setakat ini,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

    Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas kemudiannya menyindir kerjasama PH-BN yang dakwa beliau tidak mahu bercakap soal rasuah kerana akan ‘terkena’ rakan sendiri

    “Nak bercakap soal rasuah, nanti terkena geng sendiri. Soal pembelaan agama dan bangsa, nanti ada yang tak puas hati,” katanya.

    Malah ahi Parlimen Pasir Mas itu turut menyarankan agar bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut dipanggil oleh RCI itu nanti.

    “Jangan lupa, panggil juga Senator Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil yang menyokong penubuhan segera RCI bagi tujuan berkenaan yang membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menjadi Perdana Menteri Kelapan.

    Beliau juga berpendapat laporan polis yang dibuat sebelum ini yang mahu pihak berkuasa menyiasat isu perbelanjaan RM600 bilion itu perlu diteruskan berikutan ia membabitkan satu jumlah yang besar.

    Gesaan sama pernah dibuat Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Ammar Atan yang menyifatkan RCI itu penting supaya jawapan jelas dan tuntas dapat diberikan kepada rakyat, terutama apabila seluruh sistem demokrasi negara, Parlimen ditutup dan kebanyakan perbelanjaan dibuat secara runding terus tanpa semak imbang sewajarnya.

    Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan lebih awal mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat perkara sama, malah satu laporan polis berkaitan isu berkenaan turut dibuat Ahli Parlimen Hulu Langat itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 30 November lalu.

    Kontroversi penggunaan dana kecemasan lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Pengerusi AMANAH Melaka dan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari pada 15 November lalu.

    Adly dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasat kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter sebelum ini turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

    Naib Presiden UMNO itu juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak babit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank.

  • PRU15: Selamat mendesak, kata Pemuda PN

    PRU15: Selamat mendesak, kata Pemuda PN

    KETIKA UMNO dilihat bersemangat untuk menyaksikan Parlimen dibubarkan, Pemuda Perikatan Nasional (PN) dalam reaksinya dilihat sinis dengan tindakan pemimpin ‘rakan’ mereka dalam kerajaan

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak yang bersungguh-sungguh mahukan pilihan raya umum (PRU) diadakan pada tahun ini perlu membuat desakan dengan lebih gigih.

    Setakat ini, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi memberi jaminan yang PRU ke-15 akan diadakan pada tahun ini juga.

    Mentafsir situasi itu, ahli parlimen Pasir Mas dari PAS berkenaan berkata, Ismail Sabri tidak menyatakan bahawa PRU akan diadakan pada 2022 kerana tahu rakyat mungkin berdepan dengan risiko banjir pada hujung tahun.

    Hal itu, kata Ahmad Fadhli, akan menyusahkan orang ramai untuk mengundi.

    “Pihak yang beria-ia mahukan pilihan raya tahun in nampaknya perlu lebih kuat mendesak dan mengasak perdana menteri yang sehingga ke saat ini masih kekal dengan pendirian tidak mengumumkan pilihan raya tahun ini,” katanya.

    Semalam Ismail Sabri menyatakan, tarikh pembubaran parlimen akan diumumkan “tidak lama lagi” bagi memberi laluan kepada PRU yang ditunggu-tunggu sesetengah pihak dalam UMNO.

    Bagaimanapun, dalam ucapan di pelancaran jentera Pemuda BN di Kuala Lumpur itu, Ismail Sabri tidak menyatakan sebarang tarikh pembubaran berkenaan.

    Dapat persetujuan kabinet

    Sebaliknya, kata naib presiden UMNO itu, ia akan dibincangkan dengan lima pemimpin tertinggi parti terbabit.

    “Bila tarikhnya? Saya dengan presiden (UMNO) akan menentukan. Tetapi percayalah, sikit lagi, tak lama lagi,” katanya.

    Untuk rekod beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkali-kali mendesak agar PRU diadakan segera. Namun sebelum ini Ismail Sabri sebaliknya tidak menunjukkan sebarang komitmen ia akan dipenuhi seperti yang diinginkan.

    Kata Ahmad Zahid semalam, BN bersedia menghadapi PRU ke-15 walaupun jika ia berlaku semasa banjir atau cuaca yang tidak mengizinkan.

    Dakwa ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, dia melihat “isyarat jelas” daripada akar umbi yang mahukan PRU diadakan tahun ini.

    “Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut.

    “Tetapi, kalau perdana menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding,” katanya.

    Untuk membolehkan Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mencadangkan pembubaran parlimen, dia perlu terlebih dahulu perlu mendapatkan persetujuan kabinet.

    Ketika ini kabinet Ismail Sabri turut dianggotai wakil dari PN yang ditunjangi Bersatu serta PAS.

    PAS dan Bersatu pula menunjukkan kecenderungan agar PRU itu diadakan lebih lewat daripada apa yang diinginkan Umno.

    “Selamat mendesak,” kata Ahmad Fahdli.

  • PRU-15: Pemuda PN minta 30 peratus orang muda jadi calon

    PRU-15: Pemuda PN minta 30 peratus orang muda jadi calon

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menuntut sekurang-kurangnya 30 peratus golongan muda untuk diangkat sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengerusi Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu penting bagi memberi keyakinan kepada golongan muda, khususnya hampir enam juta pengundi baharu, bahawa PN memiliki penyelesaian untuk segala masalah mereka.

    Beliau berkata, Pemuda PN yakin tindakan gabungan itu mengangkat calon anak muda akan memberi gambaran kepada pengundi muda bahawa parti itu mampu membawa aspirasi mereka apabila menjadi kerajaan.

    “Saya ingin merayu pada semua pimpinan PN untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon anak muda pada PRU-15, yang boleh membawa suara dan aspirasi anak muda dalam kerajaan.

    “Ketika ini, ada 5.8 juta pengundi baharu yang layak mengundi secara automatik, dengan 20 peratus daripadanya berusia 18 tahun hingga 20 tahun, manakala sekitar separuh rakyat Malaysia berusia bawah 30 tahun.

    “Ertinya, anak muda adalah ‘king maker’ pada PRU-15. Jika tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, mana-mana parti pun akan berdepan kesukaran yang cukup besar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PN 2022, di Serdang, hari ini.