Tag: Pemuda MCA

  • Gesa usul gaji timbalan menteri pendidikan ditolak RM10 – Pemuda MCA

    Gesa usul gaji timbalan menteri pendidikan ditolak RM10 – Pemuda MCA

    PEMUDA MCA menggesa ahli Parlimen memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk memotong RM10 daripada gaji Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying kerana didakwa gagal menyediakan jawapan bagi sesi soal jawab lisan hari ini.

    Menurut Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa Wai Hou, pemotongan gaji itu akan menjadi hukuman simbolik kepada ahli parlimen DAP berkenaan, yang dituduhnya sebagai tidak profesional.

    Wa mendakwa pada masa lalu, DAP pernah mengusulkan potongan gaji daripada menteri kabinet.

    “Dengan cara yang sama, pemotongan gaji RM10 simbolik ini harus dikenakan ke atas Hui Ying,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Wa menegaskan menjawab soalan ahli Parlimen di Dewan Rakyat menjadi tugas asasi menteri dan timbalan menteri.

    Katanya, isu dan soalan berkaitan telah disediakan dan diedarkan kepada kementerian dan jabatan kerajaan yang berkaitan terlebih dahulu untuk mendapatkan jawapan, yang disediakan oleh pegawai daripada kementerian dan jabatan kerajaan berkaitan.

    “Oleh itu, tidak dapat dibayangkan malah bersamaan dengan kecuaian untuk mendakwa jabatan kerajaan tidak menyediakan jawapan.

    “Ini juga menunjukkan bahawa timbalan menteri (Lim) tidak biasa dengan operasi dan hal ehwal pelbagai jabatan kerajaan.

    “Rakyat akan merasa tidak munasabah untuk menerima kesilapan ini. Jika menteri dan timbalan menteri tidak mengambil serius tugas asasi mereka, bagaimana rakyat boleh yakin dengan kerajaan ini untuk menguruskan negara kita dengan baik,” soalnya.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon juga tidak melepaskan peluang untuk membidas Lim.

    Mah menyindir Lim, dan menyamakan prestasi parlimennya dengan “seorang pelajar yang datang ke sekolah untuk peperiksaan lisan dan mengakui mereka tidak membuat kerja rumah”.

    Mah menambah: “Mungkin Lim berjaga sampai lewat pada malam sebelumnya dan bergegas ke sini (ke parlimen) dari jamuan di Pulau Pinang, jadi harap maafkan dia.”

    Terdshulu hari ini, timbalan speaker Ramli Mohd Nor menegur Lim atas kegagalannya menyediakan jawapan kepada Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan menteri pendidikan mengenai Program Makanan Tambahan di sekolah.

    Marzuk ingin tahu berapa banyak yang diperuntukkan kerajaan untuk program itu, dan mekanisme yang digunakan untuk memantau kualiti makanan yang dihidangkan di bawah program itu.

    Bagaimanapun, Lim terdiam untuk beberapa ketika sebelum Ramli bertanya sama ada timbalan menteri berkenaan bersedia dengan jawaban sepatutnya atau tidak.

    Kenyataan Lim itu menimbulkan kemarahan ahli parlimen pembangkang, termasuk Ronald Kiandee (PN-Beluran), yang berkata kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di Dewan Rakyat.

    Ramli yang sependapat dengan Ronald kemudian berkata, kejadian seperti itu tidak wajar berlaku.

    Pegawai tugas-tugas khas Lim, Lim Swee Kuan, kemudian memohon maaf atas kesilapan itu, yang menurutnya berlaku di luar kebiasaan.

    Kedua-dua DAP dan MCA adalah parti komponen dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

  • Pemuda MCA Sungai Petani tak setuju semua konsert diharamkan di Kedah

    Pemuda MCA Sungai Petani tak setuju semua konsert diharamkan di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SELAIN menyatakan rasa tidak setuju, Ketua Pemuda MCA Sungai Petani, Ng Kooi Wei turut mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersikap terburu-buru apabila membuat keputusan untuk mengharamkan semua penganjuran konsert di Kedah.

    Katanya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri pernah mengeluarkan kenyataan supaya kelambu tidak dibakar hanya kerana seekor nyamuk dengan apa yang lebih penting adalah, membetulkan kesilapan.

    Merujuk kepada program Muda-Mudi Weekend Fest. yang berlangsung di Balai Seni, Alor Setar baru-baru ini, pihaknya mengharapkan supaya kerajaan negeri menyiasat terlebih dulu dan menetapkan peraturan atau etika penganjuran program yang bakal diadakan di Kedah.

    “Contohnya hal berkaitan lokasi, pengisian, pakaian serta masa aktiviti dijalankan. Bukannya haramkan terus program tersebut tanpa pertimbangan rapi.

    “Selain itu MCA mencadangkan galakkan dan bantuan harus disalurkan kepada pihak penganjur dan golongan muda untuk meningkatkan penglibatan remaja dan belia, melalui program seni budaya, pengembagan bisnes serta cetusan idea keusahawanan muda kepada semua lapisan kaum dan masyarakat di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Menteri Besar, melalui satu kenyataan semalam memaklumkan penganjuran Muda Mudi Weekend Fest yang melibatkan konsert hiburan hingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila, tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

    Menurut Muhammad Sanusi, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan itu menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberi ruang untuk ‘membiak’.

    Begitu pun sehingga kini belum ada penjelasan lanjut dari kerajaan negeri sama ada semua konsert tidak dibenarkan di negeri ini.

    Mengulas lanjut, Kooi Wei turut menggesa Muhammad Sanusi menarik semula kenyataan dibuat semalam selain mengarahkan pihak berkenaan menyampaikan laporan dan cadangan pada masa terdekat.

    “Kepada pemuda di negeri Kedah, MCA menyokong program Muda-Mudi yang kreatif dan berinovasi serta membawa kebaikan kepada masyarakat yang bersesuaian dengan budaya kita ke arah kemajuan dan kemakmuran Malaysia,” katanya.