Oleh RIZQI ZABIDI

SELAIN menyatakan rasa tidak setuju, Ketua Pemuda MCA Sungai Petani, Ng Kooi Wei turut mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersikap terburu-buru apabila membuat keputusan untuk mengharamkan semua penganjuran konsert di Kedah.

Katanya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri pernah mengeluarkan kenyataan supaya kelambu tidak dibakar hanya kerana seekor nyamuk dengan apa yang lebih penting adalah, membetulkan kesilapan.

Merujuk kepada program Muda-Mudi Weekend Fest. yang berlangsung di Balai Seni, Alor Setar baru-baru ini, pihaknya mengharapkan supaya kerajaan negeri menyiasat terlebih dulu dan menetapkan peraturan atau etika penganjuran program yang bakal diadakan di Kedah.

“Contohnya hal berkaitan lokasi, pengisian, pakaian serta masa aktiviti dijalankan. Bukannya haramkan terus program tersebut tanpa pertimbangan rapi.

“Selain itu MCA mencadangkan galakkan dan bantuan harus disalurkan kepada pihak penganjur dan golongan muda untuk meningkatkan penglibatan remaja dan belia, melalui program seni budaya, pengembagan bisnes serta cetusan idea keusahawanan muda kepada semua lapisan kaum dan masyarakat di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Besar, melalui satu kenyataan semalam memaklumkan penganjuran Muda Mudi Weekend Fest yang melibatkan konsert hiburan hingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila, tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

Menurut Muhammad Sanusi, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan itu menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberi ruang untuk ‘membiak’.

Begitu pun sehingga kini belum ada penjelasan lanjut dari kerajaan negeri sama ada semua konsert tidak dibenarkan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Kooi Wei turut menggesa Muhammad Sanusi menarik semula kenyataan dibuat semalam selain mengarahkan pihak berkenaan menyampaikan laporan dan cadangan pada masa terdekat.

“Kepada pemuda di negeri Kedah, MCA menyokong program Muda-Mudi yang kreatif dan berinovasi serta membawa kebaikan kepada masyarakat yang bersesuaian dengan budaya kita ke arah kemajuan dan kemakmuran Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here