Tag: pemandu

  • Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH kereta ditemukan terbakar dalam keadaan mencurigakan apabila pemandunya menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Kampung Tala, Sik Kedah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Proton Saga itu terbabas sendiri di selekoh.

    “Pemeriksaan dijalankan terhadap kereta itu menemukan satu beg plastik terbakar yang disyaki berisi daun ketum seberat kira-kira lima kilogram,” katanya.

    Tambahnya, pemandu kenderaan itu tidak berada di lokasi kejadian.

    “Setakat ini kami masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu jurucakap bomba memaklumkan, kemusnahan kereta itu akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 90 peratus.

    “Kereta itu dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan terbakar. Pemandu tiada di lokasi dan nombor pendaftaran kereta tidak diperolehi.

    “Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki jentera. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 pagi,” katanya.

  • Pemandu, 15 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    Pemandu, 15 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    SERAMAI 15 penumpang termasuk seorang pemandu bas mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

    Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik membabitkan mangsa masing-masing enam lelaki dan 10 wanita.

    Ujar beliau, Komander Operasi JBPM kemudian membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan peralatan perlindungan diri (PPE)  lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

    “Terdapat seramai 16 mangsa di dalam bas dan mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota JBPM setelah tiba di lokasi.

    “Kejadian itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit dan mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh seramai 13 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang dibantu oleh BBP Perai.

    Tambah beliau, kes itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 5.29 pagi.

  • 43 pemandu disaman tak pakai tali pinggang keledar

    43 pemandu disaman tak pakai tali pinggang keledar

    SEBANYAK 43 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang terhadap pemandu kenderaan yang dikesan tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu di Seberang Jaya, semalam.

    Penguatkuasaan itu dilakukan menerusi operasi Ops Tali Pinggang Keledar oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB), JPJ Pulau Pinang.

    JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, penguatkuasaan itu dibuat mengikut Kaedah 4, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 iaitu bagi kesalahan tidak pakai tali pinggang keledar semasa memandu.

    Ujarnya, kajian mendapati tali pinggang keledar berfungsi menghalang pemandu daripada terhentak pada papan pemuka atau cermin depan kereta atau tercampak keluar daripada kenderaan.

    “Situasi itu lazimnya menyebabkan kematian atau kecederaan parah dan terlanggar beg udara yang sedang terbuka dengan pantas, daya yang boleh mencederakan atau membunuh pemandu.

    “Sebagai contoh sekiranya sesebuah kereta bergerak dengan kelajuan 50 km/j (kilometer sejam) dan melanggar objek pegun, kereta akan terhenti tetapi penumpang masih bergerak mengikut arah yang sama pada kelajuan 50 km/j. lnilah yang dinamakan ‘inersia’ sehingga sesuatu kuasa menyebabkan ia terhenti,” katanya.

    Sehubungan itu, JPJ Pulau Pinang menasihatkan pemandu dan pengguna kenderaan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya semasa memandu serta memakai tali pinggang keledar kerana boleh mengurangkan risiko kecederaan parah dan kehilangan nyawa.

  • Pemandu, lima cedera bas kilang ke Singapura terbabas

    Pemandu, lima cedera bas kilang ke Singapura terbabas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH bas kilang yang membawa sembilan penumpang hilang kawalan sebelum melanggar bantuan konkrit jambatan di susur Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Johor Bahru, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan bas berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Assiten Komisioner Rupiah Abd Wahid memberitahu, insiden itu berlaku semasa bas kilang tersebut dalam perjalanan dari Taman Ungku Tun Aminah, SKudai, Johor Bahru ke Singapura.

    Katanya, pemandu bas, 57, bersama lima penumpang dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

    “Sementara empat penumpang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

    Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM10,000 serta boleh dipenjara 12 bulan jika sabit kesalahan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kes tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.

  • Polis buru pemandu MPV lawan arus elak ditahan

    Polis buru pemandu MPV lawan arus elak ditahan

    POLIS sedang memburu seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didapati memandu secara melawan arus dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis, semalam.

    Video kejadian itu yang tular berlaku di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan yang merakamkan kenderaan berkenaan memandu melawan arus sejauh dua kilometer kira-kira pukul 6.30 petang.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis bertindak mengekori kenderaan suspek hingga ke Jalan Tali Air 6 sebelum secara tiba-tiba suspek memandu melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan terus memasuki Jalan Haji Miskan.

    Ujarnya, pemandu MPV itu dipercayai melompat keluar dari kenderaannya sekali gus menyebabkan MPV berkenaan terbabas ke parit di sebelah kiri jalan.

    “Pemandu MPV itu berjaya melarikan diri, namun seorang lelaki di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.

    “Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu MPV terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Chee Khoon berkata, pemeriksaan polis ke atas penumpang berusia 27 tahun itu kemudian menemukan sebanyak 19 peket dadah disyaki jenis syabu seberat 15.5 gram bernilai RM450 di dalam beg sandangnya.

    Ujarnya, suspek yang cedera ringan pada kaki kiri itu didapati mempunyai rekod lampau dadah.

    “Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.Suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

    Tular rakaman video berdurasi 1 minit 2 saat dalam media sosial yang menunjukkan sebuah MPV dipandu secara lawan arus sambil dikejar polis.

    Video itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengecam tindakan pemandu MPV terbabit kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.