Tag: Pemancing

  • Enam pemancing terapung 16 jam di laut akibat bot karam

    Enam pemancing terapung 16 jam di laut akibat bot karam

    RIZQI ZABIDI

    Enam pemancing terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di kedudukan 8.2 batu nautika tenggara Pulau Timun, Langkawi kira-kira pukul 6 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang nelayan kira-kira pukul 8.55 pagi tadi menyatakan terserempak dengan enam individu yang terapung di laut.

    “Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis kemudian mengatur gerak bot PERKASA 1228 ke lokasi kejadian dan mendapati keenam-enam mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan.

    “Semua mangsa seterusnya dipindahkan ke atas bot PERKASA 1228 untuk dibawa balik ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi,” katanya.

    Difahamkan kesemua mangsa berumur lingkungan 34 hingga 70 tahun itu dalam perjalanan pulang ke jeti di Kuala Perlis selepas keluar memancing.

    Bagaimanapun bot mangsa dipercayai dimasuki air hingga menyebabkan kenderaan itu karam akibat.

    Beliau menambah, ketika diselamatkan semua mangsa memakai jaket keselamatan dan berpaut pada bumbung bot yang timbul setelah keseluruhan badan bot telah tenggelam.

    “Seorang mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha untuk pemeriksaan lanjut akibat keletihan setelah berapung hampir 16 jam.

    “Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),” katanya.

    Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-9662750.

  • [VIDEO] Pemancing rakam ular sawa raksasa

    [VIDEO] Pemancing rakam ular sawa raksasa

    VIDEO seekor ular sawa raksasa sedang menyusur di sebuah kebun penduduk kampung sebelum menuju ke hutan tular di media sosial.

    Lapor Tribunnews, kejadian itu dirakam di Desa Mekarsari dekat mukim Kintap, didaerah Tanahlaut Kalimantan Selatan, baru-baru ini.

    Ular sawa sepanjang antara tujuh hingga lapan meter itu dikenalpasti melalui warna kulit ular bercorak kuning keputihan dan hitam.

    Ketua Kampung Desa Mekarsari, Wintono mengesahkan penemuan reptilia itu di kawasan kampungnya.

    “Lokasinya itu di sekitar lombong. Jarak dengan rumah penduduk kira-kira satu kilometer. Ular berkenaan panjang sekitar lapan meter,” katanya.

    Wintono berkata, video berkenaan diambil oleh seorang pemancing dari Sungaidanau, daerah Tanahbumbu dua minggu lalu.

    Wintono berkata, pemancing itu hanya sempat mengambil video berkenaan selama beberapa saat kerana bimbangkan keselamatan.

    Ujarnya, ini bukan kali pertama penduduk kampung menemui ular raksasa, malah mereka pernah melihatnya ketika musim banjir.

    “Sebelum ini ketika banjir di kebun, penduduk pernah melihat ular sawa yang besar.

    “Mungkin kerana banjir sedalam satu meter, ular itu mencari tempat lain yang lebih selesa,” katanya.

    Wintono berkata, setakat ini tiada kejadian kehilangan haiwan ternakan disebabkan kehadiran pemangsa itu di kawasan berkenaan.

    “Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik saja,” katanya.

  • Bomba selamatkan tujuh pemancing terperangkap bawah jambatan

    Bomba selamatkan tujuh pemancing terperangkap bawah jambatan

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan tujuh pemancing yang terperangkap bawah jambatan di Kampung Pasir Senai, Kulai, semalam.

    Komander Operasi dari Bandar Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syafiq Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.38 petang.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian didapati tujuh pemancing berumur antara 18 hingga 28 tahun terperangkap di bawah jambatan ketika memancing.

    “Difahamkan semasa memancing air mulai naik secara tiba-tiba. Bomba menggunakan teknik sistem tali dan alat penyelamat Personal Floating Device (PFD) dalam operasi menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, semua pemancing tersebut berjaya diselamatkan dan tidak berlaku sebarang kecederaan, operasi tamat pada pukul 6,32 petang.