Tag: peluru berpandu

  • Tertembak peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

    Tertembak peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

    KERAJAAN India memecat tiga pegawai tenteranya ekoran insiden melancarkan peluru berpandu ke Pakistan pada Mac.

    Perkhidmatan mereka ditamatkan berkuat kuasa serta-merta, menurut Tentera Udara India.

    Siasatan mendapati berlakunya pengabaian terhadap prosedur operasi standard oleh tiga pegawai berkenaan sehingga membawa kepada insiden menembak peluru berpandu dengan tidak sengaja, menurut pihak tentera dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Peluru berpandu BrahMos, ialah sistem senjata yang dibangunkan Rusia dan India, terhempas berhampiran bandar Mian Channu di wilayah Punjab pada 9 Mac.

    Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan dan Kementerian Pertahanan India pada ketika itu mengeluarkan kenyataan mengenai berlakunya “kepincangan teknikal”.

    Pakistan membantah keras insiden itu dan menyifatkannya sebagai “pencabulan tanpa provokasi” terhadap ruang udaranya.- BERNAMA

  • Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

    Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

    KOREA Utara dilaporkan melancarkan peluru berpandu balistik ke perairan timur, kata Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan pada Selasa, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut JCS, tentera Korea Selatan mengesan satu peluru berpandu balistik yang tidak pasti jenisnya dilancarkan Korea Utara kira-kira 10.17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) ke arah Laut Timur dari Sinpo, provinsi Hamgyong Selatan.

    Pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang menganalisis butiran lanjut mengenai perkara itu.

    Menurut pejabat presiden Korea Selatan, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara akan diadakan susulan pelancaran peluru berpandu berkenaan.

    Pelancaran peluru berpandu itu adalah yang ke-8 dilakukan Korea Utara tahun ini.

    Sementara itu, Korea Utara dilaporkan berkata, pada 28 Sept pihaknya telah menguji peluru berpandu hipersonik Hwasong-8 yang baharu dibangunkan selepas melancarkan dua peluru berpandu balistik ke Laut Timur pada 15 Sept.

    Pada 30 Sept Korea Utara juga dilaporkan menguji peluru berpandu antipesawat yang baharu.

    Sementara itu, Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi berkata, pelancaran peluru berpandu yang berterusan oleh Korea Utara menimbulkan ancaman serius kepada komuniti antarabangsa termasuk Jepun.

    “Sejak Mei 2019, Korea Utara sering melakukan ujian peluru berpandu. Tujuannya jelas iaitu untuk meningkatkan teknologi peluru berpandu.

    “Ia boleh menimbulkan ancaman serius kepada seluruh masyarakat antarabangsa termasuk Jepun,” kata Kishi pada sidang akhbar, lapor Sputnik.

    Beliau berkata Jepun membantah tindakan Korea Utara itu. – BERNAMA

  • Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

    Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

    KOREA Utara mengumumkan kejayaannya melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang baharu hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Agensi Berita Korea Utara (KCNA) hari ini.

    Peluru berpandu itu terbang selama lebih 7,500 saat atau kira-kira dua jam di atas ruang udara Korea Utara dan mengenai sasaran pada jarak 1,500 kilometer.

    Bagaimanapun, ujian peluru berpandu jenis cruise itu dipercayai diadakan tanpa kehadiran pemimpin Kim Jong-un dan dipercayai bertujuan untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan negara itu tanpa melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Korea Utara dilarang menggunakan teknologi balistik di bawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB.

    Bagaimanapun, peluru berpandu cruise tidak dikenakan sekatan kerana dianggap kurang memberi ancaman berbanding balistik.

    Peluru berpandu “dengan kelajuan 7,580 saat itu mampu mengenai sasaran sejauh 1,500 kilometer,” lapor KCNA.

    Ujian peluru berpandu itu adalah yang ketiga untuk tahun ini.

    Pada 21 Mac, Korea Utara menyasarkan dua peluru berpandunya ke pantai barat, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).

    Empat hari kemudian, dua peluru berpandu balistik disasarkan ke Laut Timur, dipercayai versi yang ditambah baik dari jenis KN-23 Iskander.