Tag: pelitup muka

  • Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    PEMAKAIAN pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

    Beliau dalam kenyataan hari ini berkata negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.

    Katanya Jakim atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah mengenai SOP pemakaian pelitup muka bagi jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau.

    “Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa maka Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri sekiranya mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid serta surau,” kata Hakimah.

    Semalam, Mohd Na’im dilaporkan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Hakimah dan Luqman bagi melihat keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh jemaah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.

    Mohd Na’im berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan atau menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika solat Aidilfitri sebagaimana dilakukan Perlis.

    Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID akhir-akhir ini. – BERNAMA

  • Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dicepatkan – SPR

    Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dicepatkan – SPR

    INDIVIDU positif COVID-19 yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  akan diasingkan daripada pengundi lain bagi mengelak risiko penularan.

    Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Dr Azmi Sharom berkata selain itu SPR juga akan memastikan proses mengundi bagi pengundi positif COVID-19 di pusat pengundian di seluruh negara, akan dilakukan dengan cepat.

    Beliau berkata mereka yang positif perlu memaklumkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi. 

    “Mereka (KKM) akan asingkan pengundi positif dan anda akan undi dengan cepat dan kita juga akan asingkan anda daripada pengundi lain,” katanya mengulas mengenai proses mengundi untuk individu positif COVID-19 pada hari undi awal hari ini dan pengundian PRU15 pada 19 Nov.

    Beliau yang ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini berkata proses undi awal di tempat itu berjalan dengan lancar.

    “Semua nampak berjalan lancar jadi ia petanda yang baik, ramai orang keluar, kita akan buka (pusat undi awal) sampai pukul 5 petang…harap semua akan ok,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata seorang anggotanya disahkan positif COVID-19 dan telah diarahkan mengundi pada sebelah petang. 

    “Kita telah jelaskan untuk datang petang kerana kalau waktu pagi agak sesak,” katanya menambah proses undi awal di IPD Putrajaya ketika ini berjalan lancar.

    Seramai 1,386 pengundi awal Parlimen Putrajaya terdiri daripada anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian di IPD Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini bermula 8 pagi hari ini.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

    Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pengundi positif COVID-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing. – BERNAMA

  • Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    TIADA lagi saman dikeluarkan terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam susulan pengumuman baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu yang telah berkuat kuasa minggu lepas.

    “Kerajaan tidak kenakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tidak akan saman sesiapa lagi.

    “Rakyat sudah biasa dan faham tentang kesihatan awam ini dan hampir kepada kehidupan seperti biasa malah sosial dan ekonomi juga telah dibuka dan perkumpulan sudah dibenarkan.

    “Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom COVID-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian pada sidang media sempena Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) yang turut dihadiri Ahli Pemegang Amanah yayasan itu Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad di sini hari ini.

    Dr. Noor Azmi berkata orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

    Pada 7 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

    Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik COVID-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

    Menurutnya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

    “Kita memasuki fasa peralihan ke endemik sebelum ini disebabkan masih ada kes COVID-19 yang dilaporkan dan ada perkara kita masih kena jaga dan kawal,” katanya.- BERNAMA

  • Pelitup muka bukan perubatan mesti dapatkan perakuan SIRIM

    Pelitup muka bukan perubatan mesti dapatkan perakuan SIRIM

    BERKUAT kuasa 4 Julai depan, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, hari ini.

    Menurut KPDNHEP, pewartaan tersebut bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan menerusi perintah itu.

    “Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

    “Penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan,” menurut kementerian itu.

    KPDNHEP berkata, pewartaan berlandaskan prinsip semangat Keluarga Malaysia itu dapat menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

    Justeru kementerian berharap dapat mengatasi isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti di pasaran Malaysia dengan adanya perintah terbabit.

    Kegagalan mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan mana-mana syarikat dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

    Bagi individu pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

    KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

    Oleh: Bernama

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memantau penjualan pelitup muka tiruan termasuk secara dalam talian bagi memastikan tidak berleluasa di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata langkah itu perlu bagi membendung penjualan pelitup muka tiruan yang boleh membahayakan pemakainya kerana boleh terdedah terhadap penularan COVID-19.

    “Orang ramai boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas meninjau program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Hua di Tanjung Piandang di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai pendedahan penjualan pelitup muka tiruan berkualiti rendah di pasaran.

    Abdul Yunus berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai penjualan pelitup muka tiruan di negeri ini.

    Difahamkan, pelitup muka berkualiti rendah itu mengakibatkan pengguna mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan menyebabkan wajah ditumbuhi jerawat selepas menggunakannya.

    Sementara itu, mengenai program MOVAK berkenaan, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau berkata seramai 300 warga emas, orang kurang upaya serta anggota bomba sukarela menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata program yang dimulakan sejak awal bulan ini di kawasan Bota dan dijangka berakhir hujung bulan ini bertujuan menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membolehkan 80 peratus rakyat negara ini divaksinasi.- BERNAMA

  • Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

    Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

    TINDAKAN seorang komander Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bercakap kepada rekrut kumpulan Latihan Asas Tentera (BMT) dekat stesen MRT Pasir Ris tanpa memakai pelitup muka dengan betul mengundang padah apabila dia bakal dikenakan tindakan disiplin.

    Jurucakap Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, satu siasatan oleh SAF mendapati komander berkenaan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat yang telah ditetapkan.

    “Langkah-langkah pengurusan selamat adalah penting bagi memastikan latihan dan operasi SAF dapat dijalankan dengan selamat dan para komando kami harus menunjukkan contoh positif serta melaksanakan peraturan itu untuk melindungi diri mereka serta para pelatih,” kata MINDEF dalam satu kenyataan, semalam.

    Dalam satu video yang tular di Facebook, seorang lelaki berpakaian kemeja-t putih dilihat bercakap kepada sekumpulan rekrut SAF dengan pelitupnya di bawah dagunya sambil dia memegang minuman.

    Gambar-gambar lain menunjukkan lelaki itu sedang merokok di kawasan tersebut.

    Singapura semalam melaporkan 136 kes jangkitan baharu tempatan Covid-19.

    “Untuk mengekalkan tahap kesediaan operasi dan keselamatan latihan dalam sekitaran endemik Covid-19, SAF melaksanakan “langkah-langkah selamat, praktikal dan mampan,” kata MINDEF, bulan lalu.

    Ini termasuk “strategi serampang tiga mata” iaitu vaksinasi, ujian dan proses pengawasan lebih baik serta operasi berkumpulan.

  • AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    AS minta rakyat lengkap divaksinasi pakai pelitup muka di tempat tertutup

    RAKYAT Amerika Syarikat (AS) yang sudah divaksin sepenuhnya digesa memakai pelitup muka semasa berada di tempat tertutup di negeri-negeri yang mencatatkan penularan jangkitan dengan banyak, kata pihak berkuasa kesihatan AS, semalam.

    Agensi berita Reuters yang memetik panduan dikeluarkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) AS turut mencadangkan pemakaian pelitup muka ke atas semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah tanpa mengira mereka sudah divaksin atau sebaliknya.

    Jangkitan Covid-19 didapati sedang meningkat di AS berikutan penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit atau merangkumi lebih 80 peratus kes Covid-19 di Amerika.

    Presiden AS, Joe Biden berkata, peningkatan vaksinasi dan pemakaian pelitup muka akan membantu Amerika Syarikat mengelak perintah berkurung termasuk penutupan sekolah akibat pandemik itu pada 2020.

    “Kita tidak akan kembali kepada situasi itu (perintah berkurung),” kata Biden.

    Menurut CDC, 63.4 peratus daerah di Amerika menunjukkan kadar peningkatan jangkitan Covid-19, cukup untuk mewajibkan penduduk untuk memakai pelitup muka di tempat tertutup dan dasar itu patut diteruskan dengan segera.

    Manhattan, Los Angeles dan San Francisco memenuhi kriteria kepada pemakaian pelitup muka termasuk bagi seluruh negeri Florida kecuali Chicago dan Detroit.

    Presiden Persekutuan Guru Amerika, Randi Weingarten memuji panduan baharu CDC itu dengan menyifatkannya sebagai langkah berwaspada perlu sehingga kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh divaksin ketika lebih banyak remaja berusia 12 tahun ke atas divaksinasi.

    Panduan CDC untuk sekolah sebelum ini hanya meminta mereka yang belum divaksin agar memakai pelitup muka.

    Bagaimanapun, cadangan terbaharu CDC itu tidak digazetkan dan kebanyakan rakyat Amerika terutamanya di negeri dikuasai Parti Republikan mungkin memilih tidak mengikuti panduan berkenaan.

    Sekurang-kurangnya lapan buah negeri melarang sekolah daripada mewajibkan pemakaian pelitup muka.

    Gabenor Arizona seorang ahli Parti Republikan, Doug Ducey berkata, Arizona tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka dan perkara itu telah diluluskan dan tidak akan diubah

    AS mendahului negara-negara dunia dari segi purata jangkitan baharu kes Covid-19 setiap hari dengan purata tujuh hari bagi kes baharu menunjukkan peningkatan mendadak kepad 57,126 kes.