Tag: pelantikan

  • Pelantikan Farhash burukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia

    Pelantikan Farhash burukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia

    PELANTIKAN Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd adalah bertentangan dengan tata kelola yang baik dan memburukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia.

    Berikut kenyataan penuh Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berhubung pelantikan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang berkuat kuasa, semalam.

    Oleh MEJAR JENERAL (B) DATUK KHLIR MOHD NOR

    KAMI merujuk kepada perlantikan Farhash Wafa Salvador, bekas setiausa politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi rantaian 7-Eleven kepunyaan Vincent Tan serta perlantikannya minggu lepas juga sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity.

    Kesemua ini berlaku dalam masa sebulan lebih sahaja setelah Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Ianya adalah pengetahuan umum bahawa Farhash adalah sekutu rapat Anwar Ibrahim dan juga bekas setiausaha politik beliau.

    Perlantikan Farhash untuk jawatan-jawatan besar ini sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim diangkat ke Pejabat Perdana Menteri adalah suatu yang bertentangan dengan prinsip tata-kelola yang baik didalam negara ini, dan adalah suatu perkara yang jijik dan dipandang serong. Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan untuk tata-kelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara? Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda “reformasi” yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

    Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik. Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini.

    Paling penting, apakah Anwar selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, akan memberitahu rakyat jika ada lagi perlantikan seperti ini, samada melibatkan Farhash atau sekutu-sekutu rapat Anwar yang lain, yang bakal diumumkan?

    Penulis adalah Ahli Parlimen Ketereh

  • Bekas PAT dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia

    Bekas PAT dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia

    BEKAS Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Julai lepas.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan Zulkifeli itu bagi menggantikan Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamad yang bersara pada 30 Jun lepas.

    “Beliau mempunyai pengalaman lebih dari 44 tahun dalam bidang perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan serta menggalas pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Annuar berkata beliau yakin, melalui pengalaman yang luas serta kepakaran dalam pelbagai portfolio, pelantikan Zulkifeli ke jawatan itu tepat pada masanya dan selaras dengan hala tuju negara yang sedang melakar perjalanan ke arah pendigitalan bagi mencapai status ekonomi digital dan berdaya saing.

    “Semoga pelantikan ini akan terus memacu CyberSecurity Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

    Zulkifeli pernah memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat ke-23 pada 21 Mei 2010 seterusnya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-18 pada 15 Jun 2011 sebelum bersara pada 14 Jun 2017.

    Annuar berkata sumbangan beliau yang begitu signifikan dalam bidang keselamatan telah mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018.

    Katanya Zulkifeli juga merupakan pemacu utama pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara 2017, penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 serta terlibat sepenuhnya dalam pembentukan Agensi Keselamatan Siber Nasional (NASCA).- BERNAMA

  • Lihat pelantikan Muhyiddin dari sudut positif

    Lihat pelantikan Muhyiddin dari sudut positif

    RIZQI ZABIDI

    PELANTIKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri, perlu dilihat daripada sudut positif.

    Malah menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, langkah tersebut merupakan hak mutlak Perdana Menteri yang perlu dihormati.

    Dr. Ismail Abd. Muttalib

    “Pertikaian mengenai pelantikan itu bagi saya perkara biasa. Kadang-kadang di negara ini lagi banyak orang pertikai daripada mereka yang tidak pertikai.

    “Dulu saya cakap sokong kerajaan pun ramai yang pertikai. Ini perkara biasa tetapi saya fikir, kita perlu sentiasa berfikiran positif daripada terlalu memandang aspek negatif,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di sini, hari ini.

    Dalam sesi lawatan kerja itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada para pegawai dan anggota yang terliba dalam misi mencari dan menyelamat tragedi kepala air yang berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

    Mengulas mengenai kunjungannya ke rumah keluarga arwah Muhammad Adib Mohd. Kassim sebelum itu, Ismail berkata beliau bertanya khabar kepada keluarga wira negara itu.

    “Kami menganggap keluarga Muhammad Adib ini sebagai sebahagian daripada keluarga besar bomba. Sebab itu kami terus mahu mendampingi keluarga ini.

    “Saya juga pernah kehilangan anak remaja yang masih menuntut di tahun tiga di universiti, dan tahu betapa sukarnya untuk melupakan perkara itu. Mengenai kes melibatkan beliau, itu di bawah bidang kuasa polis dan saya tak boleh komen,” katanya.

  • Pelantikan Ismail Sabri redakan suhu politik negara

    Pelantikan Ismail Sabri redakan suhu politik negara

    MOHD LAZIM ENDUT

    PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan diharap mampu meredakan suhu politik negara.

    Justeru, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meminta semua pemimpin parti politik agar berganding bahu, bekerjasama dan bersatu hati bagi memulihkan semula negara.

    Apa yang penting katanya, buat masa sekarang semua barisan kepimpinan parti politik perlu memberi keutamaan kepada agenda memulihkan negara dari pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat.

    Menurut beliau, pelantikan Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri ke-9 itu seharusnya menamatkan apa juga spekulasi berhubung situasi politik negara.

    Katanya, kerajaan negeri Terengganu menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik di negara ini.

    “Kerajaan negeri juga menjunjung kasih atas perkenan baginda melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah bagi melaksanakan tanggungjawab yang mencabar ini.

    “Semoga Ismail Sabri diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan juga bijaksana.

    “Kita berharap dengan pelantikan tampuk kepimpinan baharu ini dapat memberi fokus terhadap agenda menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat,” ujar beliau.

  • Hormat pelantikan Ismail Sabri sebagai PM – Pas

    Hormat pelantikan Ismail Sabri sebagai PM – Pas

    PAS menyeru semua pemimpin dan rakyat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan Naib Presiden UMNO itu membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

    Menurutnya, parti itu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.