Tag: Pelan Pemulihan Negara

  • Pelan Pemulihan Negara 2.0 dirangka – Muhyiddin

    Pelan Pemulihan Negara 2.0 dirangka – Muhyiddin

    PELAN Pemulihan Negara 2.0 akan dirangka secara komprehensif dan inklusif untuk memastikan pemulihan seterusnya dan secara menyeluruh, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata satu pasukan kerja akan dibentuk bagi meneliti secara mendalam, tentang sektor mana yang boleh cepat dipulihkan dan sektor mana yang mengambil masa panjang.

    “Pelan 2.0 itu penting kerana jika dibiarkan sektor dibiarkan pulih secara semula jadi, ia akan mengambil masa bertahun-tahun.

    “Bila ada pelan 2.0, akan jelas MPN boleh buat untuk membantu sektor besar dan kecil dapat dipulihkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya hari ini.

    Muhyiddin berkata pasukan kerja pelan pemulihan 2.0 juga akan mengemukakan cadangan serta memperhalusi langkah menangani kes COVID-19, jika dikesan meningkat kerana kerajaan telah berjanji tidak akan kembali kepada cara lama iaitu ‘lockdown’ untuk menangani kes COVID-19. – BERNAMA

  • Rakyat Malaysia boleh tunai umrah mulai 18 Okt

    Rakyat Malaysia boleh tunai umrah mulai 18 Okt

    UMAT Islam di Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan umrah di tanah suci Mekah mulai 18 Oktober ini.

    Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini.

    “Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September 2021 diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober 2021.

    “Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini
    berkuat kuasa 18 Oktober 2021,” katanya.

    Beliau turut mengumumkan kelonggaran SOP lain seperti yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan:

    • Operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021.
    • Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)
      bermula esok, 16 Oktober 2021.
    • Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.
      I. Tempoh kuarantin 7 hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap,
      II. Tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada/tidak lengkap vaksin.
    • Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat juga berkuat kuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.
      I. Tempoh kuarantin 7 hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin,
      II. Tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada/tidak lengkap divaksin.
    • Pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti seperti berikut berkuat kuasa 17 Oktober 2021:
      I. 80% kapasiti bagi Fasa 3 dan;
      II. 100% kapasiti bagi Fasa 4.
    • Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri-negeri PPN Fasa 3 secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap
      divaksin berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dengan syarat-syarat seperti berikut;
      • Melaksanakan ujian saringan COVID-19 (pre-event test) melalui kaedah
      saliva test atau RTK-Antigen,
      • Mematuhi penjarakan fizikal
      • Memakai pelitup muka
      • Kapasiti 50% mengikut ruang

    Selain itu, Perdana Menteri menambah, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berikut berkuat kuasa 18 Oktober ini:
    • Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah daripada Fasa 2 kepada Fasa 3.
    • Melaka dan Lembah Klang (WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur, Selangor) daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.

    “Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

    “Dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri yang dinyatakan, negara Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3.

    “SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my,” jelasnya.

    Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti iaitu:
    • Pembesar Negara
    • Menteri
    • Timbalan Menteri
    • Menteri Besar
    • Ketua Menteri
    • Exco Kerajaan Negeri
    • Ahli-ahli Parlimen
    • Pegawai-pegawai Kerajaan

    Menurut beliau, pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dan bakal diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat.

    Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah:
    • Mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama
    dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan.
    • Menjalani ujian PCR 3 hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
    • Menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

    “Syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja. Syarat ini juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin,” ujarnya.

  • MASA tawar RM10,000 geran penyelidikan PPN

    MASA tawar RM10,000 geran penyelidikan PPN

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menawarkan geran sehingga RM10,000 bagi para penyelidik dan ahli akademik dari universiti dan institusi penyelidikan yang berminat untuk menyertai Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP).

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd Amin berkata, di bawah program tersebut, mereka yang berminat boleh mengemukakan kertas cadangan yang memberi pandangan membina terhadap proses Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan untuk membawa Malaysia dan rakyatnya keluar dari kemelut pandemik COVID-19.

    Menurut beliau, cadangan-cadangan mereka mesti selari dengan bidang-bidang penyelidikan yang diberi tumpuan oleh MASA iaitu ekonomi, sosial dan pembangunan mapan.

    “Sehingga RM10,000 dalam bentuk geran ditawarkan bagi setiap kertas cadangan penyelidikan.

    “Pemohon-pemohon yang berjaya juga akan dibenarkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan atau kertas dasar mereka dalam jurnal-jurnal terkemuka atau penerbitan berprestij,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Azril menambah, semua kertas cadangan mesti dihantar sebelum atau pada 29 Oktober ini melalui e-mel kepada [email protected].

    Mereka yang berminat boleh mengunjungi laman sesawang badan pemikir bebas itu di www.institutmasa.com atau menghubungi Mohd Noor Musa di talian 018-2072122.

  • Terengganu tangguh peralihan fasa tiga PPN

    Terengganu tangguh peralihan fasa tiga PPN

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    IMPIAN warga Terengganu untuk menikmati peralihan ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal bulan ini tidak menjadi kenyataan, apabila ia terpaksa ditangguhkan selewat-lewatnya hujung September depan.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, penangguhan itu disebabkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 masih lagi tinggi iaitu kira-kira 60 peratus.

    Katanya, dari segi pengambilan vaksin sebenarnya sudah melepasi untuk fasa tiga cuma kekurangan ketika ini adalah bilangan katil ICU yang membataskan hasrat untuk membolehkan peralihan tersebut.

    “Namun begitu, kita menjangkakan peralihan ke fasa tiga akan menjadi kenyataan selewat-lewatnya pada akhir bulan September,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Misi Kebajikan Bersamamu di Dewan Sivik Buluh Gading, Manir, hari ini.

    Menurut Ahmad Samsuri, berdasarkan syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), kebenaran peralihan fasa memerlukan maksimum 50 peratus kadar penggunaan katil ICU.

    Ketika ini hanya Perlis, Sarawak dan terbaharu Negeri Sembilan sudah beralih ke fasa tiga manakala Labuan pula sudah berada pada fasa fmpat PPN.

  • Negeri Sembilan beralih Fasa 2 PPN, Labuan Fasa 4

    Negeri Sembilan beralih Fasa 2 PPN, Labuan Fasa 4

    NEGERI Sembilan akan beralih memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Labuan ke Fasa 4 mulai 26 Ogos ini.

    Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurut beliau, bagi Negeri Sembilan, keadaan COVID-19 bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad unit rawatan rapi (ICU) daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

    “Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos.

    “Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya.

    Antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan adalah sama seperti negeri-negeri lain yang telah beralih kepada Fasa 2 berdasarkan PPN adalah seperti berikut:

    1) Pergerakan rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.

    2) Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya telah lengkap 2 dos vaksin.

    3) Ibu bapa/ penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa, dengan syarat kedua ibu bapa/ penjaga mestilah lengkap dua dos vaksin.

    4) Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa agama negeri. Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

    5) Hanya pelanggan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk makan di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.

    6) Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib telah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay.

    Ismail Sabri memberitahu, bagi Labuan pula, Wilayah Persekutuan itu telah mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

    Beliau menambah, perkara itu disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian di Labuan yang telah menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

    “Malah, kadar penggunaan katil di ICU di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0 peratus) berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya,” jelasnya.

    Antara kelonggaran yang akan dinikmati penduduk di Labuan dengan peralihan kepada Fasa 4 adalah seperti berikut:

    1) Semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

    2) Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

    3) Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

    Maklumat mengenai SOP yang lebih terperinci boleh didapati di laman sesawang www.mkn.gov.my

    Ismail Sabri turut mengingatkan rakyat agar terus mematuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri demi menjaga keselamatan diri dan keluarga.

  • Boleh makan dalam premis di negeri Fasa 1 PPN

    Boleh makan dalam premis di negeri Fasa 1 PPN

    SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju membenarkan individu yang menerima dos vaksin lengkap di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk makan di dalam premis menjual makanan.

    Kebenaran itu adalah salah satu kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi berkuat kuasa mulai esok yang diumumkan oleh Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pada masa yang sama, beliau menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

    “Risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:


    a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan


    b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

    Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Khas MKN secara maya, hari ini. – Gambar: Facebook

    Muhyiddin menambah, pemilik premis kedai makan termasuk restoran atau kafe di rumah kelab perlu memastikan mereka yang memasuki premis untuk makan mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang membuktikan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

    Beliau memberitahu, bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk makan di premis kedai makan, pastikan anak-anak mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

    Selain itu, Muhyiddin berkata, Sidang Khas MKN turut membenarkan operasi pasar malam dan pasar minggu adalah dibenarkan.

    “Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” jelasnya.

    Menurut beliau, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di kawasan terbuka juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

    “Aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

    Walau bagaimanapun, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

    “Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

    “Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat,” jelasnya.

    Beliau turut menegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

    “Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, Kementerian Kesihatan terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP,” katanya.

    Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru diumumkan Muhyiddin itu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.