Tag: pelaburan

  • Arul Kanda, Mohd Irwan gagal batal saman RM33.5 bilion 1MDB

    Arul Kanda, Mohd Irwan gagal batal saman RM33.5 bilion 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk mengetepikan saman US$6.59 bilion (RM33.5 bilion) yang difailkan 1MDB terhadap mereka.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam keputusannya terhadap permohonan kedua-dua mereka berkata saman itu perlu melalui perbicaraan penuh kerana makkamah mahu keterangan penuh daripada saksi-saksi.

    “Perkara ini tidak boleh diputuskan dengan afidavit dan ini bukannya kes yang boleh diputuskan melalui ringkasan. Secara jelas, pertuduhan terhadap penipuan dan konspirasi tidak boleh diselesaikan menerusi suatu pendekatan mudah, maka, saya mengekalkan status quo dan saman ini akan melalui perbicaraan penuh.

    Ini bukan satu perkara yang jelas untuk mengetepikannya tetapi memerlukan mahkamah ini untuk menyiasatnya menerusi perbicaraan penuh. Keadilan akan datang kepada pihak yang benar dan akan melalui perjalanan yang lebih panjang untuk mencapainya, “kata Raja Ahmad.

    Beliau kemudian memerintahkan defendan (Arul Kanda dan Mohd Irwan) untuk masing-masing membayar kos RM10,000 kepada plaintif dan menetapkan 14 Sept ini untuk pengurusan kes.

    Peguam Datuk Lim Chee Wee hadir mewakili 1MDB sementara Sanjay Mohan mewakili Arul Kanda dan Lavinia Kumaraendran mewakili Mohd Irwan.

    Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Feb 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky Ltd serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1.83 bilion dan US$3.5 bilion.

    Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung 1MDB hasil penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

    Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap mereka atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion, yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

    Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

    Sehubungan itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion bagi pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – BERNAMA

  • Kedah terima pelaburan RM5 bilion

    Kedah terima pelaburan RM5 bilion

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH menerima pelaburan komited berjumlah RM5 bilion setakat suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
     
    Menurut beliau, Kedah turut mencapai prestasi ekonomi memberangsangkan apabila merekod pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.2 peratus pada 2021 dan pertumbuhan yang mengukuh bagi tahun lalu.
     
    Katanya, pencapaian itu seiring dengan KDNK nasional yang telah mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus.

    “Ini merupakan manifestasi daripada usaha berterusan kerajaan Tuanku melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif yang didasari Pelan Pembangunan Kedah 2035.
     
    “Kejayaan yang dicapai ini diterjemahkan, antara lainnya melalui keyakinan komuniti industri untuk terus melabur di negeri ini yang mencatat jumlah pelaburan melebihi sasaran RM10 bilion setahun untuk dua tahun berturut-turut,” katanya.
     
    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit hari ini.


    Tambah Muhammad Sanusi, hasil pelaburan puluhan bilion ringgit itu bakal menjana 19,568 peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjanjikan peningkatan hasil tambahan kepada kerajaan negeri.
     
    “Momentum pelaburan yang berkembang pesat ini akan diteruskan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Delapan SBEZ, Kedah Rubber City, Pembangunan Kedah Aerotropolis, Kedah Science & Technology Park dan Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan,” katanya. 
     
    Kata beliau , kerajaan negeri juga berusaha mempelbagai sumber hasil negeri dengan meneroka sumber alam Kedah yang kaya dengan khazanah bahan mineral untuk memastikan negeri itu mempunyai pendapatan stabil.
     
    “Penemuan bahan mineral baharu iaitu unsur nadir bumi (REE) di negeri ini yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit, dijangka dapat meningkatkan hasil pendapatan negeri melalui bayaran royalti

    “Di sebalik usaha eksplorasi sumber kekayaan baharu ini, pemuliharaan khazanah alam semulajadi tetap menjadi agenda utama bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara,” katanya.

  • Labur RM200 dapat AS$200 juta, skim cepat kaya dipercayai perdaya 100,000 mangsa

    Labur RM200 dapat AS$200 juta, skim cepat kaya dipercayai perdaya 100,000 mangsa

    SATU sindiket skim pelaburan cepat kaya dipercayai telah memperdaya kira-kira 100,000 mangsa dari pelbagai latar belakang di negara ini dengan menawarkan pulangan lumayan dalam matawang asing.

    Antara janji manis ditawarkan ialah apabila individu membuat pelaburan RM250, mereka akan mendapat pulangan AS$200 juta manakala labur RM1,000 dapat AS$3 bilion.

    Menurut Pengerusi Pertubuhan Jaringan Sahabat Malaysia (JSM), Mohd Radzi Abdul Rahman, hasil siasatan pihaknya mendapati, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi seawal tahun 2001.

    Katanya, ahli sindiket akan dibahagi dan bergerak dalam kumpulan kecil dengan cara menawarkan pelbagai jenis pakej pelaburan dengan pulangan yang lumayan menerusi kumpulan WhatsApp.

    “Mangsa-mangsa ini telah membuat pelaburan dalam jangka masa panjang menerusi pakej yang ditawarkan menerusi WhatsApp malah ada antara mereka yang telah melabur sejak tahun 2015.

    “Demi meyakinkan mangsa, sindiket berkenaan menggunakan dokumen palsu dan mengaku kononnya pelaburan berkenaan mendapat sokongan pelbagai agensi antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) malah Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas selesai membuat laporan bersama sekitar 40 mangsa di ibu negara, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, selepas menerima ratusan aduan daripada mangsa terbabit, pihaknya telah bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi pelaburan berkenaan yang diuruskan oleh seorang ahli perniagaan tempatan.

    “Jelas mereka (sindiket) gagal memberikan bukti sahih serta tiada sebarang dokumentasi sah. Lebih parah apabila kami menemui banyak dokumen palsu dan pelbagai helah digunakan bagi menutup perbuatan mereka.

    “Malah ketika dihubungi, pihak BNM turut mengesahkan dana pelaburan berkenaan adalah palsu atau sesuatu yang berunsur penipuan, pihak kedutaan juga menafikan pembabitan mereka dengan pelaburan itu,” jelasnya.

    Katanya, mangsa berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang daripada orang-orang kampung sehingga golongan professional dan penjawat awam turut diperdaya.

    “Berdasarkan aduan yang kami terima ada yang rugi mencecah RM1.5 juta. Banyak aduan telah dibuat di seluruh negara tetapi kebanyakan buat secara perseorangan.

    “Kebanyakan mangsa ini masuk melalui WhatsApp sahaja menyukarkan siasatan kerana tiada dokumen yang mengesahkan mereka ini sebagai ahli pelaburan berkenaan,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Radzi menggesa pihak berkuasa supaya segera mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

    “Kami dah serahkan segala bukti-bukti dari hasil siasatan kami sendiri jadi kami berharap tindakan dapat diambil oleh pihak polis dan agensi-agensi berkaitan,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • MD, CEO didakwa 60 pertuduhan terima wang deposit tanpa lesen

    MD, CEO didakwa 60 pertuduhan terima wang deposit tanpa lesen

    SEORANG Pengarah Urusan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 60 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah bernilai hampir RM1 juta.

    Kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Norhayati Mohd. Yunus.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Nasri didakwa atas 30 tuduhan menerima deposit daripada tiga individu tanpa lesen sah di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang bermula dari April 2019 sehingga 14 Februari 2020.

    Abdul Wahab pula dituduh atas 30 pertuduhan bersubahat dengan Mohd. Nasri membabitkan individu, lokasi dan tarikh yang sama.

    Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen Seksyen 137(1) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazliyana Ahmad dan Qatrin Nada Harun manakala Mohd. Nasri diwakili peguam, S. Raveentharan dan Abdul Wahab diwakili Muhamad Shahrul Nizam Md. Roni.

    Dalam pada itu, mahkamah membenarkan Mohd. Nasri diikat jamin sebanyak RM212,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Abdul Wahab pula dibenarkan ikat jamin sebanyak RM126,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Jumlah pelaburan ke Kedah diyakini terus tinggi

    Jumlah pelaburan ke Kedah diyakini terus tinggi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JUMLAH kemasukan pelaburan ke Kedah pada 2022 dan tahun-tahun seterusnya diyakini mampu mencapai sasaran melebihi RM10 bilion setahun, seperti ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, meskipun kejayaan mencatat rekod pelaburan sebanyak 68.3 bilion pada tahun lalu sukar diulangi, namun beliau yakin betapa negeri ini akan terus mampu mencatat jumlah kemasukan pelaburan yang tinggi.

    Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa usaha yang telah diambil dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

    “Antaranya kita telah mengambil langkah untuk menyediakan dua fasa baharu iaitu fasa 4A dan fasa 5 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP). Di kedua-dua fasa ini, sudah ada pihak yang menyatakan minat untuk ‘masuk’ malah pelabur sedia ada juga beri komitmen mahu perluaskan kawasan industri mereka di situ.

    “Selain itu kerajaan negeri dalam masa sama kini turut memiliki perancangan untuk membuka satu lagi kawasan industri di Gurun melibatkan tanah lebih 404 hektar. Sebab itu saya yakin, angka pelaburan sebanyak RM10 bilion pada 2022 dan tahun-tahun berikutnya bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bertitah secara dalam talian bagi merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.

    Dalam titah baginda itu, Sultan Al Aminul Karim menzahirkan rasa berbangga dengan kejayaan Kedah mencatat sejarah dan rekod baharu pelaburan berjumlah RM68.3 bilion pada tahun lalu di sebalik pandemik Covid-19.

    Muhammad Sanusi menambah, Kedah pada masa akan datang bakal berubah dengan tidak lagi bergelar negeri pertanian semata-mata sebaliknya bakal muncul sebagai kuasa industri di utara tanah air.

    “Di sini kita dapat melihat perkembangan baik di SBEZ, pembangunan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta perasmian KRC oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “”Semua ini akan melonjakkan Kedah sebagai kuasa industri baharu. Cuma kita kena sediakan rakyat untuk menyambut pembangunan sektor industri ini melalui persediaan dari segi ilmu serta kemahiran, bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

  • Sultan Kedah bangga kejayaan catat rekod baharu pelaburan

    Sultan Kedah bangga kejayaan catat rekod baharu pelaburan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah berbangga dengan kejayaan Kedah mencatat sejarah dan rekod baharu pelaburan berjumlah RM68.3 billion pada tahun lalu di sebalik pandemik Covid-19.

    Sultan Sallehuddin percaya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), Invest Kedah Berhad, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain industri lain dalam menarik pelaburan ke Kedah.

    “Kejayaan itu membuktikan betapa Kedah sememangnya menjadi destinasi pilihan para pelabur. Pelaburan ini melebihi sasaran ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu sebanyak RM10 billion setahun.

    “Namun begitu, kita janganlah terlalu selesa dan leka dengan angka ini. Usaha berterusan haruslah digandakan agar pelaburan masuk, dapat ditingkatkan di Bandaraya Getah Kedah (KRC), Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industri Gurun dan Kedah Aerotropolis.

    “Dengan jumlah pelaburan yang besar ini, beta berharap agar ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini agar setanding dengan negeri-negeri maju di negara ini,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian secara dalam talian sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.

    Mengenai sidang DUN yang akan berlangsung hingga 23 Mac depan, Sultan Sallehuddin menasihatkan agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah bagi mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul.

    “Kematangan inilah yang diperlukan seluruh rakyat dan ambillah nasihat pepatah Melayu lama iaitu biduk berlalu, kiambang bertaut.

    “Perpaduan yang utuh merupakan asbab kekuatan kepada sesebuah ketamadunan. Melalui perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan keluarga, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi,” titah baginda.

  • Pertumbuhan pasaran pelaburan amat memberangsangkan

    Pertumbuhan pasaran pelaburan amat memberangsangkan

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasaran pelaburan telah menunjukkan kadar pertumbuhan yang amat memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

    Perdana Menteri berkata, salah satu misi utama kerajaan adalah untuk mengembalikan ekonomi negara di landasan yang betul setelah terjejas sebegitu lama akibat pandemik COVID-19.

    “Saya yakin faktor kestabilan politik dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi dan meluas menjadi pemangkin untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan bakal dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah.

    “Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pelbagai wakil sektor perindustrian, dewan perniagaan dan juga usahawan belia bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran Facebook, malam ini.

  • Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    Rugi RM46,000 diperdaya kenalan Facebook sertai pelaburan Forex

    PADAH mempercayai individu yang dikenali menerusi laman sosial Facebook, seorang wanita berusia 28 tahun di Butterworth, Pulau Pinang kerugian kira-kira RM46,000 akibat ditipu individu berkenaan.

    Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang individu di laman sosial terbabit pada pertengahan Julai lalu yang kemudian mengajaknya menyertai pelaburan tukaran wang asing.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dan suspek telah berhubung melalui aplikasi Messenger di Facebook sebelum bertukar-tukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

    Katanya, mangsa dipujuk menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi beserta pulangan modal.

    “Wanita tersebut yang sudah meletakkan kepercayaan kepada kenalan Facebooknya itu membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

    Malah ujar beliau, aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyah aktif.

    Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur, ikhlas – Tengku Hasanal

    Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur, ikhlas – Tengku Hasanal

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihatkan wakil rakyat negeri ini agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat serta memajukan negara. 

    Baginda bertitah rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat.   

    “Suka saya ingatkan kepada semua ini bukan masanya untuk kita bersengketa dan bukan masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata. 

    “Saya menyeru agar semua Yang Berhormat untuk berbahas secara rasional dan berpengang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

    Tengku Hassanal juga menitahkan semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang. 

    Dalam titah itu, Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri kesembilan dan menasihatkan beliau supaya menjalankan amanah tersebut sebaik-baiknya. 

    Selain itu, Tengku Hassanal juga menzahirkan hasrat supaya kerajaan Pahang menjadi contoh dalam amalan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan berharap prinsip tersebut dijadikan panduan dalam setiap perkara agar tidak bersifat retorik semata-mata.

    Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga dititahkan supaya menambah keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang kini yang berjumlah 1.59 juta hektar supaya negeri ini kekal signifikan sebagai ‘green lung’ atau kawasan hijau Semenanjung Malaysia. 

    Titah baginda, Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi iaitu 57 peratus dari keluasan negeri yang dilihat menjadi penyumbang oksigen utama selain habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia. 

    “Saya menyokong usaha kerajaan saya bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan seperti operasi membanteras penerokaan tanah secara haram dan berharap, ia diteruskan tanpa gentar atau pilih kasih demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar berkekalan,” titah baginda.

    Menyentuh mengenai situasi ekonomi Pahang, Tengku Hassanal bertitah berlaku penyusutan akibat impak COVID-19 dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM54.9 bilion pada 2020 berbanding RM58.4 bilion pada tahun sebelumnya. 

    Sektor pertanian, titah Tengku Hassanal masih mengekalkan sumbangan besar kepada pembangunan negeri seperti contoh, 624,000 tan produk makanan pelbagai jenis termasuk buah, sayur dan tanaman kontan bernilai RM2.9 bilion dikeluarkan pada tahun lepas. 

    “Saya berharap kerajaan saya akan terus memberikan lebih penekanan kepada sektor pertanian di samping sektor lain dengan konsep pertanian konvensional perlu diubah kepada pertanian moden dan berteknologi tinggi yang tidak memerlukan tanah yang luas untuk menggandakan hasil dan keuntungan. 

    “Kerajaan perlu menarik lebih ramai usahawan tani terutamanya golongan muda yang perlu membuang jauh pemikiran skeptikal bidang pertanian tidak menjamin masa depan atau berpendapatan rendah manakala kerajaan perlu menyediakan pelbagai bentuk kemudahan termasuk geran, dana pinjaman dan khidmat nasihat untuk mereka,” titah baginda. 

    Tengku Hassanal mengalu-alukan pelabur luar dan tempatan melabur di Pahang yang telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.8 bilion pada tahun lepas. 

    Dalam menarik usaha lebih ramai pelabur, Tengku Hassanal mengingatkan kerajaan negeri agar melihat potensi pelaburan yang bersesuaian dengan keutamaan diberikan kepada pelaburan yang selari dengan konsep alam sekitar dan dilaksanakan dengan berintegriti.

    Tengku Hassanal juga menzahirkan rasa puas hati dengan kutipan hasil pada tahun lepas yang berjumlah RM850 juta berbanding sasaran asal RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 115 peratus dan berhasrat melihat prestasi tahun ini lebih baik dan digunakan untuk melaksanakan projek yang bermatlamatkan kesejahteraan rakyat. – BERNAMA