Tag: PeKT

  • Tak mahu PeKT jadi alat politik, ganti modul lebih inklusif

    Tak mahu PeKT jadi alat politik, ganti modul lebih inklusif

    KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mahu Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dijadikan alat politik.

    Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, badan itu akan digantikan dengan satu modul yang menyeluruh di seluruh negara.

    Menurut beliau, PeKT yang diwujudkan sebelum ini hanya ditubuhkan di tiga buah negeri yang ‘tidak sehaluan’ dengan kerajaan pusat ketika itu.

    “Kita hendak tengok model yang lebih menyeluruh bukan hanya tertumpu di tiga negeri saja, buat masa ini PeKT ini wujud di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    “Kita mahu ia lebih menyeluruh dan inklusif, serta tidak mahu ia dijadikan alat politik,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Terdahulu, Warta Rakyat melaporkan, KPKT menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari ini, lebih awal daripada penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

    Perkara itu dimaklumkan kepada Warta Rakyat oleh salah seorang Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan yang menerima surat berhubung penamatan pelantikan PeKT.

    Surat bertarikh 29 Disember itu ditandatangani oleh Reezal Merican dan menurut beliau, langkah itu terpaksa diambil kerana tiada peruntukan disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan.

    “Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.

    “Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.

    “Sehubungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota PeKT kerana tiada peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan,” jelasnya dalam surat tersebut.

    Reezal Merican menambah, perkhidmatan PeKT ditamatkan selepas KPKT tidak lagi menerima peruntukan daripada Perbendaharaan bagi tujuan tersebut.

    “Bila tidak lagi mendapat peruntukan, macam mana kita nak membiayainya? Maka terpaksalah kita menamatkan PeKT.

    “Sudah tentunya juga buat masa ini peruntukan lebih berfokus kepada isu semasa yang dihadapi negara iaitu, pandemik Covid-19 dan banjir besar yang melanda negara.

    “Kementerian juga sedang melihat model baru yang lebih inklusif bagi menggantikan PeKT,” jelasnya,

  • Tiada bajet, KPKT tamatkan khidmat PeKT lebih awal

    Tiada bajet, KPKT tamatkan khidmat PeKT lebih awal

    KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari ini, lebih awal daripada penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

    Perkara itu dimaklumkan kepada Warta Rakyat oleh salah seorang Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan yang menerima surat berhubung penamatan pelantikan PeKT.

    Surat bertarikh 29 Disember itu ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Menurut beliau, langkah itu terpaksa diambil kerana tiada peruntukan disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan.

    “Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.

    “Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.

    “Sehubungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota PeKT kerana tiada peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan,” jelasnya dalam surat tersebut.

    Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 24 Jun 2020 telah bersetuju dengan penubuhan PeKT dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Penubuhan PeKT adalah merupakan inisiatif KPKT dalam merealisasikan Dasar Komuniti Negara (DKomN) yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2019.

    PeKT berperanan dalam memperkasakan komuniti dari segi penjagaan harta benda, kebersihan, keselamatan dan penjagaan alam sekitar di sesebuah komuniti melalui khidmat nasihat.

    Di samping itu, PeKT turut berperanan dalam mewujudkan komuniti yang bersatu padu dan berdaya saing serta memahami aspek pengurusan kewangan dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat memperkasakan komuniti dan kesejahteraan bandar.

    PeKT diwujudkan di tiga negeri yang masih dikuasai rejim Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

    Sepanjang pelaksanaannya, PeKT bergiat aktif membantu masyarakat di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan agar mereka tidak ketinggalan akibat kelemahan pentadbiran rejim PH.