Tag: peguam

  • SPRM melangkaui bidang kuasa dalam siasatan Nazlan, dakwa peguam

    SPRM melangkaui bidang kuasa dalam siasatan Nazlan, dakwa peguam

    PEGUAM mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melangkaui bidang kuasanya dalam siasatan terhadap hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Kenyataan itu selepas menteri undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan dalam surat kepada peguam Datuk Seri Najib Razak bahawa SPRM mendapati Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mempengerusikan kes SRC International.

    Menurut bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan, ia juga merupakan kes campur tangan eksekutif.

    “Ini, pada pandangan saya, campur tangan eksekutif yang jelas, melampaui bidang kuasa oleh SPRM dan rancangan licik untuk menjejaskan badan kehakiman.

    “Semuanya kerana beberapa pelanggar undang-undang enggan bertanggungjawab. Adakah ini boleh diterima oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim?” soalnya dalam ciapan Twitter, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, peguam Najib mengesahkan Azalina telah menghantar surat kepada mereka yang mengesahkan aspek siasatan SPRM ke atas Nazlan.

    Menurut sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu, Shafee Abdullah menulis surat kepada Azalina meminta menteri itu mengesahkan sama ada SPRM mendapati Nazlan berkonflik kepentingan ketika mempengerusikan kes SRC International atau tidak.

    Dia juga ingin tahu sama ada SPRM mendapati Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim atau tidak.

    Dalam jawapannya kepada Shafee bertarikh 20 Mac, Azalina dilaporkan menyatakan “Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif.”

    Dalam pada itu, Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet yang juga seorang peguam berkata, SPRM tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk membuat penemuan sedemikian.

    “Terdapat mekanisme yang sangat khusus untuk ini. Jawatankuasa Etika Hakim di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 adalah satu-satunya pihak berkuasa (untuk membuat penemuan sedemikian).

    “Azalina patut jawab,” katanya.

    Dia menambah bahawa ini adalah sama mengelirukan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat penemuan bahawa satu kesalahan di bawah Akta SPRM telah dilakukan.

    “Ia sama sekali tanpa sebarang kuasa atau kepakaran untuk membuat kesimpulan sedemikian,” katanya

    Siasatan SPRM telah dilancarkan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan yang mengaitkan hakim itu dengan perjanjian 1MDB Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd ketika bertugas dengan Maybank.

    Pada 24 Feb, panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa siasatan SPRM ke atas Nazlan tidak mengikut protokol.

    Tengku Maimun yang membacakan keputusan itu berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada agensi penyiasatan jenayah seperti SPRM untuk menyiasat hakim yang sedang bersidang serta membenarkan pendakwa raya memulakan prosiding mahkamah jenayah terhadap hakim tersebut, kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan dengan niat baik dan hanya bagi kes-kes yang betul.

    Ini penting, katanya, bagi memastikan badan kehakiman dapat menjalankan fungsinya secara bebas.

    Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta kepada Najib kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

  • Penolakan semakan keputusan SRC tak jejas kes 1MDB Najib, kata peguam

    Penolakan semakan keputusan SRC tak jejas kes 1MDB Najib, kata peguam

    PIHAK pendakwaan mahupun pembelaan dilihat tidak mungkin berkompromi dalam prosiding jenayah berkaitan kes 1MDB terhadap Datuk Seri Najib Razak, kata seorang peguam dan bekas timbalan pendakwa raya (TPR).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, mereka berkata, peguam negara yang juga pendakwa raya, akan meneruskan semua pertuduhan yang dikenakan dalam tempoh lima tahun lalu, manakala Najib dijangka melawan semua kes itu bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

    Bekas TPR kanan, Stanley Isaacs berkata, pengesahan terhadap sabitan Najib oleh Mahkamah Persekutuan minggu lalu bermakna tiada sebab untuk pihak pendakwaan menghentikan atau menarik balik pertuduhan lain yang belum selesai terhadapnya.

    “Apabila seseorang dihadapkan atas pertuduhan di mahkamah, bermakna peguam negara atau TPR berpuas hati terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa dan sehingga 90% yakin untuk mendapatkan sabitan,” katanya kepada FMT.

    Tambahan, katanya, pertuduhan yang dihadapi Najib berdasarkan fakta dan merit mereka sendiri, justeru ia perlu diambil melalui kesimpulan logik mereka.

    “Melakukan sebaliknya akan menimbulkan kebimbangan orang ramai dan persoalan negatif mengenai integriti penggunaan kuasa pendakwaan oleh peguam negara,” katanya.

    Isaacs, yang juga bekas ketua pendakwaan, berdasarkan pandangannya terhadap tradisi dipegang di Jabatan Peguam Negara berkata, sebaik saja kes bermula, setiap prosiding jenayah mesti diteruskan sehingga selesai, dan diserahkan kepada hakim untuk membuat keputusan.

    Katanya, jika Najib disabitkan, terpulang kepada tertuduh atau pendakwaan untuk mencadangkan hakim perbicaraan memerintahkan sebarang hukuman penjara tambahan dijalankan serentak dengan tempoh hukuman sedia ada.

    Beliau mengulas sama ada pihak pendakwaan mungkin menarik balik pertuduhan terhadap Najib, jika beliau mengaku bersalah bagi memudahkan proses pengampunan.

    Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes rasuah SRC International.

    Dalam keputusan majoriti 4-1 minggu lalu, mahkamah tertinggi menolak permohonan semakan Najib, bermakna beliau akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada akhir perbicaraannya pada Julai 2020.

    Najib juga boleh didenda RM210 juta atau tambahan penjara lima tahun, jika ingkar.

    Peguam Kitson Foong berkata, peguam negara tidak akan menarik balik pertuduhan yang dibicarakan di mahkamah secara sukarela.

    Katanya, peguam negara boleh menggunakan budi bicaranya selepas representasi bertulis dibuat tertuduh untuk mengkaji semula pertuduhan berdasarkan perkembangan baharu.

    Beliau berkata, tidak mungkin Najib akan “bertindak sebaliknya” dan mengaku bersalah atas mana-mana pertuduhan kerana beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dalam semua prosiding jenayah setakat ini.

    Peguam Zainur Zakaria berkata, tidak mungkin Lembaga Pengampunan akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Najib kerana kes jenayah masih berterusan.

    “Biasanya permohonan untuk pengampunan akan dipertimbangkan hanya selepas kes di mahkamah selesai,” katanya sambil menambah beliau tidak menemui sebarang petisyen yang dipertimbangkan secara berperingkat.

    Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

    Seramai 40 saksi sudah memberi keterangan dan pihak pendakwaan akan menutup kesnya dengan memanggil 10 saksi lagi.

    Beliau juga didakwa bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah atas enam pertuduhan menyeleweng RM6.64 bilion dana awam untuk membuat pembayaran kepada International Petroleum Investment Co.

    Selain itu, Najib juga didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM27 juta membabitkan dana SRC International.

    Perbicaraan di Mahkamah Tinggi belum bermula.

    Najib dan bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada 3 Mac lalu atas dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

    Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

  • 15 peguam kendali kes petisyen pilihan raya Pas dan PN

    15 peguam kendali kes petisyen pilihan raya Pas dan PN

    LAJNAH Undang-undang dan Hak Asasi Pas Pusat (LUHAM) memohon ulama dan pendukung Pas bermunajat untuk kemenangan dan dipermudahkan pasukan peguam Pas dan Perikatan Nasional (PN) mengendalikan petisyen pilihan raya yang bermula esok.

    Menurut LUHAM yang dipetik Harakahdaily, perbicaraan bantahan awal bagi Parlimen Marang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu esok.

    Katanya, kes tersebut akan dikendalikan di hadapan hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

    Perbicaraan bantahan awal petisyen Parlimen Kuala Terengganu juga akan diadakan esok melalui zoom di hadapan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

    Perbicaraan bantahan awal Parlimen Kemaman turut diadakan esok melalui zoom di hadapan Hakim Datuk Mohammad Abazafree.

    Klarifikasi/keputusan bantahan awal petisyen Parlimen Masjid Tanah Melaka pula pada Selasa di Mahkamah Tinggi Melaka dikendalikan Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis.

    Perbicaraan bantahan awal petisyen Parlimen Gua Musang pada 8 Februari di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

    Pasukan peguam Pas dan PN terdiri daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdullah, Saifuddin Othman, Yusfarizal Yussoff, Mohd Faizi Che Abu.

    Mereka turut dibantu peguam Ahmad Lutfi Awang, Saifuddin Othman, Ahmad Nazrin Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak, Aznam Mohamed, Datuk Fariz Irwan Mustaffa, Abdul Aziz Hassan.

    Selain itu, Mohd Allauddin Mat Nor, Mohd Zabidi Yusof, Azrulrizal Ibrahim, Mohd Nasir Embong dan Yahaya Othman.

  • Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    SEORANG buruh yang sebelum ini didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka, hari ini diperintah menjalani hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda RM10,000 ke atas M. Samasiveng, 57, selepas membuat semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 11 Mac lepas.

    “Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak mencukupi.

    “Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda,” kata hakim itu.

    Sebelum ini, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed berhujah tertuduh sebagai rakyat Malaysia, seharusnya lebih peka dengan keadaan negara yang dilanda COVID-19 dan tidak membuka pelitup mukanya dan merokok di tempat awam.

    “Mengikut fakta kes, tertuduh juga telah menunggu mangsa di kaki lima pasar raya selepas ditegur, dan ini menunjukkan jenayah yang dilakukan adalah terancang.

    “Tertuduh telah mengambil senjata iaitu parang dari keretanya selepas bertengkar mulut dengan mangsa dan ini menunjukkan penggunaan senjata bukanlah bertujuan mempertahankan diri. Serangan dengan parang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.

    Peguam T.P Aravind Raj, yang mewakili Samasiveng merayu hukuman ringan atas alasan Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor umur mangsa yang sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya.

    “Punca kejadian ini adalah perbalahan mulut selepas mangsa menegur anak guam saya yang sedang merokok dan tidak memakai pelitup muka. Ia bukanlah kejadian yang dirancang kerana ketika kejadian dia hanya membeli barangan runcit bersama isteri dan cucunya,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia Nicholas Cheoh. – BERNAMA