Tag: Pegawai polis

  • Inspektor antara 14 pegawai, anggota polis disyaki terbabit kongsi gelap

    Inspektor antara 14 pegawai, anggota polis disyaki terbabit kongsi gelap

    SEKURANG-kurangnya 14 pegawai dan anggota polis termasuk berpangkat Inspektor yang bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan peringkat kontinjen dari Pantai Timur, yang ditahan pada Jumaat lalu selepas disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.

    Mereka yang turut membabitkan anggota pelbagai pangkat, iaitu sarjan, konstabel, koperal dan lans koperal antara 21 individu berusia 20-an hingga 40-an, termasuk tujuh orang awam yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang (AHK).

    “Dalam operasi khas dikenali Op Selendang itu, 14 pegawai dan anggota polis itu bersama tujuh lelaki lain membabitkan orang awam, kini direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966,” kata sumber seperti dilaporkan Harian Metro.

    Sumber memberitahu, kes berkenaan kini disiasat Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang mula mengawasi pergerakan ahli pertubuhan haram berkenaan sejak 2021.

    “Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui aktiviti kumpulan itu dengan lebih lanjut. Beberapa aset, barangan dan peralatan turut dirampas dalam operasi itu, iaitu yang sering digunakan dalam upacara angkat sumpah,” katanya.

    Difahamkan, ia antaranya ialah beberapa kenderaan, telefon bimbit, pedang, ekor ikan pari, senjata tajam, al-Quran, sejadah, songkok, baju, kain kapan serta nombor plat berlogo pertubuhan, selain beberapa pelekat, sijil dan borang keahlian kumpulan itu.

    Harian Metro difahamkan, selain D7, operasi turut dijalankan Bahagian Risikan Bahagian Intergriti dan Pematuhan Standart (JIPS) Bukit Aman yang memantau rapat pembabitan anggota dan pegawai polis dengan kumpulan pertubuhan itu.

    Difahamkan juga, reman terhadap semua yang ditahan dibuat secar berperingkat dan bergantung kepada tahap siasatan kes itu.

    “Apa yang pasti penahanan semua anggota dan pegawai polis berkenaan membuktikan ketelusan dan ketegasan PDRM yang diketuai Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam menjaga dan memulihara imej dan integiti pasukan.

    “Ia juga membuktikan pasukan polis tidak pernah memilih ‘bulu’ dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap orang awam dan pasukan sendiri, tanpa mengira pangkat,” katanya.

  • Pegawai polis, isteri didakwa eksploitasi amah sehingga parah

    Pegawai polis, isteri didakwa eksploitasi amah sehingga parah

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sehingga menyebabkan kecederaan parah antara Mac dan Ogos tahun ini.

    S. Vijiyan Rao, 38, yang merupakan seorang pegawai polis dan isteri K. Rineshini Naidu, 35, seorang peniaga, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozianayati Ahmad.

    Mereka didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu terhadap Zailis, 46, di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak antara Mac dan 30 Ogos lepas.

    Suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 13 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang dari lima tahun, dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul’ Ain Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dengan syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Bagaimanapun pasangan itu yang diwakili peguam A. Narainasami memohon jaminan yang rendah dengan alasan mereka menanggung dua anak yang masih kecil.

    Rozianayati kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes.