Tag: PDRM

  • Dua suspek dadah terbunuh berbalas tembakan dengan polis

    Dua suspek dadah terbunuh berbalas tembakan dengan polis

    DUA lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dadah dan jenayah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku, Kuala Terengganu pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam insiden kira-kira 11.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki itu yang menaiki kereta Honda Civic kuning, melarikan diri ketika ditahan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan JSJ Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan Ops Kesan.

    “Apabila pihak polis meminta suspek memberhentikan kenderaan, suspek telah melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Apabila sampai di satu kawasan daripada Wakaf Beruas ke Persimpangan Tok Ku, polis berjaya menghalang mereka dan secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Wan Rukman berkata, susulan itu pihaknya terpaksa membalas tembakan ke arah kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran.

    Katanya, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikepung, namun dia enggan menyerah diri menyebabkan polis mengambil tindakan memasuki rumah tersebut.

    “Semasa di dalam rumah, suspek telah melepaskan satu das tembakan. Nasib baik terkena penghadang atau shield yang dibawa polis dan di situlah berlaku satu lagi kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek,” katanya.

    Wan Rukman berkata, lelaki itu terbunuh di dalam rumah tersebut manakala seorang lagi rakannya maut dalam kenderaan dinaikinya.

    Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan dan maklumat lanjut mengenai mereka masih disiasat.

    Katanya, tiada anggota polis mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. – BERNAMA

  • YouTuber ditahan kes teman wanita mati dipukul

    YouTuber ditahan kes teman wanita mati dipukul

    SEORANG pempengaruh atau YouTuber lelaki dari Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kematian teman wanitanya yang dilaporkan maut akibat dipukul.

    Suspek yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sosial YouTube itu ditahan bersama tiga lagi rakannya yang kesemuanya berusia 20-an di daerah Barat Daya semalam dan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan keempat-empat suspek termasuk YouTuber berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP) mengenai seorang pesakit wanita yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal pada 2 April lalu.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa berusia 20 tahun itu mendapati kesan-kesan lebam lama dan baharu pada seluruh anggota badan wanita berkenaan.

    Jelasnya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.

    “Bertindak atas maklumat itu, polis menahan kekasih wanita itu bersama tiga lagi rakannya yang dipercayai berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

    “Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif sebenar kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Rizal memberitahu, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah kediaman kenalan mereka di Teluk Kumbar Sabtu lalu dan pasangan kekasih berkenaan dikatakan berkenalan ketika masing-masing berada di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka.

  • Kelindan maut tercampak dari lori langgar treler di lorong kecemasan

    Kelindan maut tercampak dari lori langgar treler di lorong kecemasan

    SEORANG kelindan maut selepas tercampak keluar dari lori membawa muatan besi besi aluminium apabila kenderaan itu melanggar sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer (km) 250 Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa Mohamad Nur Imran Hamidun 23, bersama pemandu lori jenis Hino, Muhamad Afzan Zakaria, 31, sedang dalam perjalanan dari Alor Gajah menuju ke Seremban.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler jenis Scania membawa muatan getah industri seberat 26 tan metrik yang berhenti di lorong kecemasan kerana dikatakan mengalami kerosakan.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, Mohamad Nur Imran tercampak keluar ke atas lebuh raya dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Muhamad Afzan hanya cedera ringan di tangan manakala pemandu treler berusia 57 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Mayat kelindan terbabit dibawa ke Jabatan forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira empat km iaitu selama hampir dua jam. – BERNAMA

  • Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    DUA beranak keturunan Orang Asli maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di Temerloh, semalam.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemukan pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.

    “Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu.

    “Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

    Mayat mangsa dua beranak yang maut itu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

    Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri. – BERNAMA

  • 2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    POLIS Pulau Pinang menyelamatkan dua wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, wanita berusia 27 dan 28 tahun berkenaan diselamatkan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kontijen Pulau Pinang.

    Dalam serbuan sama ujar beliau, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen turut ditahan.

    “Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang.

    Menurut Rahimi, kedua-dua mangsa yang diselamatkan bersama suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek lelaki pula ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

    Jika disabitkan kesalahan ujar beliau, boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh didenda.

    “Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.

  • Sindiket dadah antarabangsa kempunan, 21 kg syabu dirampas polis

    Sindiket dadah antarabangsa kempunan, 21 kg syabu dirampas polis

    SATU sindiket dadah antarabangsa di Pulau Pinang berputih mata apabila bekalan dadah berupa syabu seberat 21 kilogram (kg) bernilai RM756,720 yang dibawa menggunakan jalan laut dipercayai dari negara jiran berjaya dirampas polis.

    Bekalan dadah yang baru tiba itu berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Barat Daya dan pasukan Polis Marin Wilayah 1 yang melakukan serbuan di tepi pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar pukul 11 malam pada Isnin lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, bekalan dadah yang dimuatkan di dalam 20 bungkusan itu dijumpai disorokkan di dalam sebuah bot di kawasan tersebut dan polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di atas bot berkenaan.

    Jelasnya, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan suspek kedua yang merupakan warga asing berusia 44 tahun dan bekerja sebagai mekanik di kawasan sama pukul 1 pagi keesokan harinya.

    “Kedua-dua suspek itu dipercayai sudah terlibat dengan aktiviti mengedar dadah jenis syabu tersebut sejak awal tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas terbabit jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai 105,100 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu merupakan antara dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang minggu ini membabitkan keseluruhan rampasan dadah sebanyak 184.7 kg bernilai RM1.2 juta.

    Sindiket dadah kedua jelasnya, berjaya ditumpaskan menerusi operasi terancang Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah pada Rabu lalu.

    Ujar beliau, operasi itu melibatkan sembilan serbuan yang mana dadah jenis ganja seberat 163.65 kg bernilai RM409,125 berjaya dirampas daripada sindiket terbabit.

    “Dalam operasi itu, seramai sembilan individu masing-masing tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 25 hingga 55 tahun berjaya ditahan,” katanya.

    Katanya, empat suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April manakala lima lagi ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

    Selain itu ujar beliau, polis turut menyita lapan kenderaan, empat barang kemas, tiga utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM234,550 daripada sindiket terbabit.

  • Zarina Anjoulie diarah bayar denda RM4,000

    Zarina Anjoulie diarah bayar denda RM4,000

    SELEBRITI Zarina Anjoulie diarah membayar denda RM4,000 selepas mengaku salah atas dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata keputusan dibuat Majistret Mohd Firdaus Saleh kelmarin dalam prosiding membabitkan selebriti berusia 34 tahun yang lebih dikenali sebagai Anju itu yang diawalkan semalam.

    “Sepatutnya (kes) berjalan hari ini, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada Selasa (semalam).

    “Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan,” katanya yang turut mengesahkan Anju membayar denda itu semalam, lapor Berita Harian.

    Pada 13 September lalu, Anju atau nama penuhnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, didakwa di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis itu pada Jun lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

  • 2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    2 anggota polis ditahan, disyaki terima rasuah RM300

    DUA anggota polis ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM300 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh pada 20 Mac lepas.

    Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkata, kedua-dua mereka berpangkat koperal dan koperal sokongan berumur 45 dan 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani pada 6.15 petang semalam.

    “Anggota polis itu dikatakan telah meminta sebanyak RM1,500 daripada seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh di tepi Jalan Persiaran Amanjaya 2 berdekatan dengan Kolej Vokasional Sungai Petani 1.

    “Individu itu dikatakan telah menyerahkan RM300 kepada anggota polis tersebut dan dia diminta untuk membayar baki selebihnya apabila dihubungi oleh anggota polis tersebut,” katanya di Sungai Petani hari ini.

    Sementara itu, kedua-dua mereka yang merupakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Kuala Muda direman selama tujuh hari bermula hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Sungai Petani Nadhirah Abdul Rahim.

    Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – BERNAMA

  • Tindakan disiplin anggota polis tolak laporan kes keganasan rumah tangga

    Tindakan disiplin anggota polis tolak laporan kes keganasan rumah tangga

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang perlanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga berhubung dakwaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Isnin lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM juga mengambil perhatian serius terhadap dakwaan keengganan anggota polis menerima laporan kes keganasan rumah tangga.

    “Sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuat kuasa pada 1 jun 1996, PDRM telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes-kes keganasan rumah tangga untuk dipatuhi di semua peringkat.

    “Ini termasuklah arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM memohon KPWKM dan mana-mana pihak terkesan berhubung isu dibangkitkan untuk tampil serta memberi maklumat lebih terperinci supaya siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas anggota terlibat jika perkara itu benar berlaku.

    Pada Isnin lepas, KPWKM memaklumkan sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, pihaknya menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

    Beliau juga dilaporkan berkata, laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang mereka buat. – BERNAMA

  • 7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik membabitkan tujuh premis perniagaan yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian di sekitar daerah Kuantan, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, tindakan drastik itu dilakukan selepas risikan dijalankan mendapati beberapa premis dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi secara dalam talian.

    Katanya, Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalankan operasi itu bagi membanteras kegiatan perjudian di sekitar daerah ini., lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, kegiatan tersebut berselindung di sebalik kedai perniagaan runcit dan kolam memancing udang.

    Ujarnya, bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah ini, tujuh premis diambil tindakan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

    “Dalam kes ini, polis memohon tindakan pemotongan elektrik terhadap premis dijadikan tempat penjualan nombor loteri awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi dalam talian,” katanya selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, lima lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana kesalahan mengikut Seksyen 4A (a) ARJT 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dianggarkan RM200 hingga RM500 jualan loteri awam dikutip sehari manakala judi dalam talian pula antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

    “Antara rampasan dilakukan ialah 22 komputer riba, lapan unit telefon bimbit, satu tablet, 14 kerusi, 16 meja, tiga sofa dan wang tunai.

    “Golongan sasaran adalah penduduk setempat dan warga asing,” jelasnya.