Tag: PDRM

  • Buruh warga Indonesia mati ditetak dengan parang

    Buruh warga Indonesia mati ditetak dengan parang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki menetak seorang buruh dengan parang sehingga maut, selepas dikatakan mengamuk di rumah kongsi di Kampung Semangat, Pekan semalam.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi semasa buruh yang juga warga Indonesia hanya dikenali sebagai Selamet, 45, hendak ke tandas di luar rumah kongsi itu.

    “Suspek didakwa muncul secara tiba-tiba dalam keadaan mengamuk dan terus menetak mangsa beberapa kali termasuk di leher, dahi, dagu dan bahu selain turut menyebabkan telinga kanan mangsa putus sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa yang tinggal di situ, melihat suspek mundar-mandir dengan membawa parang kira-kira 30 minit sebelum kejadian, namun suspek kemudiannya dilihat balik semula ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah didiami mangsa.

    Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun berjaya ditahan semasa berada di tepi Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan pada 7.30 pagi semalam, yang kemudiannya membawa kepada penemuan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Siasat polis langgar kenderaan awam di pusat beli-belah

    [VIDEO] Siasat polis langgar kenderaan awam di pusat beli-belah

    POLIS akan menyiasat video tular membabitkan kemalangan kenderaan orang awam dengan kenderaan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan (VIP) di hadapan sebuah pusat membeli belah, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya sudah menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut.

    “Setakat ini kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan sudah tampil membuat laporan polis. Siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan.

    “Kita meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian itu supaya hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    https://www.tiktok.com/@mariaasren/video/7097829972634570010?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1

    Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 47 saat di Tik Tok memaparkan seorang wanita yang mendakwa kenderaannya dilanggar sebuah kenderaan polis yang sedang mengiringi VIP di sebuah pusat beli-belah tular semalam.

  • 3 pelajar sekolah menengah agama cedera dibelasah senior

    3 pelajar sekolah menengah agama cedera dibelasah senior

    TIGA pelajar di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh di Nilai mendakwa dipukul senior mereka sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar tingkatan dua terbabit berhubung perkara itu semalam.

    “Mereka mendakwa dipukul pelajar dipercayai Tingkatan 4 sehingga cedera di beberapa bahagian badan. Kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebagai pesakit luar.

    “Sehubungan itu, kita telah mengenal pasti dua pelajar senior dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian yang dilaporkan ini dan siasatan lanjut masih diteruskan sama ada masih ada lagi pelajar lain terlibat,” katanya dalam kenyataan.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memanipulasi kejadian berkenaan yang boleh menyebabkan kegusaran awam sehingga siasatan dilengkapkan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan, katanya. – BERNAMA

  • Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas disyaki didera penjaganya di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada 1 tengah hari yang terdengar tangisan mangsa di rumah tersebut dan melihat terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan kanak-kanak itu.

    “Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya kini sedang mengesan penjaga mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki mendera kanak-kanak itu.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah penjaga sementara sejak Januari lepas kerana ibu dan bapa mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi menyalurkan sebaran maklumat untuk membantu siasatan,”katanya.

    Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

  • Pemandu CRV halang ambulans ada masalah pendengaran

    Pemandu CRV halang ambulans ada masalah pendengaran

    POLIS akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara, seperti tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu dan pemilik kenderaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pada 5 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran iaitu tinnitus – acoustic neuroma sejak tiga tahun lepas.

    “Lelaki berkenaan masih lagi mendapat rawatan lanjut daripada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tular di media sosial mengenai tindakan pemandu SUV jenis Honda CRV yang memandu di lorong kanan sehingga menghalang ambulans di belakangnya yang turut membunyikan siren dan hon sekali gus pemandu ambulans itu terpaksa memotong melalui laluan kiri.

    https://www.tiktok.com/@info.semasa.my/video/7097933801275280667?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=halang%20ambulans&t=1652620052682

    Insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi video di akaun Twitternya dan menyifatkan tindakan pemandu berkenaan sebagai mementingkan diri. – BERNAMA

  • Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

    Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

    SEORANG pemandu van kilang yang dalam perjalanan mengambil penumpang maut selepas merempuh belakang treler di Jalan Tikam Batu, Kota Kuala Muda hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, Ramli Abdul Aziz, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    “Dalam kejadian pada kira-kira 5.50 pagi itu, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke Kota Kuala Muda dipercayai untuk mengambil penumpang.

    “Sampai di lokasi kejadian, mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar belakang treler yang sedang keluar dari simpang dan berada di bahagian kiri jalan setelah selesai menurunkan barang muatan batu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, impak kemalangan itu menyebabkan pemandu van kilang terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang berumur 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Lelaki maut dalam pergaduhan libat wanita bersenjata pedang

    [VIDEO] Lelaki maut dalam pergaduhan libat wanita bersenjata pedang

    SEORANG lelaki berusia 30-an maut selepas terbabit dalam kejadian pergaduhan melibatkan individu bersenjatakan pedang di Kampung Baru, Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 8.20 malam tadi.

    Pergaduhan itu turut melibatkan seorang wanita serta empat lelaki lain yang dipercayai warga tempatan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, tiga rakaman video mengenai kejadian tersebut yang masing-masing berdurasi 17, 10 dan lima saat turut tular kira-kira pukul 10.23 pagi ini.

    Menurut beliau, rakaman video yang dimuat naik menerusi laman Facebook, ‘Kongsi Segala Info’ itu turut memaparkan kejadian pergaduhan berkenaan yang menggunakan senjata tajam dipercayai sejenis pedang.

    Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat pergaduhan itu meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Bukit Mertajam di sini.

    “Siasatan awal mendapati lokasi kejadian itu adalah kawasan terbuka iaitu berhampiran medan selera dan kesemua yang terlibat juga didapati saling mengenali antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Ujarnya, siasatan lanjut berhubung punca kejadian itu masih diteruskan dan polis turut giat mengesan suspek lain yang terlibat.

    “Sehubungan itu, kita turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222,” katanya.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • 10 peniaga ditahan leka main judi belangkas

    10 peniaga ditahan leka main judi belangkas

    POLIS menahan 10 peniaga yang sedang leka bermain judi belangkas di dalam sebuah pasar besar di Jalan Tunku Abdul Rahman, dekat Alor Setar, awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G.Suresh Kumar berkata, tangkapan pada 2.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menerusi Op Khas JSJ, Op Aidilfitri dan Op Dadu.

    “Ketika serbuan, semua lelaki berusia 37 hingga 66 tahun itu sedang berkumpul dan mengelilingi sebuah meja batu serta disyaki sedang bermain judi jenis belangkas.

    “Hasil siasatan awal mendapati kesemuanya yang merupakan peniaga di pasar berkenaan telah mula bermain judi belangkas selepas perayaan Aidilfitri lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pelbagai barang yang digunakan untuk bermain judi berkenaan termasuk pinggan, bungkusan plastik berisi beras, buah dadu bergambar dan wang tunai berjumlah RM620 turut dirampas.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

  • 5 rentung: Pemandu treler diheret ke mahkamah seawal Selasa

    5 rentung: Pemandu treler diheret ke mahkamah seawal Selasa

    PERINTAH reman terhadap pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, disambung tiga hari lagi bermula esok.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.

    “Reman dapat disambung selama tiga hari. Suspek dijangka didakwa sama ada Selasa petang atau Rabu pagi,” katanya yang dihubungi hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan pemandu treler berkenaan direman bermula Khamis lepas hingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Siasatan polis mendapati pemandu itu mempunyai 22 saman trafik dengan daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.

    Lima pelajar yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – BERNAMA

  • Pemandu Myvi hayun kayu ada kaitan kes curi kenderaan

    Pemandu Myvi hayun kayu ada kaitan kes curi kenderaan

    PEMANDU kereta Perodua Myvi yang ditahan kerana melakukan provokasi serta menghalang pemandu lain di jalan raya Isnin lepas ditahan semula berhubung kes mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan semalam pada 4.05 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul.

    “Penangkapan pemandu kereta Perodua Myvi itu berjaya menyelesaikan kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan penangkapan itu, polis telah merampas satu kunci kereta berlambang Perodua bersama alat kawalan jauh, sebuah kereta Perodua Myvi putih bernombor pendaftaran PGT124 yang disahkan palsu dan sebilah rotan berukuran 90 sentimeter.

    Polis turut merampas dua rangkai kunci motosikal berlambang Yamaha dan tiga motosikal dengan nombor pendaftaran palsu iaitu Yamaha Ego Avantiz (JFV124), Yamaha Nouvo LC (MALAYSIA124) dan KTM 790 Adventure (QQ124) serta serangkai kunci berlambang KTM.

    Beh berkata, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

    “Semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah,” katanya.

    Isnin lepas, pemandu terbabit ditahan selepas tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat dimuat naik melalui laman Facebook ‘Inforoadblock’ memaparkan kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan sebatang kayu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang di Kuala Lumpur. – BERNAMA