Tag: PDRM

  • Sindiket seludup, edar dadah RM25 juta tumpas

    Sindiket seludup, edar dadah RM25 juta tumpas

    POLIS Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah seberat 696 kilogram (kg) bernilai RM25.35 juta dalam serbuan di Selangor dan Kedah pada Khamis serta awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada serbuan pertama di sekitar Selangor pukul 2.30 pagi Khamis, polis merampas dadah jenis syabu seberat 404.3 kg, heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg) yang dianggarkan bernilai RM16.4 juta.

    “Selain itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sebahagian dadah seberat 696 kilogram yang dianggarkan bernilai RM25.35 juta yang berjaya dirampas selepas menahan beberapa suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri Selangor dan Kedah pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, dalam serbuan awal pagi tadi di Kedah dan Selangor, Ayob Khan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

    Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 248.7 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM8.95 juta.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket terbabit aktif sejak hujung 2021 dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari lokasi dikenali sebagai ‘Segi Tiga Emas’ (Thailand, Laos dan Myanmar) sebelum menjualnya untuk pasaran Indonesia.

    “Modus operasi yang digunakan sindiket adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan diedar di pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan hari ini bagi membantu siasatan.

    “Tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis setakat ini menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM360,000 iaitu kenderaan Toyota Fortuner, Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger,” katanya.

    Ayob Khan menegaskan, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan serta berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku dalam komuniti. – BERNAMA

  • Pemain bola sepak suspek rogol remaja bebas dengan jaminan polis

    Pemain bola sepak suspek rogol remaja bebas dengan jaminan polis

    PEMAIN bola sepak sebuah pasukan liga tempatan yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja berusia 18 tahun, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia susulan tempoh tahanan reman ke atas lelaki berusia 28 tahun itu berakhir hari ini.

    “Polis dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan, insya-Allah akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan pemain tersebut ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, selepas mangsa membuat laporan polis, Ahad lalu.

    Pemain itu kemudian direman empat hari bermula Isnin hingga semalam, sebelum direman sehari lagi dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 lelaki maut dilanggar lori semasa tukar tayar

    [VIDEO] 2 lelaki maut dilanggar lori semasa tukar tayar

    DUA lelaki maut termasuk seorang penyelia Kementerian Kesihatan yang bertugas di Seremban, Negeri Sembilan selepas dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur sekitar 4 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang menghala ke Kuala Lumpur itu melihat orang ramai termasuk dua mangsa tersebut berada di bahu jalan kerana terdapat sebuah kereta pancit.

    “Susulan itu pemandu lori berkenaan telah cuba mengelak daripada melanggar mereka dengan melorongkan lorinya ke lorong kanan jalan namun dalam keadaan titik buta, dia tidak menyedari sebuah kereta Mercedez datang dari arah belakang.

    “Seterusnya pemandu lori itu cuba untuk mengelak kereta tersebut lalu melanggar kedua-dua mangsa yang berada di bahu jalan itu. Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa yang berusia 55 dan 40 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    https://www.tiktok.com/@majoritiofficial/video/7104864050281975067?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=langgar%20lori%20tukar%20tayar&t=1654230335827

    Ramli berkata, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • 2 kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta dan treler

    2 kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta dan treler

    DUA beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kampar awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tapah.

    Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah treler kira-kira 2.30 pagi.

    “Kereta itu dinaiki enam orang iaitu empat beradik serta bapa mangsa dan seorang wanita dipercayai tunang kepada bapa mangsa. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menghantar kesemua adik beradik itu ke rumah ibu mereka.

    “Bapa mangsa Jaafar Ahmad, 49, mengalami kecederaan di kaki kanan manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia 14 dan enam tahun hanya cedera ringan dan wanita berusia 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Nazri berkata, pemandu treler berumur 47 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Polis buru penagih dadah bakar rumah

    Polis buru penagih dadah bakar rumah

    SEORANG lelaki yang dipercayai penagih dadah diburu polis kerana disyaki membakar sebuah rumah di Kampung Keruak di Hulu Besut, di Jertih petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 40an itu dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di sekitar kampung tersebut selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 4 petang.

    “Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dan kes ini sedang disiasat menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

    “Suspek dikatakan mahir dengan selok-belok di dalam hutan di situ menyebabkan usaha memberkasnya berdepan kesulitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam kejadian tersebut, rumah milik Nor Baidi Abdullah, 60, musnah sepenuhnya dipercayai dibakar oleh lelaki itu menggunakan minyak petrol.

    Menurut Nor Baidi, perbuatan suspek itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia 16 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik air sebelum terdengar suatu bunyi mencurigakan.

    “Anak saya terkejut kerana ketika mengintai melalui lubang bilik air, dia ternampak suspek sedang menjirus cecair dipercayai petrol ke dinding rumah sebelum suspek bertindak membaling kain yang dinyalakan api ke salah satu bilik tidur.

    “Kejadian kali ini merupakan perbuatan kali keenam suspek membakar rumah saya termasuk ada sekali suspek membakar kereta saya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, namun kami sekeluarga sempat memadamkan api sebelum merebak pada lima cubaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Nor Baidi berkata, beliau tidak mengetahui motif lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana beliau sekeluarga tidak pernah mengganggunya selama ini. – BERNAMA

  • 2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    CUBAAN dua lelaki menyeludup daun ketum seberat 1.35 tan ke Johor Bharu gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, Kedah malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Mohd Mahiri Hussin berkata, kedua-dua suspek berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semasa sekatan jalan raya Op Bersepadu Luaran dijalankan.

    Katanya, semasa operasi, pegawai dan anggota dari Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 1 telah menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki di R&R Gurun dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menjumpai 135 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun hijau yang dipercayai ketum. Setiap satu bungkusan plastik itu adalah seberat 10 kilogram dan anggaran keseluruhan berat bungkusan 1.35 tan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Johor Bahru itu dipercayai mengambil daun ketum berkenaan di Pokok Sena untuk dihantar ke Kluang dan Johor Bahru.

    “Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd Mahiri berkata operasi yang bermula pukul 9 malam itu melibatkan sembilan pegawai dan 56 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

    “Pihak polis mengeluarkan 52 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala JPJ mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan temasuk membawa lebih muatan, membawa muatan berbahaya dan lesen tamat tempoh.

    “AADK pula melakukan saringan air kencing terhadap 33 individu dengan enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan heroin,” katanya. – BERNAMA

  • Instafamous Cik Lala ditahan anjur tarian separuh bogel

    Instafamous Cik Lala ditahan anjur tarian separuh bogel

    POLIS menahan seorang pesohor Instagram atau instafamous berhubung kejadian sekumpulan lelaki berperwatakan wanita yang menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ‘instafamous’ dikenali sebagai ‘Cik Lala’ yang juga penganjur majlis tersebut, ditahan semalam dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan selepas tular beberapa rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok.

    Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu didakwa berlaku pada 27 Mei sekitar pukul 8 malam hingga 11.30 malam di sebuah unit di Centralwalk I-City, di sini.

    “Pengadu yang merupakan pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City membuat laporan polis pada 28 Mei setelah menerima pesanan WhatsApp mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan pelancong di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, aktiviti yang diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan ‘Cik Lala’ adalah individu yang menyewa unit berkenaan pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis berkenaan dengan jemputan kira-kira 50 orang.

    Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Insp Nur Syuhada di talian 017-6942736. – BERNAMA

  • Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    SEORANG suri rumah warga Indonesia berumur 59 tahun maut dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya sendiri di Sandakan semalam.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, anak mangsa berumur 25 tahun itu juga cedera dalam kejadian tersebut.

    “Kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa iaitu berlaku pertengkaran, lalu suspek bertindak mengelar bahagian leher mangsa dengan senjata tajam.

    “Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya cedera ringan di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abdul Fuad berkata, suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan tidak lama kemudian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Kondo mewah ‘port’ proses dadah, polis rampas ekstasi nilai RM26.5 juta

    Kondo mewah ‘port’ proses dadah, polis rampas ekstasi nilai RM26.5 juta

    POLIS menyerbu dua unit kondominium mewah yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah jenis ekstasi di sekitar ibu negara, dan menahan seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu, serta tiga wanita warga China yang disyaki terbabit, Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur 48 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 4.30 petang.

    Beliau berkata, kondominium mewah itu disewa RM2,500 sebulan setiap satu unit dan ia digunakan sebagai tempat untuk memproses dadah, sebelum dijual kepada pelanggan di kelab malam serta pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai telah aktif sejak hujung tahun lepas.

    “Sejumlah pil dan serbuk dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM26.5 juta dan dua kenderaan, wang tunai, jam tangan serta barang kemas dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

    Menurutnya, semakan mendapati tiga wanita warga asing itu masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang didapati negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang bekas diplomat Malaysia bersama anak lelakinya yang ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja di Janda Baik, Pahang pada 21 Mei lepas.

    “Bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam, dan anaknya masih ditahan reman sehingga esok, mungkin akan disambung reman,” katanya.

    Katanya, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Selasa lepas media melaporkan polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya berusia 53 tahun yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi, Pahang. – BERNAMA

  • Lelaki dikehendaki polis mati ditembak dari jarak dekat

    Lelaki dikehendaki polis mati ditembak dari jarak dekat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG individu dikehendaki polis, maut setelah ditembak dari jarak dekat di tempat meletak kereta, berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru dekat Sungai Petani, Kedah, tengah hari tadi.

    Mangsa, S. Murali, 36, maut di lokasi kejadian akibat ditembak berdas-das di muka serta badan.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menemukan sekurang-kurangnya lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan mangsa dikatakan datang ke sebuah restoran di sini bersama isteri, anak angkat serta rakannya untuk membungkus makanan. Selepas membeli makanan, mangsa kemudiannya dikatakan kembali ke kenderaan ketika isteri serta anak angkatnya masih berada dalam restoran tersebut.

    “Ketika membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta, mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal yang berjaket dan mengenakan topi keledar berpelitup penuh. Tembakan kemudian dilepaskan terhadapnya dalam jarak kira-kira satu meter menyebabkannya maut di sebelah kenderaan jenis Toyota Vellfire dinaikinya,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

    Wan Hassan menambah, semakan mendapati mangsa merupakan individu dikehendaki polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

    Selain itu mangsa juga dipercayai turut terlibat dengan kes berkaitan gengsterisme serta dadah.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dengan pihak kami turut meneliti rakaman kamera litar tertutup dari kedai-kedai berhampiran.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.