Tag: PBS

  • PBS dilaksana secara tergesa-gesa ganti UPSR, PMR, PT3 tidak tepat

    PBS dilaksana secara tergesa-gesa ganti UPSR, PMR, PT3 tidak tepat

    DAKWAAN pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dibuat secara tergesa-gesa bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah tidak tepat, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata PBS sebenarnya telah dilaksanakan lebih 10 tahun lepas bermula 2011 di peringkat sekolah rendah dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah setahun kemudian.

    “Kita telah membuat sesi libat urus melibatkan ramai pihak, dalam konteks ini kita dapati dalam setiap keputusan nak dibuat, akan ada kekangan, sama ada kita nak tunggu situasi menjadi sempurna baru kita nak laksanakan, kita tak tahu bila,” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai sama ada kerajaan bertindak secara tergesa-gesa bagi menggantikan UPSR dan PT3 dengan pelaksanaan PBS pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Menjelas lanjut beliau berkata pentaksiran yang bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid itu adalah langkah melahirkan generasi baharu yang lebih kreatif dan terbuka. 

    Malah Radzi berkata sistem pendidikan di seluruh dunia kini cuba mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan bagi tujuan melahirkan generasi lebih kreatif. 

    Beliau berkata pemerkasaan PBS adalah antara pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid.

    Selain itu, KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan akhir sesi akademik menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas.

    Menurutnya pelaporan itu juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran.- BERNAMA

  • Joachim menang saingan Timbalan Presiden PBS

    Joachim menang saingan Timbalan Presiden PBS

    TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam menang dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kuota bumiputera bukan Islam.

    Beliau mengatasi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Joniston Bangkuai dengan majoriti tipis.

    Memetik laporan FMT, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menerima 339 undi manakala Joniston beroleh 334 undi, dan sebanyak 65 undi rosak.

    Perebutan jawatan timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kuota bumiputera bukan Islam yang menjadi perhatian pada pemilihan kali ini menyaksikan Joachim Gunsalam berjaya memenanginya dengan keputusan tipis.

    Joachim yang juga timbalan ketua menteri mengatasi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai.

    Joniston yang juga ADUN Kiulu seterusnya dilantik sebagai Ketua Penerangan PBS.

    Dua lagi yang dilantik ialah ADUN Matunggong Julita Majungki sebagai Setiausaha Agung dan Lu Kim Yen sebagai Bendahari Agung.

    Dalam perkembangan sama, satu lagi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Cina dimenangi bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Yee Moh Chai.

    Beliau mengatasi bekas ADUN Tanjung Aru, Edward Yong Oui Fah dengan kelebihan 259 undi.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengekalkan jawatan presiden selepas tidak dicabar.

    Seorang lagi iaitu ADUN Tamparuli, Jahid Jahim turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden bagi kuota bumiputera Islam selepas turut tidak dicabar.

    Lain-lain keputusan adalah seperti berikut:

    Naib Presiden :

    Arthur Sen Siong Choo
    Ruslan Muharam
    Mursid Mohd Rais
    Hendrus Anding
    Johnny Mositun

    Ahli Majlis Tertinggi:

    Johnny Goh
    Kong Nyuk Thou
    Lim Vun Chan
    Gan En Siong
    Fazidah Mohd Yassin
    Kasirin Kamiran
    Juin Saman
    Azmi Ahmad
    Omar Abdul Hakim
    Peter Jino Allion
    Samuil Mopun
    Fredolin Totin Bangon
    Stanis Buandi
    Suman Yasambun
    William Majimbon
    Masum Takin