Tag: PATI

  • Sindiket ‘pau’ PATI Myanmar hingga RM5,000 seorang

    Sindiket ‘pau’ PATI Myanmar hingga RM5,000 seorang

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang membabitkan penyeludupan warga Myanmar susulan serbuan berasingan yang dijalankan menerusi ‘Op Pintas’ pada Sabtu lalu.

    Operasi hasil daripada risikan polis itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta  Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, operasi itu berjaya menahan dua lelaki tempatan serta seorang wanita tempatan dan wanita Myanmar dipercayai dalang aktiviti tersebut.

    Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 43 hingga 66 tahun yang ditahan secara berasingan itu dipercayai bertanggungjawab membawa masuk kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

    “Menerusi operasi tersebut, 21 lelaki dan lima wanita warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditahan polis.

    “Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati setiap PATI telah membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, dalam serbuan itu polis turut merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

    Tambahnya, kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

    Ujar beliau, kesemua dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 ( Kesalahan Penyeludupan Migran).

    Jika disabitkan kesalahan ujarnya, kesemua dalang itu boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ( Kesalahan tidak memiliki permit yang sah).

  • 14 PATI kantoi ceroboh negara ikut jalan tikus

    14 PATI kantoi ceroboh negara ikut jalan tikus

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN mengetahui pihak berkuasa Malaysia melakukan kawalan ketat serta operasi khas mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), seramai 14 individu dipercayai warga Indonesia tetap mencuba untuk melepasi negara ini melalui jalan tikus.

    Bagaimanapun, kehadiran mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu tidak berjaya apabila dicekup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan pantai berhampiran Teluk Punggai di Kota Tinggi, di sini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

    Kata kenyataan itu, pergerakan PATI tersebut berjaya dikesan pada pukul 2 pagi selepas Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai.

    “Sekitar pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

    “Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 4.40 pagi telah berjaya menahan dan membuat tangkapan ke atas sembilan PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu hari ini.

    Tambahnya, Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kemudian telah diatur gerak bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

    Hasilnya, sekitar pukul 9 pagi hari sama, Tim QRF telah berjaya menangkap lima lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama yang dipercayai saki baki mereka yang baru tiba ke negara ini.

    “Kesemua mereka telah menjalani saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,063 melibatkan matawang Malaysia RM1,635.00, Indonesia IDR 10,338,330 (RM 3,048.00) bersama 11 buah telefon bimbit serta barangan kemas,” katanya.

    Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    Tambahnya pasukan kemudian meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron BSPP serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

  • 16 PATI warga Indonesia ditahan tentera Malaysia

    16 PATI warga Indonesia ditahan tentera Malaysia

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 16 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhampiran muara Pulau Kerengga, Teluk Ramunia, di Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, anggota petugas pemerhati telah mengesan bunyi bot berhampiran muara tersebut pada pukul 1 pagi.

    Katanya, kumpulan PATI warga Indonesia tersebut dikesan sedang turun dari bot dan menuju ke arah pantai sebelum TDM segera menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi menjejakinya.

    “QRF melaksanakan serbuan pada jam 1.20 pagi dan berjaya menahan 16 PATI yang baru mendarat itu iaitu 13 lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 46 tahun.

    “Mereka dipercayai baru saja tiba dan cuba memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak sah,” jelasnya.

    Seramai 16 PATI warga Indonesia ditahan Tentera Darat Malaysia berhampiran muara Pulau Kerengga, Teluk Ramunia, di Kota Tinggi, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,000 melibatkan RM2,925, matawang Rupiah Indonesia IDR15,184,420 (RM1,503) bersama-sama 13 buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama.

    Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

    Laporan kejadian tersebut dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • 67 PATI termasuk bayi gagal ceroboh masuk Malaysia

    67 PATI termasuk bayi gagal ceroboh masuk Malaysia

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) terpaksa berputih mata apabila cubaan mereka untuk lolos masuk ke negara ini secara haram berjaya dipatahkan pihak berkuasa yang dapat menghidu kegiatan itu.

    Lebih mengejutkan, dalam kalangan 67 PATI tersebut, seorang bayi perempuan berusia setahun turut dibawa bersama ketika mereka menggunakan jalan laut untuk memasuki Malaysia melalui Jeti Parit Karang, Tangkak.

    Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri, Superintenden Rozasin Ramlan berkata, dalam operasi membabitkan Pasukan Polis Marin Muar (PPM), kesemua PATI terbabit ditahan pada pukul 6.30 petang.

    “Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka baru mendarat dari negara jiran dan masuk ke Malaysia menggunakan bot tongkang melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

    “PATI yang ditahan ini terdiri daripada 44 lelaki dan 22 perempuan dewasa serta seorang bayi perempuan. Kesemuanya berumur antara setahun hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    PATI
    Tongkang yang digunakan oleh PATI.

    Tambah beliau, seorang lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai tekong darat turut ditahan bersama dengan sebuah kenderaan yang disyaki menjalankan khidmat pengangkutan kepada PATI.

    “Selain itu, seorang lelaki dewasa warga asing yang berada dalam kenderaan tersebut dipercayai sebagai penumpang juga ditahan.

    “Rampasan melibatkan sebuah bot berukuran 36 kaki bersama-sama sebuah kereta jenis Nissan dan dua buah telefon bimbit,” katanya.

    Kereta yang dirampas.

    Rozasin berkata, jumlah anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM202,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Mirgan 2007.

    “Mereka diuruskan oleh tekong darat dari Tanjung Balai, Indonesia dengan anggaran bayaran RM1,000 hingga RM 2,800 setiap seorang,” katanya.

    Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.

  • 18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

    18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam Op Benteng menerusi beberapa tangkapan di kawasan Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Kota Tinggi dari malam tadi hingga pagi ini.

    Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (TDM) dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 9 malam selepas mengesan pergerakan bot mencurigakan di Teluk Ramunia.

    “Mereka dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sebelum pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) dihantar ke lokasi bagi membuat pengintipan. Hasil serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 3 PATI sedang bersembunyi dalam hutan di lokasi berkenaan.

    Antara PATI yang berjaya ditahan dalam tiga tangkapan membabitkan semuanya warga Indonesia

    “Pada masa yang sama agensi yang bekerjasama dalam Op Benteng iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menangkap 13 PATI bersama-sama sebuah bot di kawasan pantai sekitar Teluk Ramunia.

    “Mereka kemudian dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada pasukan untuk siasatan dan proses dokumentasi lanjut,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, menerusi operasi sama pukul 8 pagi ini, dua lagi PATI ditangkap sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran.

    SWASLA mengersan PATI sebelum pasukan QRF dihantar ke lokasi bagi menangkap PATI sedang bersembunyi dalam hutan di Teluk Ramunia

    Jelas kenyataan itu, seramai 18 PATI tersebut yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga wanita merupakan PATI warga Indonesia berusia 22 hingga 43 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

    “Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,356 melibatkan mata wang Indonesia IDR 1,610,500.00 (RM460), 10 buah telefon bimbit dan barangan kemas,” tambah kenyataan itu.

    Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan

    kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas di Johor Bahru.

    “Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” jelas kenyataan itu lagi.

  • Kanak-kanak 5 tahun cuba masuk Malaysia secara haram antara 54 PATI diberkas

    Kanak-kanak 5 tahun cuba masuk Malaysia secara haram antara 54 PATI diberkas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak ditahan ketika sedang bersembunyi di Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio Desaru), Kota Tinggi semalam.

    Kesemua PATI berusia lima hingga 52 tahun terdiri daripada seorang kanak-kanak, 42 lelaki dan 11 wanita tersebut disyaki baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah dan bersembunyi di situ kerana gagal memasuki negara ini secara haram.

    Menurut kentyaan Tentera Darat Malaysia (TDM) di sini, tangkapan itu dilakukan melalui operasi di bawah formasi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) bagi Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

    “Pada pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar. Hasil maklumat, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan itu bagi membuat penjejakan.

    “Pada pukul 5 pagi, dengan bantuan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Tim QRF telah berjaya mengesan serta menangkap 54 PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio Desaru),” jelas kenyataan itu.

    Tambah TDM, matawang Indonesia IDR 43.5 juta bersamaan RM12,770 turut dirampas dalam operasi terbabit serta 43 buah telefon bimbit yang menjadikan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM23,108.

    Kesemua PATI terbabit dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

    “Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    Pasukan turut meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

    “Kerjasama agensi-agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang,” kata TDM lagi.

  • 8,856 PATI dihantar pulang menerusi Program Rekalibrasi Pulang

    8,856 PATI dihantar pulang menerusi Program Rekalibrasi Pulang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 8,856 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang menerusi kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang sejak 8 Julai lalu.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Khairil Dzaimee Daud berkata, mereka dihantar pulang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Beliau berkata, sebanyak 20 lagi kaunter khas dibuka di KLIA untuk mengelak kesesakan berikutan sambutan yang diterima di luar jangkaan.

    “Imigresen dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAB) telah mengambil langkah segera membina 20 kaunter baharu yang terletak di Parkir Jangka Pendek, Aras 2 Blok B, KLIA.

    “Ruang menunggu yang lebih luas dengan kapasiti 800 hingga1000 orang juga disediakan dengan pelbagai kemudahan,” katanya kepada ketika sidang akhbar di Sepang, hari ini

    .

    Kaunter khas tersebut katanya, turut menyediakan kemudahan seperti kios makanan, surau, kipas bersaiz industri dan ruang yang lebih luas untuk menjamin penjarakan sosial dapat dipraktikkan.

    Pada masa sama, menurut Khairil, seramai 88,034 PATI sudah dihantar pulang di bawah program Rikalibrasi Pulang sejak dilancarkan pada 21 Disember lalu dengan kutipan kompaun melebihi RM52 juta sehingga 1 Ogos.

    Dalam pada itu, menurutnya, untuk mempercepatkan lagi urusan, kaunter khas tersebut akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 140 kakitangan yang akan bertugas dalam tiga waktu tugasan.

    Kaunter khas tersebut turut dibuka di Stulang Laut, Johor pada Ahad dan lapan lagi akan dibuka di KLIA2 pada Khamis ini.

    “Perancangan seterusnya ialah membuka kaunter di Pasir Gudang Johor, dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka beroperasi mulai 15 Ogos ini,” katanya.