Tag: pasport

  • Isu Pasport TPM: Shahidan ‘cadang’ pasport Rosmah turut dipulangkan

    Isu Pasport TPM: Shahidan ‘cadang’ pasport Rosmah turut dipulangkan

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) beberapa kali membangkitkan isu pasport antarabangsa yang dikembalikan secara kekal kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Memetik laporan Astro AWANI, sambil menyindir, beliau mendakwa keputusan yang dibuat mahkamah itu adalah ‘keputusan hebat’.

    Malah, beliau juga mencadangkan pasport antarabangsa Datin Seri Rosmah Mansor, 71, turut dipulangkan.

    “Kalau sekiranya kita bagi kepada TPM, kita kena bagi juga kepada Datin Seri Rosmah. Datin Seri Rosmah dapat pasport sementara… Setuju tak Tampin? Kita bagi kepada Rosmah?

    “Kita bagi, mana boleh kita tak bagi. Kenapa boleh bagi kepada TPM, kat Rosmah tak bagi? Kasihan kat Rosmah dan juga rakyat Malaysia yang lain,” katanya sinis.

    Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa kemudian mencelah: “Tampin hanya mempercayai dari sudut undang-undang. Kalau undang-undang kata begitu, reda sajalah,” katanya.

    Shahidan kemudian berkata: “Yang Berhormat, ini saya cadangkan supaya pasport antarabangsa diberi kepada semua, bukan kepada individu tertentu sahaja.

    “Saya menyokong supaya diberi kepada semua sebab ini Madani…Madani maksudnya bagi kepada semua,” katanya lagi.

    Terdahulu media hari ini melaporkan Ahmad Zahid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

    Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.

    Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Sementara itu, pada Selasa lalu, Rosmah dibenarkan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi membolehkan dia berlepas ke Singapura bagi melawat anak perempuannya dan seorang daripada cucunya yang tidak sihat.

    Pasport Rosmah diserahkahkan kepada mahkamah pada 2019 selepas dia didakwa atas pertuduhan rasuah.

    Pada 1 September tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun; di samping denda RM970 juta, yang jika gagal dibayar akan boleh membawa kepada hukuman penjara 30 tahun.

    Rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan hukuman itu akan didengar pada Julai depan.

    Shahidan Kassim, Zahid Hamidi, pasport antarabangsa, Mahkamah Rayuan,

  • Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

    Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal, bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

    Pada 3 Feb lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid, memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkmamah, setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi, mengesahkan mengenai permohonan itu dan memaklumkan semasa pengurusan kes hari ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron, mahkamah menetapkan 27 Mac untuk pendengaran permohonan tersebut.

    Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Feb, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

    Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata Hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

    “Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

    “Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia,” katanya.

    Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

    “Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Jan lepas.

    Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

    “Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

    Ahmad Zahid berkata permohonan tersebut tidak bersifat mala fide (berniat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

    “Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

    Menurutnya, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan-permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkannya ke luar negara bagi tujuan-tujuan rasmi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Zahid memohon supaya mahkamah mengetepikan syarat tambahan jaminan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah dan memohon ia dikembalikan kepadanya secara kekal secepat mungkin selain mengekalkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadapnya. 

    Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 Feb ini.

    Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes itu yang kini di peringkat membela diri dan akan bersambung 10 April di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    MAHKAMAH Tinggi Kuala lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

    Muhammad Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu kepada 15 Sept hingga 19 Sept 2022. Tarikh sebelum ini ialah 6 Sept hingga 12 Sept 2022.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhammad Shafee itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6-12 Sept 2022 kepada 15-19 Sept 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 Sept.

    “Tan Sri Muhammad Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

    Muhammad Shafee, 70, peguam utama kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

    Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept.- BERNAMA

  • Mahkamah benarkan Shafee dapat pasport ke Itali

    Mahkamah benarkan Shafee dapat pasport ke Itali

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport buat sementara bagi membolehkannya ke Itali bagi urusan pertukaran sekolah anak perempuannya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport peguam itu yang diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan mulai 8 Julai hingga 11 Ogos selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata, anak guamnya perlu ke Itali untuk urusan proses pertukaran sekolah anak perempuan keduanya yang sedang belajar di International School for Europe di Milan, Itali ke The International School of Kuala Lumpur.

    “Beliau juga akan berjumpa dengan anak perempuan sulungnya yang sedang belajar di Universiti John Cabot, Rome, Itali,” katanya.

    Menurut notis usul difailkan pada 24 Jun lalu, Muhammad Shafee memohon agar pasport antarabangsanya diserahkan kepadanya buat sementara selewat-lewatnya 1 Julai untuk beliau membuat persiapan berangkat ke Itali dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) pada 8 Julai.

    Muhammad Shafee yang merupakan peguam bela utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Peguam berusia 70 tahun itu telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept di hadapan Hakim Muhammad Jamil. – BERNAMA

  • Mahkamah benar Najib pinda tarikh pasport ke Singapura

    Mahkamah benar Najib pinda tarikh pasport ke Singapura

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura selepas mendapati bekas perdana menteri itu telah mengemukakan alasan munasabah dalam permohonannya.

    Tiga panel hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata, mahkamah tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk meluluskan permohonan itu sekiranya tiada alasan munasabah diberikan.

    “Mahkamah telah membaca permohonan pemohon (Najib) dan afidavit sokongan. Saya percaya alasan diberikan pemohon adalah munasabah dan disebabkan itu, pihak pendakwaan tidak membantah. Jika tiada alasan munasabah, mahkamah akan disalah tanggap dan dilihat sewang-wenangnya memberi kebenaran.

    “Saya juga mengingatkan bahawa tiada alasan kali ketiga diberikan oleh pemohon. Kali pertama, alasan untuk melawat anak perempuan bersalin di Singapura dan hari ini, permohonan kali kedua untuk membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Namun, setelah mempertimbangkan alasan munasabah diberikan, mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasportnya perlu dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 6 Dis ini,” kata Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Najib, 68, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah dari 20 Okt sehingga 22 Nov kepada 25 Okt sehingga 6 Dis ini bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan melahirkan anak kedua, dua hari lepas (Isnin).

    Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata, beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 Nov ini memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

    Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu panel, jadual perjalanan Najib ke Singapura terpaksa diubah kerana beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid ketika PRN Melaka.

    Katanya, permohonan untuk meminda tarikh itu sudah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes jenayah dihadapinya.

    Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak membantah permohonan itu.

    Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Najib mohon dapatkan sementara pasport ke Singapura

    Najib mohon dapatkan sementara pasport ke Singapura

    SELEPAS Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pasport Datin Seri Rosmah Mansor dipulangkan sementara untuk melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua dalam tempoh dua minggu lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak turut membuat permohonan sama di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

    Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh menerusi sistem kehakiman hari ini, dinyatakan bahawa bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan untuk pasport antarabangsanya diserahkan secara sementara kepadanya bermula 20 Okt ini atau seawal yang mungkin sehingga 22 Nov 2021.

    Najib memfailkan notis usul itu semalam (14 Okt) menerusi Tetuan Shafee & Co bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua dalam masa terdekat.

    Dalam notis itu, Najib memohon untuk pasportnya diserahkan selewat-lewatnya pada 20 Okt ini bagi membolehkan beliau membuat pembaharuan pasport sebelum berangkat ke Singapura pada 3 Nov depan.

    Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, anak perempuannya itu kini menetap di Singapura bersama suami dan anak sulungnya yang berusia empat tahun.

    “Selain suami dan anaknya, Nooryana tidak mempunyai ahli keluarga lain di sana untuk membantu dan menemaninya sepanjang tempoh mengandung sehingga kelahiran tersebut.

    “Saya bertanggungjawab untuk memastikan Nooryana dijaga rapi dan mendapat sokongan serta rawatan yang diperlukan memandangkan beliau pernah mengalami komplikasi yang serius semasa melahirkan anak pertamanya,” kata Najib dalam afidavit itu.

    Najib berkata, beliau juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana keluarga dan kerjayanya sebagai seorang bekas menteri dan menteri besar selain sumber pendapatan serta hartanya berada di Malaysia.

    “Tambahan pula, saya sedang berada di bawah ikat jamin RM7 juta dan ia bukanlah jumlah yang kecil. Saya juga telah menghadiri kesemua tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini,” katanya.

    Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib ketika dihubungi pemberita mengesahkan bekas Perdana Menteri itu telah memfailkan permohonan tersebut.

    Berdasarkan hasil semakan di laman web kehakiman, permohonan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin depan (18 Okt).

    Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Pasport dipulangkan sementara, Rosmah boleh ke Singapura

    Pasport dipulangkan sementara, Rosmah boleh ke Singapura

    PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor agar pasport miliknya dikembalikan buat sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

    Memetik laporan BH, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dengan menetapkan syarat bahawa pasport perlu dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.

    Menurut beliau, pemohon (Rosmah) hanya boleh keluar Singapura dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

    “Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Rosmah) dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini),” katanya.

    Sebelum itu, peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura

    Beliau menjelaskan, Nooryana Najwa mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi ketika bersalin dan pemohon amatlah diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu dan selepas bersalin.

    “Perjalanan itu adalah penting bagi memastikan kesihatan anak pemohon dan kandungannya terjaga dan aman,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Jagjit memohonsupaya pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

    Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

    Namun, pendakwaan berkata, pemohon tidak boleh mengganggu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

    Mendengar perkara itu, mahkamah memerintahkan pasport dipulangkan pada 21 November memandangkan pemohon perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum menyambung perbicaraan pada 8 November ini.

    Pada 5 Oktober lalu, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

    Perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini bersambung 21 Oktober ini dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

    Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor

    Wang sejumlah itu didakwa sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

    Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur dan di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.